Bentuk rakyat cekap urus wang
Pensyarah kanan
Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis
Utusan Malaysia pada 9 November lalu melaporkan, seramai 35,000 pengguna menanggung hutang bernilai RM1.9 bilion telah mengikuti program pengurusan kredit di bawah Agensi Kaunseling and Pengurusan Kredit (AKPK) sehingga Oktober 2009.
Ia menunjukkan kejayaan agensi itu dalam menyalurkan perkhidmatan kepada anggota masyarakat yang memerlukannya. Namun daripada segi lain, berita ini menunjukkan bahawa masalah hutang kini semakin serius dan wajar diberikan perhatian.
Ada yang berhutang kerana ia adalah jalan keluar terakhir. Ramai yang tersepit akibat dibuang kerja, kematian pencari nafkah atau masalah kesihatan. Namun, peribahasa Melayu seperti "hutang biduk belum langsai, hutang pengayuh datang pula" memang memberikan gambaran sebenar sebahagian atau segelintir masyarakat pengguna hari ini.
Sikap hendak menunjukkan kemewahan dan kurangnya disiplin dalam soal berbelanja menyebabkan ada anggota masyarakat terjebak dengan masalah hutang. Amalan membuat hutang baru, biarpun hutang terdahulu masih banyak sudah menjadi sebahagian dari budaya masyarakat.
Jika tidak bijak mengurus pendapatan dan tidak ada usaha untuk menambah pendapatan dengan cara yang halal pasti timbul keperluan untuk berhutang. Apabila hutang gagal diuruskan dengan baik akan timbul banyak masalah. Tekanan emosi, berhadapan tindakan mahkamah, diseksa ah long dan rasuah adalah antara natijah yang biasa didengar. Lebih menakutkan, tabiat ini juga boleh menyebabkan manusia menggadai maruah termasuk melacur dan merompak.
Akhbar ini pada 9 Ogos lalu turut melaporkan mengenai sebahagian besar daripada 1.2 juta penjawat awam menghadapi masalah hutang. Ada yang potongan gaji mereka sehingga 60 peratus. Yang tinggal di bandar besar terpaksa berhutang kerana peningkatan kos sara hidup dan bukannya kerana tidak mahir mengurus kewangan.
Kita juga tidak boleh menafikan terdapat ramai yang terjebak dengan hutang ah long dan kad kredit kerana sikap "lebih sudu dari kuah". Gara-gara hendak menikmati gaya hidup lebih dari kemampuan, ramai yang terperangkap dengan hutang. Bebanan hutang sudah tentu memberi kesan terhadap tahap integriti, kualiti kerja dan kecekapan.
Begitu juga dengan penggunaan kad kredit. Perangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan sehingga Mac lalu, secara keseluruhannya pemegang kad kredit menanggung tunggakan kad kredit berjumlah RM24.4 bilion. Sikap sebahagian masyarakat pengguna yang terus terpengaruh dengan iklan-iklan 'mesra' ah long yang ada hampir di mana sahaja juga makin merisaukan. Kita juga perlu memandang serius kegagalan sebilangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membayar balik pinjaman mengikut perjanjian. Sehingga Oktober 2008, terdapat sejumlah 18,532 kes kegagalan pembayaran balik PTPTN yang dirujuk ke mahkamah.
Buy AppleĆ® Computer Buy a new iMac, MacBook and more direct from Apple.
Kementerian Pengajian Tinggi juga menjangka PTPTN akan mengalami defisit berjumlah RM46 bilion pada 2020 berpunca dari kegagalan pembayaran balik. Tidak mustahil jangkaan tersebut menjadi kenyataan jika jumlah peminjam yang gagal melunaskan pinjaman bertambah.
Kegagalan pembayaran balik adalah berpunca daripada sikap peminjam. Sesetengah pelajar mudah terpengaruh dengan iklan, ingin bergaya, tidak berpuas hati dengan apa yang sudah ada serta bernafsu besar untuk berbelanja. Tabiat boros akan berterusan bila sudah bekerja dan menjejaskan kemampuan untuk membayar balik pinjaman. Kenyataan ini ada kebenarannya. Pekerja yang masih muda serta beliau merupakan golongan paling ramai terlibat dengan hutang kad kredit dan ceti haram.
