Calon SPM perlu jaga kesihatan, tenang hadapi peperiksaan

Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disaran menjaga kesihatan mental dan fizikal, selain bijak mengurus masa sebagai persediaan terakhir menghadapi peperiksaan bermula 18 November 2009.

Ini bagi memastikan mereka fokus kepada peperiksaan diduduki, sekali gus memperoleh markah maksimum serta cemerlang dalam peperiksaan penting itu.

Pendaftar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Kolej Perubatan Diraja Perak, Ipoh, Dr Ahmat Zamry Abdullah, berkata pelajar juga perlu bijak mengurus masa dan berehat secukupnya bagi mengelakkan tekanan sehingga boleh menjejaskan tumpuan ketika peperiksaan.

“Calon perlu memberi perhatian serius terhadap subjek tertentu, khususnya membabitkan matematik dan sains kerana ia mempengaruhi permohonan ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Menguasai teknik menjawab soalan dengan baik membantu calon SPM menduduki peperiksaan dengan yakin dan berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sijil kepada peserta Bengkel Skor A SPM, di Ipoh, baru-baru ini.

Seramai 180 calon SPM di sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah menyertai bengkel anjuran sisipan SKOR terbitan Berita Harian membabitkan mata pelajaran Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Fizik.

Ahmad Zamry juga berkata, pelajar perlu konsisten ketika mengulang kaji dan jangan memaksa diri untuk belajar kerana ia boleh mendatang kesan kurang baik kepada mereka.

Peserta dari Sekolah Menengah Convent Ipoh, Diana Hanishha Jefri, berkata bengkel disertainya meningkatkan semangat dan keyakinan untuk menduduki peperiksaan, lebih-lebih lagi apabila penceramah menunjukkan panduan menjawab soalan secara tepat dan berkesan.

Katanya, semua pengetahuan yang diperoleh menerusi program itu akan diaplikasikan ketika menjawab soalan peperiksaan SPM nanti.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url