Tujuh prinsip jadi tanda aras USM
Timbalan Naib Canselornya, Prof Madya Omar Osman, berkata prinsip itu sudah diamalkan warga kampus sejak awal tahun ini menggunakan mekanisme tersendiri tanpa pengaruh modul Barat yang keterlaluan.
Katanya, tujuh prinsip itu diadun dari gabungan nilai murni dan kelainan positif yang dijangka mampu melonjakkan universiti ke tahap lebih tinggi.
“Ia akan menjadi penanda aras untuk kita dan universiti lain di negara ini," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Seminar Percambahan Pemikiran Islam di sini, semalam.
Tujuh prinsip itu ialah menyediakan acuan masa depan berasaskan masyarakat Asia dan negara Islam tanpa ikutan gaya Barat; mencari kelainan yang menjadi teras kekuatan bersandarkan nilai, falsafah dan prinsip Islam.
Memelihara dunia melalui keseimbangan alam sekitar untuk diwarisi; pendidikan dan penyelidikan perlu mengambil kira aspek kemanusiaan dengan mengecilkan jurang kemiskinan dan kekayaan.
Bersifat global tanpa sempadan negara dan bangsa; mengelak dari bidang yang melekakan; sedia melakukan pengorbanan dan menyemai sikap kasih pada ilmu.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam USM, Prof Madya Nasirun Mohd Salleh, berkata USM perlu merujuk kepada Tamadun Andalusia dan Baitul Hikmah yang pernah melakar sejarah sebagai tamadun ilmu dunia satu ketika dulu.
Beliau berkata, rangka kerja transformasi harus mengambil kira sokongan kerajaan dan persekitaran untuk membangunkan kepa-karan dan kekayaan sumber sebagai aktiviti universiti.
Dalam memacu pada peringkat global, katanya, USM harus berperanan di peringkat tempatan dengan memberi sumbangan kepada isu kemiskinan dan keseimbangan dalam kehidupan.
"USM harus mewujudkan budaya ilmu tanpa sempadan dan menjadikan disiplin al-Quran sebagai pemangkin pembangunan pendidikan," katanya.
- BERITA HARIAN