Undian SMS - Hanya perlu komputer riba
Pastinya ramai orang di luar sana hendak tahu bagaimana pengiraan SMS setiap program realiti dibuat. Apakah terdapat sebuah mesin yang menerima undian SMS yang dibeli khas oleh stesen TV?
Tahukah anda, SMS tersebut diterima hanya menerusi sebuah komputer riba sahaja?
Perkara ini didedahkan ketika Kosmo! menemubual Pengarah Rentak Setia Sdn.Bhd., Paul Soosay yang mengendalikan kebanyakan program berkaitan SMS di RTM sejak tahun 2003.
Menurutnya, memang ramai orang yang tidak tahu akan menyangka bahawa SMS dikira oleh sebuah mesin besar walhal, ia hanya menggunakan sebuah komputer riba dan beberapa pekerja sahaja.
"Sebenarnya setiap syarikat yang dilantik oleh mana-mana stesen TV menggunakan sistem yang sama seperti kami, cuma perisian yang digunakan berbeza," katanya.
Jelasnya lagi, setiap undian SMS yang diterima terlebih dahulu masuk ke talian syarikat telekomunikasi, kemudian akan beralih kepada sistem pelayan syarikatnya yang terletak di Putrajaya.
Selepas undian SMS tersebut sampai ke syarikatnya dan secara automatik ia akan masuk dalam peti kiraan. Setelah semua proses tamat, pihaknya akan menghantar ucapan terima kasih melalui cara yang sama SMS itu diterima, sebagai tanda SMS pengundi telah dikira.
"Prosesnya kedengaran agak rumit, tetapi sebenarnya ia berlaku dalam masa yang cukup singkat. Setiap pengundi akan mendapat maklum balas terima kasih daripada kami paling lewat pun selama lima saat. Oleh sebab itu keputusan setiap program berasas SMS boleh diketahui dengan cepat.
"Malah, dalam setiap program siaran langsung biasanya, seorang pekerja akan diletak di lokasi program berlangsung dan dia akan dipantau oleh seorang krew produksi. Ia bertujuan mendapatkan keputusan yang telus dan cepat," beritahunya.
Tambahnya, keputusan boleh terganggu jika sistem pelayan atau kelajuan Internet mempunyai masalah.
"Biasanya, kami akan mengambil langkah berjaga-jaga terutama pada final program kerana undian masuk selalunya lebih daripada hari biasa.
"Sistem yang kami gunakan akan memberi amaran jika terdapat kesesakan dalaman dan kami bersedia untuk menambah kelajuan Internet," ulasnya.
Bercerita tentang peratusan keuntungan yang diterima syarikat sepertinya, Paul mengatakan keuntungan yang diperolehi tidaklah sebanyak mana berbanding syarikat telekomunikasi.
"Bukan kami tidak boleh untung, tetapi ia bergantung juga kepada populariti sesebuah program. Kalau program itu mempunyai jumlah pengundi yang besar, syarikat seperti kami juga akan untung. Namun, keuntungannya tidak sebesar mana kerana kebanyakannya keuntungan akan lebih terarah kepada syarikat telekomunikasi," katanya.
Mengikut perhitungan yang dibuat, jika satu SMS undian berjumlah RM0.50, mungkin separuh daripadanya akan pergi kepada syarikat telekomunikasi.
Jumlah selebihnya RM0.25 akan dibahagikan pula antara pihak stesen televisyen dan syarikat yang dilantik untuk mengira SMS.
"Bayangkan berapa yang syarikat kami akan untung daripada jumlah itu. Itu hanya perkiraan kasar sahaja. Biasanya syarikat seperti kami tidak hanya tertumpu pada satu perniagaan dan ada badan kerajaan juga guna khidmat kami untuk memudahkan urusan dengan pelanggan," katanya.
- KOSMO!
byk gak tv leh dpt.. slalu undi mesti smpi ribu2...
klu mc american idol, peh..100juta undian, leh kaya....huahuahua!!!