ManagePay menang kontrak sistem tiket ECRL
Anak syarikat milik penuh ManagePay System Bhd, ManagePay Services Sdn Bhd (MPSB), memperoleh kontrak sistem tiket Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada ECRL Operation Sdn Bhd.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, ManagePay memaklumkan bahawa kontrak itu meliputi pembekalan, penghantaran, pemasangan, integrasi, pengujian, pentauliahan dan penyelenggaraan sistem pembayaran terbuka untuk sistem tiket penumpang ECRL.
MPSB akan membangunkan, memasang, menguji, mentauliahan dan menyiapkan sistem bukti konsep awal yang terdiri daripada penyelesaian Pinpad gandingan Sunmi POS dalam tempoh empat bulan dari 15 April 2026, berakhir pada 14 Oktober 2026, menurut kenyataan itu.
"MPSB berhak mendapat imbuhan semata-mata melalui kadar diskaun pedagang yang berkenaan ke atas transaksi yang berjaya diproses semasa tempoh pemprosesan pembayaran dari 1 Disember 2026, atau tarikh transaksi pembayaran komuter luaran pertama yang berjaya diproses melalui sistem ECRL langsung," menurut MPSB.
ECRL ialah rangkaian kereta api sepanjang 665 kilometer direka untuk menghubungkan pantai timur dan barat Malaysia, mempertingkatkan ketersambungan serantau merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Projek ECRL akan terdiri daripada 20 stesen, 10 stesen penumpang dan 10 stesen gabungan penumpang dan barang.
Fasa 2 projek itu menyambungkan laluan dari Gombak ke Pelabuhan Klang, melalui Serendah, Puncak Alam dan Jalan Kastam, menghubungkan ke salah satu pelabuhan paling sibuk di Malaysia, segmen berkenaan penting untuk pengangkutan barang, membolehkan barangan dari Pantai Timur dihantar terus ke Pelabuhan Klang dan hab logistik Lembah Klang.
Operasi ECRL, usaha sama antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Co Ltd akan menguruskan operasi kereta api, ia dijadualkan bermula pada Januari 2027.
-BERNAMA

