Hati Farah sudah dimiliki
Kali pertama Farah Diana Anuar dijemput menjadi penghias muka depan Pancaindera adalah pada 29 Mei 2005. Raut wajahnya cantik bak purnama, senyuman manis, anggun dengan rambut mengurai paras pinggang apabila beraksi di depan kamera.
Walaupun sekadar finalis Akademi Fantasia (AF) musim yang kedua, nama Farah dijulang seperti pemenangnya ketika itu, Zahid dan Linda.
Meskipun boleh dikatakan masih baru dalam industri seni tanah air, kehadiran Farah amat disenangi kerana dia sentiasa menjaga percakapan, tingkah laku dan sensitif dengan keadaan sekeliling agar tidak menyakiti hati orang lain.
Maka tidak hairanlah sekiranya sejak lima tahun lalu, tiada cerita kontroversi diperkatakan melainkan usikan manja pihak media yang mempersoalkan sikap bapanya, Anuar Ali, 55, yang dikatakan lebih sudu daripada kuah kerana mengongkong pergerakan Farah.
Selain itu, kisah cintanya dengan penyanyi dan pelakon yang seangkatan, Adam AF2 turut menjadi sasaran media tetapi ia hanya bertahan untuk beberapa ketika sahaja. Itu sahaja cerita hangat yang boleh disimpulkan buat diri penyanyi ini.
‘‘Farah tidak rasa diri Farah popular atau glamor. Masih seperti dahulu. Rasa seperti baru semalam sahaja Farah keluar daripada AF dan baru hendak mengerti dunia seni. Bila teringat balik, macam-macam yang Farah lalui sepanjang lima tahun kebelakangan.
‘‘Entahlah dari mana Farah dapat kekuatan untuk bertahan hanya Tuhan sahaja yang tahu. Mungkin, Farah beruntung kerana dikelilingi oleh ahli keluarga yang banyak membantu dalam memberi sokongan dan berkongsi perasaan,” katanya ramah.
Farah disifatkan di kalangan wartawan hiburan antara pucuk baru yang subur.
Sebenarnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dia perlu bekerja kuat untuk memastikan namanya terus meniti di bibir setiap peminat selepas kemunculan ramai bakat baru selepas tamatnya pengajian di akademi.
‘‘Kadangkala terfikir juga, kenapa Farah nak sangat jadi artis? Masa awal-awal dulu, memang bersemangat tiap-tiap hari. Maklumlah, baru hendak belajar erti hidup.
‘‘Bila dah lama-lama sikit, barulah Farah rasa sebenarnya bukan mudah untuk bertahan sebagai seorang artis. Banyak pengorbanan yang perlu dibayar,’’ katanya.
Bagaimanapun, tuah ayam nampak di kaki. Tuah Farah tiada siapa yang tahu!
Nilai murni yang ada dalam diri anak kelahiran Kuala Lumpur itu secara tidak langsung membuka mata semua pihak tentang kebolehan dirinya.
Gadis yang terkenal dengan tagline “Breep Breep” ini ditawarkan menjadi duta produk makanan kesihatan Power Root selama lima tahun sejak keluar daripada AF sehingga hari ini. Kontrak Farah disambung dari setahun ke setahun setanding dengan usia Farah dalam bidang seni.
Selain itu, Farah juga menjadi duta produk kesihatan dan kecantikan wanita Intimate dan Syahirah yang membuktikan dirinya masih laku walaupun sepi tanpa liputan media.
*Keluar Maestro
dengan rela
Kesempatan menemuramah Farah diambil dengan menanyakan tentang pengalamannya berada di bawah jagaan syarikat rakaman dan pengurusan Maestro Talent Management Sdn. Bhd. (Maestro).
Apa nasib Farah selepas syarikat sekutu milik Astro yang diwujudkan 24 Julai 2003, terpaksa gulung tikar pada 1 April 2009 dan kemudian menyerahkan tanggungjawab pengurusan artis kepada Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB).
‘‘Alhamdulillah, Farah sekarang ini sudah bebas daripada AESB apabila kontrak berakhir Ogos lalu. Perbincangan telah dilakukan secara berhemah antara syarikat Farah iaitu Farah Diana Entertaiment dengan mereka. Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak menyambung kontrak Farah dan melepaskan Farah secara baik tanpa bermasam muka.
‘‘Bersyukur juga sebab album kedua Farah berjudul Fantasia dapat dilancarkan sebelum Maestro ditutup. Farah kini sudah mempunyai album kedua tetapi lepas ini tanggungjawab Farah lagi bertambah. Kena lebih kuat untuk mempromosikan album,” jelas Farah.
Katanya, dia masih menghargai segala pengorbanan yang dilakukan syarikat tersebut dan tidak akan pernah sesekali mengungkit apa sahaja suratan takdir yang berlaku. Dia juga berpuas hati dengan segala layanan yang diberikan pihak pengurusan syarikat dalam menjayakan promosi albumnya yang mempunyai 12 buah lagu itu.
Mengenai rancangan untuk mempromosikan ‘buah hatinya’ itu, Farah menarik nafas panjang.
‘‘Seboleh-bolehnya saya mahu menawan seluruh pelosok negeri, pasar raya dan pusat beli belah untuk memberi publisiti pada album Fantasia ini. Saya merancang untuk melakukannya selepas Hari Raya seperti mana yang pernah dilakukan pada album pertama dulu.
‘‘Saya tidak boleh ambil mudah dalam urusan promosi album ini kerana ia terhasil daripada selera saya sendiri apabila pihak Maestro memberi peluang mencorakkan album ini,” katanya.