Kelemahan pengurusan kewangan dan kredit dikenal pasti sebagai satu daripada punca timbulnya masalah sosial. Antaranya rasuah. Bagi mereka yang rendah tahap intregriti, jalan pintas mungkin menerima rasuah.
Masalah kewangan juga dilaporkan sebagai satu daripada punca penceraian. Statistik menunjukkan terdapat sejumlah 75,299 kes cerai di seluruh negara pada 2007 dan 2008 termasuk kes-kes tertunggak bagi tahun-tahun sebelumnya. Keruntuhan keluarga seterusnya boleh menyumbang kepada masalah akhlak dan disiplin remaja seperti dibuang sekolah, merempit, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan sebagainya.
Masalah hutang juga menyumbang kepada gangguan emosi, tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pekerjaan atau tertekan kerana diburu ah long. Ada yang disenarai hitam oleh institusi kewangan sehingga tidak boleh membuat sebarang pinjaman dan diisytiharkan bankrap. Data BNM mendedahkan bahawa jumlah individu yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2008 adalah sebanyak 13,907 kes yang berpunca daripada kegagalan membayar hutang kad kredit, pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman pendidikan dan tunggakan hutang bank.
Tindakan undang-undang tidak mampu menyelesaikan masalah-masalah berkaitan hutang dengan berkesan. Untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai kesedaran akan kepentingan pengurusan kewangan dan kredit memerlukan tindakan-tindakan yang berbentuk jangka panjang. Antara usaha jangka panjang yang boleh dibuat ialah dengan memperkenalkan mata pelajaran yang berkaitan pengurusan kewangan peribadi untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta pelajar sekolah.
Panduan-panduan yang berkaitan dengan pengurusan kewangan berhemah, tabiat menabung, mengurus kredit dengan berkesan, mengurus perbelanjaan, etika dan tanggungjawab sebagai peminjam dan lain-lain lagi perlu dirangka dan dijadikan sekurang-kurangnya kursus di peringkat elektif di IPT.
Usaha-usaha sebegini bukan sahaja mampu melahirkan graduan berilmu tetapi membantu pembentukan sikap yang betul dalam soal pengurusan kewangan. Begitu juga dengan pelajar sekolah. Jika anak-anak diberikan tunjuk ajar bagaimana wang belanja yang diberikan oleh ibu bapa boleh digunakan dengan berkesan, kita akan dapat melahirkan generasi yang cekap menguruskan kewangan. Maka masyarakat masa depan juga akan kurang berdepan dengan masalah berpunca dari wang.
Jika kita dapat mendidik remaja dalam soal pengurusan kewangan yang berhemah, saya percaya kita akan menyediakan remaja dengan benteng yang kuat untuk berdepan dengan 'ancaman-ancaman' iklan dan promosi gaya hidup moden yang hanya mementingkan keuntungan.
Sama ada pelajar IPT atau pelajar sekolah, kaedah-kaedah yang berbentuk hands-on seperti penglibatan pelajar dengan kegiatan pengurusan koperasi, aktiviti keusahawanan serta kempen-kempen berkaitan, mampu membentuk generasi yang mahir mengurus kewangan. Kita sangat memerlukan satu mekanisme yang berkesan untuk membentuk generasi masa depan yang cekap mengurus hutang dan perbelanjaan.
Usaha-usaha sebegini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Individu yang mempunyai kesedaran dan pengetahuan untuk mengurus kewangan peribadi dengan berkesan akan membantu melahirkan masyarakat pekerja yang lebih berdisiplin. Perkara itu dapat dilihat daripada segi perbelanjaan dan membantu negara untuk menggunakan sumber kewangan secara berkesan. Secara tidak langsung ia akan turut menyumbang kepada keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat serta mengurangkan gejala sosial yang berpunca dari wang. Berdasarkan kepada beberapa teori gelagat, manusia akan cenderung untuk bertingkah laku berdasarkan kepada sikap yang telah terbentuk.
Jika kita mampu membentuk sikap yang betul dalam soal pengurusan kewangan seperti berhutang, menabung, perbelanjaan berhemat dan sebagainya, nescaya kita akan mampu memastikan remaja pada hari ini akan menjadi generasi pekerja yang bebas dari masalah hutang yang tidak sepatutnya.