Nik Aziz mohon maaf kepada Nasharuddin

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini memohon maaf serta menarik balik semua kenyataan yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa termasuk meminta beliau meletakkan jawatan dalam parti itu.

Nik Aziz memberitahu, segala isu di antara beliau dengan Nasharuddin tidak lagi berbangkit.

''Setelah berbincang dalam perjumpaan khas di Ibu Pejabat Agung Pas dalam semangat kekeluargaan menangani masalah dalam beberapa isu politik yang dibesarkan oleh media, kami bersetuju melupakan perihal salah tanggapan di antara pimpinan atasan parti akibat permainan politik murahan UMNO,'' katanya.

Nik Aziz membacakan kenyataan akhbar selepas mengadakan perjumpaan khas di antara beliau dengan Nasharudin di sini hari ini.

Perjumpaan khas itu turut dihadiri Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Nik Aziz sebelum ini meminta Nasharudin meletak jawatan daripada parti dan menyertai UMNO jika beliau terus mendesak meneruskan idea kerajaan perpaduan dengan UMNO.

Abdul Hadi pada hari pertama muktamar parti itu di Shah Alam pada 5 Jun lalu mempertahankan ideanya untuk melaksanakan konsep kerajaan perpaduan kerana yakin ia mampu menyelesaikan banyak masalah yang berlaku di negara ini.

Katanya, pemimpin-pemimpin Pas bersama dalam satu saf yang padu untuk terus bersama memperjuangkan keazaman parti bagi mendaulatkan Islam di persada tanah air.

''Kami juga bersetuju sebulat suara polemik kerajaan perpaduan dihentikan serta merta seperti mana diputuskan oleh Presiden Pas bersama pimpinan pakatan dalam kenyataan bersama di bangunan Parlimen yang menolak sepenuhnya idea itu,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url