PAS tidak berani buat keputusan sendiri

Penganalisis politik berpendapat keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno jelas menunjukkan Pas tunduk kepada desakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Profesor Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, berkata keputusan pakatan pembangkang semalam terbukti Pas tidak berani membuat keputusan sendiri, sebaliknya terus menerima tekanan hebat daripada dua rakan pakatannya.

"Pas harus bermesyuarat sesama mereka terlebih dulu sebelum membuat keputusan mengenai perbincangan penubuhan kerajaan perpaduan bersama Umno... tetapi ini selepas membuat pengumuman untuk mengadakan perbincangan tiba-tiba hari ini (semalam) buat pengumuman tolak idea (kerajaan perpaduan).

"Ia jelas Pas tunduk kepada PKR dan DAP serta tidak berani membuat keputusan sendiri. Ia sekali gus membuktikan teori kebanyakan penganalisis politik tempatan selama ini yang berkata bahawa parti (Pas) selalu tunduk kepada apa jua keputusan PKR dan DAP adalah benar dan bukannya retorik," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mesyuarat Pakatan Rakyat yang dihadiri Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, semalam menolak idea penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno yang disifatkan suatu fitnah dan tindakan untuk menggugat kekuatan mereka.

Pakatan pembangkang itu menyifatkan idea berkenaan sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian berkata, Pas yang dilanda pelbagai masalah dalaman parti sejak isu berkenaan dibincangkan dilihat sebagai lemah untuk membuat sebarang keputusan sendiri.

"Pas perlu membuat keputusannya yang sendiri tanpa bergantung kepada rakan pakatan,,, jika tidak, parti itu akan dilihat tunduk kepada PKR dan DAP," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Umno menerima baik idea Pas itu dan ia menunjukkan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengutamakan isu perpaduan.

"Idea penubuhan kerajaan perpaduan bukan saja untuk menyatu padukan orang Melayu malah membabitkan seluruh rakyat... buat apa kita mahu kesal apabila Pakatan Rakyat menolak idea ini sebaliknya ia cadangan Pas. Kita sentiasa berfikiran terbuka," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata beliau sudah menjangkakan PKR dan DAP akan menolak cadangan Pas itu dan berpendapat perbincangan isu perpaduan hanya boleh diteruskan oleh Pas bersama Umno serta BN.

"Pas mempunyai kekuatan sendiri dengan memiliki 23 kerusi di Parlimen serta menerajui Kedah dan Kelantan. Oleh itu, mereka (Pas) boleh berdikari dalam isu utama jika ingin meneruskan perbincangan dengan Umno dan BN.

"Umno menerima cadangan kerajaan perpaduan dengan tangan terbuka dan segala cadangan baik untuk kebaikan rakyat harus disokong. Pada saya, hal perpaduan bukan hanya menguntungkan bangsa Melayu dan Bumiputera tetapi memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url