Laman web Ayam Brand bantu pelbagaikan resipi

Ramai yang mungkin tidak tahu bahawa jenama makanan dalam tin yang terkenal di Malaysia, Ayam Brand sebenarnya telah berusia 117 tahun - satu usia yang cukup lama bagi seorang manusia.

Produk makanan yang tidak mengandungi tambahan pengawet dan tiada tambahan MSG ini mempunyai penggemar daripada pelbagai peringkat usia dan golongan.

Bermacam-macam jenis resipi dapat dihasilkan untuk sajian seharian menggunakan produk tersebut

Bagi membantu pengguna mempelbagaikan resipi mereka menggunakan Ayam Brand, baru-baru ini ia telah melancarkan laman web resipi berkonsep video dan informasi nutrisi bagi memupuk kaedah memasak dan cara hidup yang lebih sihat.

Resipi video ini adalah dalam format MP4 dan boleh dilihat melalui laman sesawang, dihantar sebagai e-mel atau pautan kepada rakan-rakan, dimuat turun ke dalam komputer, iPod, smartphone atau alat penyimpanan yang lain.

Bagi mereka yang gemar menyimpan resipi dalam salinan kertas, ia telah menyediakan versi pdf yang mudah dimuat turun dan boleh dicetak dengan menggunakan warna dan toner yang minimum.

Pengurus Besar Ayam Brand, Ting Seng Hee berkata, daripada kajian yang dijalankan oleh Ayam Brand mendapati 66 peratus daripada mereka yang melayari laman sesawangnya ingin mencari idea mengenai resipi-resipi baru.

Sementara itu, 34 peratus lagi mencari mengenai informasi produk yang berkaitan tentang kesihatan dan nutrisi.

''Kepekaan terhadap kehendak pengguna merupakan satu komponen yang penting bagi menjamin kejayaan jenama ini.

"Justeru bagi memenuhi kehendak pengguna, Ayam Brand telah melancarkan laman sesawang berevolusi, iaitu laman resipi video bersama nutrisi dan informasi kesihatan yang mudah digunakan oleh pengguna.

''Pengguna boleh melayari laman sesawang kami bagi mengetahui lebih daripada 100 resipi.

"Selain itu, pengguna boleh mengikuti arahan langkah demi langkah bagi menyediakan pelbagai jenis masakan yang enak, sihat dan mudah disediakan menggunakan produk Ayam Brand dalam pilihan Bahasa Melayu, Cina dan Inggeris," katanya ketika ditemui di The Cooking House, Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

Seng Hee berkata, produk Ayam Brand meliputi kategori-kategori yang berbeza seperti buah-buahan, sayur-sayuran, santan, kacang panggang, tuna, makerel dan sardin.

Seng Hee menambah, melalui www.ayambrand.com.my resipi-resipi boleh dicari berdasarkan bahan utama yang digunakan seperti makerel, tuna, sardin, kacang panggang, santan dan sebagainya.

''Selain itu pengguna juga dapat memperoleh resipi-resipi berinovatif di bawah kategori Dishes Facelift, resipi-resipi sihat dan juga tip memasak di bawah kategori Cooking Tips.

''Setiap resipi dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu pengenalan kepada masakan, bahan-bahan yang diperlukan, kaedah-kaedah memasak dan juga tip bagi menghias masakan tersebut," katanya.

Pada majlis pelancaran tersebut Chef Nathalie Arbefeuille telah mendemonstrasikan empat resipi dari laman web tersebut yang sesuai disediakan untuk sarapan pagi, tengah hari, minum petang dan makan malam dengan menggunakan produk Ayam Brand.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url