Saling faham memahami - Sultan Perak


Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, sikap saling faham memahami antara satu sama lain adalah kunci bagi membolehkan rakyat berbilang kaum di negara ini hidup dalam keadaan aman dan harmoni.

Titah baginda, keupayaan setiap rakyat untuk memahami budaya dan agama kaum lain juga akan semakin meningkat sekiranya mereka mempunyai kemahiran berkomunikasi secara berkesan.

''Beta benar-benar percaya bahawa kepelbagaian kumpulan etnik adalah sesuatu yang perlu dibangga dan sepatutnya dipertahankan," titah baginda pada pelancaran buku dalam bahasa Inggeris bertajuk Sikh Community in Malaysia di sini hari ini.

Buku bergambar setebal 266 muka surat tulisan Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (GerakSikh), Tan Sri Darshan Singh Gill mengisahkan sejarah kemasukan kaum itu sebagai anggota pasukan keselamatan semasa pemerintahan British, kepercayaan agama, budaya dan sumbangan mereka kepada negara ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim.

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Sultan Azlan Shah bertitah, antara langkah yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kefahaman antara kaum itu ialah dengan menerbitkan buku mengenai latar belakang sejarah dan budaya sesuatu etnik itu.

''Beta sangat gembira kerana usaha seperti ini telah dilakukan oleh kaum Sikh kerana ia bukan sahaja membolehkan mereka mengetahui sejarah warisan sendiri malah memungkinkan pihak lain turut memahami keunikan budaya kaum minoriti ini.

''Buku ini boleh diibaratkan sebagai alat untuk mengadakan dialog antara kebudayaan dan beta percaya rekod sejarah seperti ini tidak akan hilang," titah baginda.

Baginda bertitah, walaupun kaum Sikh hanya terdiri daripada 0.3 peratus keseluruhan rakyat negara ini tetapi mereka masih dapat mengekalkan keunikan budaya tersendiri yang berbeza daripada masyarakat Tamil dan komuniti lain dari India.

''Sikap kaum ini yang berpegang teguh pada kepercayaan agama, amalan budaya dan semangat kemasyarakatan yang kuat tidak syak lagi adalah faktor utama mereka dapat bertahan sehingga kini," titah Sultan Perak.

Baginda bertitah, Perak adalah penempatan pertama kaum itu ketika mula-mula datang ke negara ini ketika zaman pemerintahan British untuk bertugas sebagai polis dan pengawal keselamatan di dalam industri.

''Pada hari ini sumbangan kaum ini telah melangkaui ke bidang-bidang lain termasuk perubatan dan undang-undang," titah baginda.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url