*Teruja sambutan Aidilfitri
Cerita mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal disambut seminggu lagi, Farah sememangnya amat teruja. Tahun ini Farah bersama adik-beradiknya iaitu Najwa, 21, Aizuddin, 19 dan Aimi Shahira, 16, akan pulang beraya di kampung sebelah ibu mereka di Kampung Guar Cempedak, Yan Kedah sebelum pulang ke kampung bapanya di Sungai Petani.
‘‘Selalunya, kami akan pulang ke kampung selepas solat Raya di Masjid Putrajaya. Dah tiga tahun jadual yang sama sebab Farah menerima undangan menyanyi di televisyen pada malam raya dan berakhir awal pagi.
‘‘Kami pernah pulang ke kampung selepas buat persembahan itu tetapi rasa letih, lesu dan mata kuyu pula di pagi Syawal. Pernah juga kami berhenti tidur di dalam kereta dan singgah di Masjid Kuala Kangsar, Perak untuk sembahyang hari Raya. Jadi lebih baik kami pulihkan dulu tenaga sebelum pulang beraya di kampung dengan gembiranya,” kata Farah yang akan bercuti raya selama lima hari tahun ini.
Farah juga bercadang untuk mengadakan rumah terbuka di Rumah Budi Yan, iaitu sebuah pertubuhan yang mengumpulkan anak-anak kurang bernasib baik untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka.
*Bercerita kisah cinta
Sebagai anak dara yang masih bujang, sudah pasti tidak terlepas daripada ditanya tentang soal pasangan hidup. Sebelum ini ada cerita mengenai kisah cintanya tetapi Farah pandai mengelak dengan memberi jawapan selamat.
Adakah Farah sudah menemui cinta sejatinya dan bilakah dia sudi untuk bercerita mengenai kisah percintaannya itu?
Saat diajukan topik itu, Farah sedaya upaya menepis daripada membicarakan mengenai soal berkenaan. Apatah sebelum ini, ada orang yang mengaitkan bapanya punca Farah tidak bersikap terbuka memperkatakan soal hati.
‘‘Abah tidak ada kena mengena dalam pilihan jodoh Farah. Dia sangat memahami dan tidak pernah menolak sesiapa sahaja teman dalam hidup Farah. Bohonglah kalau dalam peningkatan usia Farah sebegini, Farah masih tetap menafikan ada seseorang yang sedang bertakhta dalam diri Farah.
‘‘Tetapi sebagai gadis Melayu yang penuh dengan adat sopan, tidak wajar bagi Farah bersikap terbuka berbicara tentang siapa insan yang telah merebut hati Farah itu. Takut orang mengata dan terus melabelkan Farah yang bukan-bukan seperti perempuan tak tahu malu atau apa-apa lagi. Kalau nak tanya lebih lanjut, boleh tanya Abah,” tuturnya minta difahami.
Lantas soalan yang sama ditanya kepada bapanya yang turut menemaninya pada pertemuan itu. Tegas Anuar: ‘‘Kalau boleh saya tidak mahu masuk campur dalam urusan jodoh anak-anak. Biarlah mereka yang memilih sendiri, bila dah jumpa nanti beritahu saya. Tetapi sebagai seorang bapa, saya tahu Diana (panggilan buat Farah) sedang berkawan dengan seorang usahawan berasal dari utara sejak tiga tahun dahulu lagi.
‘‘Perkenalan itu sebenarnya melalui saya. Mereka bertemu semasa Diana membuat persembahan di sebuah majlis. Dia secara “gentlemen” berjumpa dengan saya dan kami bertukar nombor telefon. Dia adalah peminat anak saya dan sebagai manusia biasa, saya tidak ada masalah untuk melayannya,” kata Anuar tanpa selindung.
Menurutnya, lelaki itu pernah ke rumah mereka untuk berkenalan dan saling kunjung mengunjung antara satu sama lain. Mereka dibenarkan keluar bersama tetapi bukan berdua-duaan, kena membawa bersama adik beradik lain.
Ditanya tentang adakah lelaki bertuah berkenaan adalah pasangan yang paling sesuai buat anaknya itu, Anuar enggan bercerita lanjut kerana baginya urusan jodoh itu ketentuan Tuhan. Dia menerima apa sahaja yang terbaik untuk anaknya itu.
Hanya itu sahaja yang Anuar dapat ceritakan dan pada masa yang sama turut mengharapkan ikatan itu berakhir dengan khabar berita gembira serta kebahagiaan buat anak kesayangannya.
Trivia Farah
1. Membeli kereta Naza Ria 2.5 (Edisi Terhad) berharga RM110,000 pada hari ulang tahun kelahirannya pada 25 Januari 2004 untuk kesenangan keluarganya. Kereta tersebut juga pernah membawa pelajar-pelajar AF2 ke merata tempat termasuk konsert mingguan.
2. Mengadakan kenduri kesyukuran buat peminat selepas tamat pengajian di AF di rumah keluarga ibu di Kampung Guar Cempedak, Yan Kedah dari pagi hingga petang pada 2004.
3. Demi peminat, Farah berdiet untuk kelihatan lebih cantik di majalah dan televisyen dengan menikmati secawan nasi sehari dan lebihkan sayur-sayuran, sup dan biskut. Tidak pernah mengambil pil kurus untuk tujuan itu.
4. Farah masih berjinak-jinak untuk memakai tudung ketika menjayakan program bercorak Islam. Penyanyi ini juga mempunyai pelbagai koleksi tudung.
5. Menjadi salah seorang daripada artis Astro yang menjayakan Radiopera Macam-Macam Cinta di Hot FM. Bergabung bersama personaliti daripada Hot FM termasuk Fara Fauzana dan Ikhwan.
- MINGGUAN MALAYSIA