Rasheedah Zakariya - Kuasai bahasa Inggeris
Terbiasa dengan tahap pendidikan dan pendedahan sepanjang pembelajaran ketika di tingkatan dua hingga enam di Texas, Amerika Syarikat mendorongnya untuk mengembangkan teknik pengajaran bahasa Inggeris dengan menubuhkan syarikat sendiri bersama suami.
Coaching Zone Sdn Bhd yang beroperasi di Equine Park, Seri Kembangan, Selangor dirintisnya lantaran melihat perkembangan semasa masyarakat yang kurang penguasaan dalam bahasa kedua itu.
Masalah dialami segelintir murid bahkan penuntut institusi pengajian tinggi dan orang dewasa yang kurang kemahiran dalam subjek berkenaan menjadi punca utama dia menjalankan perniagaan dalam bidang itu.
"Mulanya saya menyertai program motivasi bersama bapa saudara yang sering muncul di televisyen. Oleh kerana sering bersama dalam siri penjelajahannya dengan menyelitkan program bahasa Inggeris, lalu dia mencadangkan saya melakukan sesuatu.
"Tambahan pula, ketika itu kempen English Sure Boleh sedang hangat diperkatakan, membuatkan saya serius memikirkan cara dan strateginya. Ketika itu masa saya banyak di kampung halaman di Taiping, Perak dan langkah drastik diambil untuk melaksanakan impian.
"Menceburi pelbagai kerjaya termasuk lima tahun bergelar pensyarah, terfikir inilah masa sesuai untuk memulakan perkara baru dalam hidup iaitu membantu masyarakat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik," kata Rasheedah Zakariya.
Bukan menolak hakikat pentingnya penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pertama negara, tetapi dia turut melihat pentingnya penguasaan bahasa Inggeris terutama dalam perbualan dan kemahiran menulis atau membaca.
Sasarannya adalah pelajar, guru mahupun suri rumah atau kalangan dewasa supaya mereka menjadi pemangkin untuk mencetuskan persepsi baru dalam masyarakat hari ini.
"Teknik yang saya perkenalkan bukan untuk menidakkan kepentingan bahasa ibunda. Cuma dalam pergaulan serta pendidikan yang banyak menggunakan bahasa Inggeris menyebabkan saya terpanggil untuk mengubah minda masyarakat ke arah lebih celik bahasa Inggeris.
"Ada di kalangan kita bukan tidak tahu berbahasa Inggeris, tetapi apabila hendak lawan atau berbalas percakapan timbul sikap ragu-ragu. Di sinilah saya bentukkan satu kaedah supaya ia diterima pakai dengan mudah, menarik dan menyeronokkan.
"Walaupun ia tampak mudah, sebenarnya agak sukar melaksanakannya jika masyarakat kurang memberi kerjasama menjayakan misi ini," kata wanita berusia 32 tahun ini.
Merencanakan satu program siri penjelajahan untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris, bahkan menjadikannya lebih inovatif serta lebih menarik, dia mengolah pelbagai cara.
Antaranya, dia bersama Kementerian Pelajaran dan TV9 merangka siaran komedi romantik untuk tontonan yang lebih memberangsangkan. Dia turut merancang English Playshop yang sudah bermula di Universiti Tenaga Nasional.
Mendapat nasihat daripada suami sendiri yang turut sama mengusahakan perniagaan berkenaan, Rasheedah yakin 'English Program For Mommies' iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia, mampu melakar sejarah tersendiri jika segala perancangannya berjalan lancar.
"Untuk itu, kami kini turut melatih lebih ramai tenaga pengajar untuk menjadi pelapis seterusnya. Saya dan suami mungkin tidak mampu melaksanakan tanggungjawab ini berdua kerana sambutan dan perencanaannya yang pelbagai seiring matlamat kerajaan," katanya.
Dia sendiri menitipkan rahsia untuk masyarakat lebih menguasai bahasa Inggeris menerusi buku hasil garapan ideanya dengan menyediakan modul tersendiri dan bukan berorientasikan peperiksaan sebagaimana yang terdapat dalam sukatan pelajaran.
"Yang terpenting, sikap atau minda dulu harus berubah jika ingin maju dalam subjek bahasa Inggeris ini. Tugas ini bukan mudah sebab ada ibu bapa yang mungkin anaknya sudah menguasai bahasa itu, tetapi tidak dapat membiasakannya di rumah kerana kurang kemahiran.
"Tetapi ia bukan halangan jika keinginan untuk belajar dan menguasai adalah segala-galanya. Apabila perubahan sikap kini semakin positif, ia memberi laluan mudah untuk berjaya," katanya penuh yakin.
Mengenai keluarga terutama anak-anak, dia akur komitmen kedua-duanya terhadap kerjaya yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain menghalangnya untuk menerapkan sistem pembelajaran secara normal kepada zuriat mereka.
Oleh itu, anak-anaknya tidak dihantar ke sekolah biasa sebaliknya diajar sendiri berlandaskan sukatan pelajaran seperti mana di luar negara.
Rasheedah berkata, suaminya yang mempunyai latar pendidikan agama dan bekas penuntut sekolah agama di Bukit Mertajam serta memiliki Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada UIAM banyak memberi tumpuan kepada pemantauan pelajaran terutama anak sulung dan anak keduanya.
"Oleh kerana kami sentiasa ke luar daerah, anak dibawa sama. Di situ kami menetapkan satu teknik terkini untuk pengajaran terhadap anak. Pengalaman pembelajaran dan cara pendidikan di Barat yang pernah saya terima dulu saya manfaatkan sebagai kaedah dalam pengajaran terhadap anak pula," katanya.
Profil
NAMA: Rasheedah Zakariya
JAWATAN: Perunding bahasa Inggeris dan pengasas Coaching Zone Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Sarjana Sosiologi, Universiti Kebangsaan Malaysia; Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM)
STATUS: Kahwin
SUAMI: Ridzuan A Ghani
ANAK: Muhammad, 8, Musa, 7, Maryam, 5, Sarah, satu setengah tahun
- HARIAN METRO