Temubual dengan Shaikh Ismail - Jangan hanya solat semasa susah

Solat adalah rukun Islam yang kedua selepas mengucap dua kalimah syahadat. Ia juga adalah ibadat yang disyariatkan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW pada malam peristiwa Israk Mikraj iaitu 27 Rejab sebelum hijrah.

Allah berfirman yang maksud-Nya: Sesungguhnya solat itu difardukan ke atas orang Mukmin pada waktu-waktu yang tertentu...(an-Nisa’: 103)

Dalam ayat yang lain, Allah berfirman yang maksud-Nya: ...sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Ankabut: 45).

Namun, hakikatnya, masih ramai umat Islam yang solat tetapi pada masa yang sama terus melakukan maksiat di muka bumi ini.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto ABD. NAZIR MOHAMED menemu bual Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad bagi mengupas isu ini.

MEGA: Sebelum mendirikan solat, antara yang diberi perhatian ialah membetulkan saf. Apakah hikmah daripadanya?

SYAIKH ISMAIL: Saya ada terbaca dalam kitab-kitab dulu bahawa umat Muhammad ini safnya adalah seperti tentera. Ini dari segi lurusnya saf semasa hendak bersolat.

Malah ada hadis Rasulullah SAW yang antara lain bermaksud, “Siapa yang tidak betulkan safnya Allah tidak akan tengok saf yang bengkok”.

Adalah menjadi tanggungjawab imam memerhatikan saf-saf di belakangnya sempurna iaitu lurus. Lurus di sini diukur berdasarkan tumit kaki bukannya jari hadapan kaki. Lagipun, membetul dan meluruskan saf itu adalah termasuk dalam kesempurnaan solat.

Hal ini bukanlah rumit kerana di masjid sekarang sudah ada penanda garisan bagi saf. Cuma bagi mereka yang solat di kawasan yang tidak ada garisan saf, mereka perlu membetulkan saf masing-masing.

Apakah syarat solat yang boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar sebagaimana dalam ayat 45 surah al-Ankabut di atas?

SYAIKH ISMAIL: Solat yang sebenar perlulah melengkapi dari segi hukum dan khusyuknya. Khusyuk itu pula memerlukan kepada sifat ihsan di mana jika kita tidak mampu membayangkan seolah-olah kita berhadapan dengan Allah, ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah itu melihat kita.

Memanglah hal ini bukan mudah dicapai. Sebabnya, syaitan itu akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengganggu kita lebih-lebih dalam solat.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksud-Nya, “apabila azan syaitan itu akan terkencing dan bertempiaran lari demikian juga apabila iqamat tetapi selepas itu dia akan datang semula untuk mengganggu kita”.

Sebab itu, kita kena berjuang bersungguh-sungguh dalam solat. Adakalanya dalam solat kita akan teringat di mana barang kita yang hilang, kerja yang masih tertunggak dan sebagainya.

Apabila ini berlaku, kita hendaklah cepat sedar dan segera menepisnya supaya tidak terbawa-bawa oleh permainan syaitan.

Selain itu, cara berpakaian kita juga boleh membantu mencegah maksiat. Contohnya, jika kita berkopiah atau bersongkok, tak kan kita hendak pergi ke tempat-tempat maksiat.

Demikian juga kalau wanita yang bertudung itu tak sepatutnya mereka turut terkinja-kinja menyaksikan konsert dan sebagainya.

Menutup aurat itu adalah ibadat, jangan jadikan ia adat. Memakai tudung itu sewajarnya membuatkan kita rasa malu hendak melakukan maksiat.

Selain itu, wuduk yang sempurna juga akan membantu kita mencapai tahap solat yang khusyuk.

Pada masa yang sama, amalkan berqiamullail. Orang yang mengamalkan qiamullail juga akan diangkat darjat mereka. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (al-Isra’: 79)

Selain itu, Nabi SAW bersabda, Hendaklah kamu bersolat malam. Sesungguhnya ia amalan yang soleh sebelum kamu, amalan yang mendekatkan kepada Tuhanmu, penghapus kesalahan dan pencegah dosa. (riwayat Muslim)

Pada masa yang sama, jangan kita abaikan berdoa kepada Allah setiap kali selepas solat. Jangan selepas salam, terus angkat kaki.

Solat jemaah itu hukumnya fardu kifayah. Namun, adakah masanya di mana ia boleh menjadi fardu ain?

SHAIKH ISMAIL: Secara asasnya, sesiapa yang mendengar azan hendaklah ia solat di masjid, maksudnya solat berjemaah.

Ummu Maktum misalnya adalah orang buta tetapi dia pun tidak diberi rukhsah (keringanan) untuk tinggalkan solat berjemaah.

Nabi Muhammad SAW juga sama tidak pernah meninggalkan solat jemaah kecuali ketika baginda gering.

Malah dalam sebuah hadis, Baginda SAW ada bersabda yang maksud-Nya, “mana-mana kampung yang di dalamnya tidak didirikan solat jemaah maka ia dikuasai oleh syaitan”.

