Pangkalan kapal selam siap 31 Julai 2009
Pembinaan markas dan dermaga yang bakal menempatkan kapal selam pertama negara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar dijangka siap sepenuhnya sebelum 31 Julai ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, pangkalan yang mula dibina pada Februari 2007 itu akan diserahkan secara rasmi kepada TLDM pada akhir Ogos ini.
Katanya, pada masa ini pembinaan projek di kawasan seluas 129 hektar yang menelan belanja kira-kira RM420 juta itu kini di peringkat akhir pembinaan.
"Kemajuan projek nasional ini telah siap 97 peratus, sebenarnya kita di peringkat terakhir iaitu peringkat ujian. Kita tidak mahu ada masalah bila kapal selam tiba," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke tapak projek kapal selam pertama negara di Pangkalan TLDM Sepanggar dekat sini hari ini.
Turut hadir Panglima Wilayah Laut Dua, Laksamana Pertama Syed Zahiruddin Putra Syed Osman dan Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Japlin Akim.
Menurut Shaziman berdasarkan pemerhatian awal pihaknya, pembinaan dermaga tersebut berjalan lancar tanpa menghadapi sebarang masalah besar.
Bagaimanapun, katanya, beliau telah mengarahkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) membuat pemantauan dan penilaian secara berulang dan berterusan bagi memastikan pangkalan itu berada di tahap terbaik.
Dalam pada itu, katanya, 70 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk menyiapkan projek tersebut merupakan rakyat Malaysia selain pekerja asing dari Indonesia dan Filipina.
"Saya dimaklumkan bahawa projek ini dapat dilaksanakan dengan keadaan yang baik. Majoriti pekerjanya rakyat Malaysia dan dalam masa-masa puncak jumlah pekerja sampai ke 900 hingga 1,000 orang.
"Lebih membanggakan banyak bahagian pembinaan mereka guna Sistem Binaan Berindustri (IBS) sebagaimana yang kita cadangkan bagi meningkatkan lagi kualiti industri pembinaan selain tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing," katanya.
Katanya, dermaga ini menggunakan teknologi terkini dalam pembinaan jeti konkrit terapung bersifat mesra alam dan mampu berfungsi sebagai pemecah ombak yang berkesan.
Sementara itu di Kuala Lumpur, sidang Dewan Rakyat diberitahu, kerajaan membelanjakan sebanyak RM5.29 bilion bagi membiayai pembelian dua buah kapal selam jenis Scorpene yang dibina di Perancis dan Sepanyol iaitu masing-masing KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan tempoh kontrak senggara bagi kedua-dua kapal selam tersebut selama enam tahun dengan syarikat Boustead DCNS Naval Corporation Sdn. Bhd.
''Syarikat itu adalah usahasama antara syarikat tempatan iaitu BHIC Defence Technologies Sdn. Bhd dan syarikat dari Perancis, DCNS S.A," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut).
Lip Eng meminta Kementerian Pertahanan menyatakan kos pembelian submarin KD Tuanku Abdul Rahman, tempoh kontrak memelihara submarin itu dan siapakah syarikat yang diberi kontrak tersebut.
Mengenai nilai kontrak senggara, Ahmad Zahid berkata, ia akan ditetapkan setelah rundingan skop kerja dan harga selesai dilaksanakan.
- UTUSAN