Seminggu kes H1N1 naik 400 peratus
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata minggu lepas hanya 21 kes dilaporkan dengan satu jangkitan tempatan, namun hari ini jumlahnya melonjak kepada 80 kes dengan 11 penularan tempatan.
"Ini menunjukkan peningkatan 400 peratus dalam tempoh hanya seminggu, dan ia juga bermakna terdapat lompang dalam sistem pengesanan negara," katanya hari ini seperti dilaporkan Bernama.
Tambahnya, peningkatan ketara ini disebabkan mereka yang masuk dalam negara dilihat "tidak jujur dalam pengakuan mereka" mengenai penyakit yang dihidapi, menyebabkan satu atau dua kes yang tidak dikesan mencetuskan jangkitan tempatan.
"Mereka yang merasakan ada tanda-tanda jangkitan ini perlu berlaku jujur, terutama bagi mereka yang tiba ke Malaysia dari lapangan terbang di negara yang dikesan menularnya jangkitan penyakit ini dengan serius," katanya.
Beliau dipetik berkata mulai hari ini, semua penumpang penerbangan akan diminta mengisi kad amaran kesihatan dalam penerbangan mereka dan menyerahkan ia kepada pihak berkuasa kesihatan sebelum mereka dibenarkan melalui kaunter imigresen.
Tambahnya, pasukan kesihatan juga akan berusaha mengesan penumpang yang "kelihatan tidak sihat".
Dr Mohd Ismail berkata, peraturan baru itu juga akan dikenakan buat penumpang yang tiba dari Filipina, Amerika Syarikat dan Australia, memandangkan ketiga-tiga negara ini mencatatkan jumlah kes jangkitan influenza A (H1N1) yang tinggi.
Beliau berkata para penumpang dari negara-negara ini akan disaring dua kali, iaitu pertama semasa mereka keluar dari pesawat, dan sekali lagi sebelum mereka sampai di kaunter imigresen.
"Kami menasihatkan mereka yang tiba dari negara-negara ini untuk mengenakan kuarantin diri untuk tempoh beberapa hari sebelum memulakan rutin biasa," katanya seperti dilaporkan.
Beliau berkata jawatankuasa teknikal nasional mengenai wabak tersebut yang bermesyuarat hari ini juga memutuskan bahawa rakyat Malaysia yang dijangkiti dengan virus itu tidak perlu menghabiskan keseluruhan tempoh tujuh hari di hospital-hospital yang ditetapkan.
"Mereka boleh balik selepas tiga hari sekiranya mereka tidak demam, tapi mereka perlu manjalani kuarantin diri. Ini hanya dipakai bagi mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
"Kami sedang berusaha meminimakan kemasukan ke hospital akibat jangkitan virus itu," Dr Mohd Ismail dipetik berkata.
Di seluruh dunia, jumlah kes jangkitan virus itu sehingga kini sudah menjangkiti 53,110 orang di 99 negara dan membunuh 232 nyawa.
- MALAYSIAKINI