Dalam hadis yang lain, daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda, “Kalau manusia tahu keutamaan azan dan barisan yang pertama dalam solat, tetapi ia tidak berpeluang mendapatkannya kecuali dengan mengundi, maka mereka akan mengundi. Kalaulah mereka tahu keutamaan solat di awal waktu, mereka akan berlumba-lumba, kalaulah mereka tahu kelebihan solat isyak dan subuh berjemaah, mereka akan datang sekali pun dengan mengisut (tidak boleh berjalan)”.

Hari ini kita lihat, berapa ramai orang yang tinggal berjiran dengan masjid dan surau tetapi tidak datang berjemaah. Kita perlu cari kesempatan hidup yang sementara ini untuk melakukan seberapa banyak ibadat.

Dalam perkara ini, kita perlu bijak iaitu kerja sedikit tetapi untung banyak. Antara caranya ialah dengan menunaikan solat berjemaah yang diberi ganjaran 27 kali ganda berbanding solat sendirian.

Yang ada kelonggaran, barangkali apabila sekali sekala kita solat di rumah bersama anak dan isteri bertujuan melatih mereka berjemaah.

Seperkara lagi yang perlu diberi perhatian ialah masjid perlu dibina di kawasan-kawasan perumahan bukannya di tanah lapang.

Ini supaya ia boleh diimarahkan oleh masyarakat. Kita bimbang akan berlaku sebagai mana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila akhir zaman kelak akan ada banyak masjid besar tetapi tidak ada orang yang mengimarahkannya”.

Ada yang berpendapat, jika dalam hayatnya, seseorang itu jarang bersolat, maka selepas kematiannya, tidak perlulah kita mendoakan baginya atau mengadakan majlis tahlil. Benarkah?

SYAIKH ISMAIL: Antara doa yang mustajab adalah doa kita kepada rakan-rakan seagama. Walaupun jika mereka itu tidak menjaga solat semasa hidupnya selagi mereka masih mengucap syahadat, kita minta ampun juga untuk mereka.

Mudah-mudahan diampunkan dosanya oleh Allah. Apabila kita sedekahkan fatihah, kita beroleh pahala. Inilah yang kita boleh bantu semasa hayat kita, masa di akhirat kelak, kita tidak boleh bantu lagi.

Boleh jadi di dunia dahulu mereka terlanjur, kini ia menjadi teladan kepada orang lain. Cuma, jangan pula kita serah bulat-bulat kepada tuan imam untuk mengendalikannya. Sedangkan anak dan isteri si mati tidak terlibat sama dalam majlis tersebut.

Padahal dalam sebuah hadis lain ada disebutkan antara amalan yang diterima tanpa hijab ialah doa anak yang soleh kepada ibu bapa mereka.

Justeru, anak-anak dan isteri perlu sama-sama melibatkan diri dalam majlis membaca Yasin, tahlil atau majlis lain seperti solat hajat. Pada masa yang sama, kita perlu mendidik anak-anak supaya mereka terdedah dengan aktiviti begini.

Kebanyakan masjid hari ini indah dan dilengkapi pelbagai prasarana termasuk penghawa dingin. Malangnya, bilangan jemaah tidak banyak bertambah. Bagaimana membetulkan keadaan ini?

SHAIKH ISMAIL: Kita perlu meningkatkan kesedaran masyarakat untuk datang berjemaah di rumah Allah ini.

Oleh sebab itu, masjid perlu diimarahkan bukan sahaja dengan ibadat khusus seperti solat fardu berjemaah tetapi juga program lain yang bersifat fardu kifayah. Cuma kena dipastikan kesesuaiannya agar tidak terlibat dalam unsur maksiat.

Adalah malang apabila kita melihat umat Islam sanggup berpanas, berhujan dan berdiri menyaksikan konsert tetapi tidak sanggup berdiri lima minit untuk solat jemaah.

Jangan kita mengingat Allah pada waktu kita susah dan alpa ketika mendapat nikmat. Lagipun, solat adalah soalan pertama ditanya oleh malaikat dalam kubur nanti.

Jika kita berjaya menjawabnya dengan baik, maka akan mudahlah soalan-soalan yang lain.

Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Sesungguhnya manusia itu dijadikan sentiasa dalam keluh kesah (lagi bakhil kedekut), apabila ditimpa kesusahan, ia sangat resah gelisah dan apabila beroleh kesenangan, ia sangat bakhil (kedekut), kecuali orang yang mengerjakan sembahyang iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. (al-Ma’arij: 19-23)

Kita beruntung kerana Allah yang Maha Pemurah hanya mewajibkan kita solat lima waktu sehari semalam berbanding 50 waktu pada asalnya sebagaimana dalam peristiwa Israk Mikraj.

Namun, pahala kebaikan itu diberi ganjaran 10 kali ganda manakala pahala kejahatan hanya diberi satu. Jika kita diperintahkan solat 50 waktu, tidak dapat digambarkan adakah kita mampu melakukannya!

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url