Berdiri di sebelah ikan duyung singa

Oleh Zin Mahmud

Apakah ikan duyung singa? Ikan duyung tetapi berkepala singa. Dalam bahasa Inggeris disebut merlion. Ikan duyung dipanggil mermaid. Maka ikan duyung singa menjadi merlion. Istilah bahasa Melayu ialah singa laut. Tetapi jika menggunakan istilah ini, akan keliru pula dengan haiwan di kawasan kutub. Seperti juga anjing laut. Sepatutnya haiwan yang dikenali sebagai singa laut dipanggil kucing laut. Tetapi istilah kucing laut tidak timbul pula. Singa laut muncul kerana terjemahan daripada sea lion.

Ikan duyung singa ini bentuknya seperti kuda laut, Cuma kepalanya adalah singa. Tidak seperti kuda laut, ikan duyung laut adalah haiwan mitos yang dijadikan lambang dikaitkan dengan Singapura. Sambil mengambilnya daripada kisah purba ketika Singapura dikenali sebagai Temasek. Nama Temasek merujuk kepada sebuah perkampungan kecil, dan bukannya keseluruhan pulau di Singapura, sebelum wujud nama Singapura.

Ia adalah istilah diberikan oleh Majapahit yang ketika itu pengaruhnya sampai di luar Jawa. Pada zaman Majapahit, semua pulau di luar Jawa dalam kepulauan Melayu dipanggil Nusantara.

Bagi mereka kedaulatan Majapahit yang merupakan kerajaan di Jawa Timur berpengaruh ke atas dua entiti geografi, iaitu Jawa dan Nusantara. Kini istilah Nusantara digunakan untuk merujuk ke seluruh kepulauan Melayu termasuk Jawa dan Semenanjung Malaysia. Tetapi di Indonesia kini, istilah Nusantara seringkali hanya merujuk kepada negara itu.

Istilah Temasek bermakna laut. Mungkin daripada perkataan tasek, makna air yang di lingkungan tanah. Dengan penambahan 'em' di tengah, ia menjadi Temasek.

Pada zaman purba, manusia tidak tahu bahawa dunia ini bulat seperti bola. Maka dari pandangannya, mereka mungkin menyangka laut adalah sebuah tasik yang besar, maka itulah perkampungan yang diwujudkan oleh Majapahit di situ dinamakan Temasek.

Tidak lama kemudian, pengaruh Majapahit tercabar dengan kemunculan kerajaan baru di Sumatera berpusat di Palembang yang bernama Seri Wijaya. Kedaulatannya tersebar di kepulauan Melayu. Seorang puteranya, Sang Nila Utama sampai ke pulau di mana terletaknya Temasek.

Setelah berburu di hutan itu, dia terserempak dengan seekor haiwan yang dikatakan oleh pegawainya sebagai singa. Maka dinamakanlah pulau itu Singapura, iaitu kota singa.

Itu mungkin legenda atau mitos. Mana ada singa di Asia. Haiwan keluarga kucing besar di Asia adalah harimau. Mungkin yang dilihat oleh Sang Nila Utama adalah harimau. Harimau sememangnya pernah ada di Singapura. Harimau akhir di pulau itu ditembak pada tahun-tahun 1930-an oleh pihak British.

simbol

Harimau di Singapura berasal dari Johor, yang berenang atau berjalan kaki ketika Selat Johor begitu cetek. Walaupun tidak ada singa di Asia tetapi singa sebagai simbol raja dan kekuasaan tetap muncul di benua ini. Singa hanya ada di Afrika. Tetapi haiwan ini diambil oleh Mesir purba menjadi suatu lambang kekuasaan. Maka patung sphinx, singa berwajah manusia diabadikan di sebelah piramid.

Simbol singa sampai juga ke benua India dan seterusnya ke Asia Tenggara melalui budaya Hindu dan Buddha. Lambang Sri Lanka ialah singa. Di Jawa pernah ada kerajaan Singhasari, yang juga meletakkan singa sebagai simbol. Di Bali, ada dewa singa. Tarian barongan menggunakan singa sebagai haiwan simbolik. Ada haiwan mitos manusia berkepala singa dipanggil Narasinga. Harimau Bali yang sudah pupus, berwarna putih mempunyai rupa seperti singa.

Kerajaan British di bawah Ratu Victoria menjadikan singa sebagai simbol empayarnya. Jadi apabila Stamford Raffles memperoleh pulau Singapura daripada Kerajaan Johor-Riau yang menjadi pewaris kepada Kesultanan Melaka dan Seri Wijaya, ia membawa simbol singa empayar British ke Singapura.

Apabila Singapura merdeka, simbol ikan duyung singa dijadikan lambang agensi pelancongannya, dan didaftarkan sebagai tanda dagangnya. Sebuah patung ikan duyung singa didirikan dan menjadi ikon tarikan pelancong. Ia terletak berhampiran jeti utama Singapura menghadap laut.

Menurut cerita orang tua yang hidup tahun 1920-an, di kawasan itu adalah tempatnya di mana kapal-kapal khususnya dari Nusantara mendarat.

Pada satu musim tertentu, dari jeti itu akan kelihatan laut dari jauh di mana permukaan sepanjangnya berwarna putih. Semakin lama warna putih itu akan membesar. Ia adalah sebenarnya layar-layar kapal Bugis dari Makasar yang datang berdagang. Maka penuhlah jeti itu dengan kapal-kapal layar putih.

Begitulah juga apa yang dikenang oleh penulis ketika berdiri di sebelah ikan duyung singa buat pertama kalinya pada tahun 1976. Selepas 33 tahun kemudian, minggu lalu penulis sekali lagi berdiri di sebelah patung ikan duyung singa. Sudah tidak ada laut di depannya lagi. Juga tidak ada kelihatan apa pun kapal. Apa yang ada di depan ikan duyung singa ini ialah tasik, bukan laut.

Kini dinamakan Marina Bay. Depan penglihatan ialah tiga menara yang pesat dibina, akan menjadi pusat tarikan baru Singapura, dan juga pendapatan bagi republik itu. Di atas menara-menara itu akan didirikan kasino.

Pernah beberapa tahun lalu, penulis diundang bertemu dengan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew di Kuala Lumpur.

Sambil menyatakan bahawa beliau masih ingat menjadi peguam Utusan Melayu pada zaman sebelum merdeka, Kuan Yew juga menyatakan bahawa negaranya perlu mencari sumber pendapatan baru. Antaranya ialah litar F1.

Tidak lama kemudian, bukan saja perlumbaan F1 diadakan di Singapura tetapi juga projek pusat perjudian didirikan sedangkan bagi generasi pejuang kemerdekaan, amalan judi apatah lagi perniagaan kasino dianggap sebagai sesuatu yang buruk dan boleh mendatangkan masalah sosial.

Dunia sudah berubah, patung ikan duyung singa itu tidak akan bermimpi dapat melihat kapal-kapal layar putih berdagang, tetapi sebaliknya melihat pelancong-pelancong berduyun untuk berjudi di Marina Bay Singapura.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url