18 barang kawalan musim Aidilfitri
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jaminan itu dikeluarkan syarikat yang mengeluarkan barang kawalan yang dimasukkan dalam skim itu.
Beliau berkata, tiada sebab bagi peniaga menjual melebihi harga siling ditetapkan mengikut skim kawalan harga bagi perayaan Aidilfitri tahun ini di 138 daerah di seluruh negara.
"Mengenai bekalan setakat ini saya tidak menerima aduan dan yakin ia mencukupi seperti dijamin pihak industri barang yang dikawal begitu juga yang tidak dikawal.
"Ini apa yang dijanjikan industri makanan dan mereka memaklumkan bekalan melebihi daripada mencukupi, sekali gus harga barang boleh dijual di bawah paras harga siling," katanya pada sidang media selepas melawat Pekan Sehari, di sini semalam.
Antara 18 jenis barang disenaraikan dalam skim kawalan harga itu termasuk ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan pedal), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan pedal), daging lembu tempatan, daging kerbau import (India); Telur ayam Gred A, B, C; kubis bulat import dari Indonesia dan China (tidak termasuk kubis Beijing), cili merah, tomato, kelapa serta ikan kembung.
Ismail Sabri berkata, kementerian sudah mengarahkan pegawai dan anggota penguat kuasa di seluruh negara meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas peniaga supaya mereka dapat mematuhi skim kawalan harga itu termasuk mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu.
"Kita akan menempatkan pegawai penguat kuasa secara statik di pasar minggu untuk memudahkan peniaga membuat aduan dan mengambil tindakan ke atas peniaga yang menjual barangan kawalan itu melebihi harga ditetapkan.” katanya.
Pengguna boleh melaporkan perkara itu menerusi e-aduan@kpdnkk.gov.my, atau SMS aduan ke 32255 dan menghubungi talian bebas tol 1800886800 atau terus ke pejabat KPDNKK berhampiran.
- BERITA HARIAN