Top Ad 728x90

KIST bina kompleks pendidikan bernilai RM50 juta

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk membina kompleks pendidikan cawangan Terengganu di Kuala Berang yang akan dimulakan akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam KIST Cawangan Terengganu, Mohd. Zulkifle Abdullah berkata, kompleks setinggi 11 tingkat di kawasan seluas 43.2 hektar itu dijangka siap dalam tempoh setahun setengah dan akan menjadi mercu tanda bagi daerah Hulu Terengganu.

Katanya, dengan siapnya kompleks itu nanti, ia dapat menempatkan lebih 6,000 pelajar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan bagi keselesaan pelajar yang akan mengikuti pengajian di kolej tersebut.

Selain itu, menurutnya, kewujudannya juga mampu menjana perniagaan kepada penduduk dan peniaga setempat selain pengangkutan awam yang sedia ada di Kuala Berang.

''Sejajar dengan pembangunan itu, KIST cawangan Terengganu akan menambahkan program pengajian di peringkat diploma dan sijil dengan pengambilan pelajar empat kali setahun,'' katanya di sini hari ini.

Mohd. Zulkifle berkata, kawasan kompleks pendidikan di Kuala Berang itu merupakan projek perumahan terbengkalai Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan KIST melabur RM17 juta bagi pembelian tapak dan tanah tersebut.

Katanya lagi, projek terbengkalai tersebut dilengkap dari segi infrastruktur seperti rumah banglo 49 unit serta kemudahan jalan raya, bekalan elektrik, surau, bangunan pentadbiran dan sebuah dewan.

Beliau berkata, dengan kemudahan yang sedia ada serta dibaik pulih, KIST memulakan pengajian di daerah itu dengan menawarkan empat program diploma yang telah mendapat kelulusan Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan penempatan 300 pelajar.

''Empat program yang ditawarkan ialah Diploma Sains Kesihatan Persekitaran, Diploma Keselamatan Dan Kesihatan Pekerja, Diploma Sains Senaman Dan Sukan serta Diploma Psikologi,'' ujar beliau.

Menurutnya, program yang ditawarkan itu mampu memberi peluang kerjaya yang cerah sama ada di sektor awam atau swasta.

Beliau menambah, Diploma Sains Senaman dan Sukan yang diperkenalkan itu menjadikan KIST adalah pelopor di peringkat Asia Tenggara dalam melaksanakan program tersebut.

Tambahnya, dalam usaha meningkatkan infrastruktur untuk ke arah menjadi sebuah Kolej Universiti, KIST akan membangunkan beberapa lagi fasa pembangunan dalam tempoh terdekat.

Untuk itu, Mohd. Zulkifle memberitahu, pihaknya memperuntukkan lapan hektar tanah bagi pembangunan kawasan komersial seperti asrama, apartmen kakitangan dan ruang perniagaan.

Sementara itu, menurut beliau, KIST cawangan Terengganu menjalankan program memberi penerangan kepada pelajar tingkatan lima dan enam di sekolah-sekolah menengah di Terengganu mengenai peluang belajar di institusi pendidikan tersebut.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90