Hai-O harap tingkatkan lagi prestasi

Hai-O Enterprise Bhd., sebuah syarikat pemasaran pelbagai tingkat (MLM), yang terus memberikan keputusan yang menarik berharap untuk meningkatkan lagi prestasi syarikat itu dengan pencapaian positif dari pasukan usahawan Melayunya.

Pengerusinya, Tan Sri Osman S. Cassim berkata, sambil persekitaran perniagaannya kekal mencabar, Hai-O terus memberi fokus bagi menguasai sesetengah peluang yang tertangguh disebabkan kemelesetan ekonomi global.

Syarikat itu telah terus menambah baik prestasinya bagi tempoh tiga tahun lepas dengan kadar pertumbuhan tahunan yang dikompaun (CAGR) lebih 40 peratus di segi perolehan dan lebih 60 peratus di segi keuntungan bersih.

Bagi keputusan suku pertama berakhir 31 Julai, kumpulan itu mencatatkan peningkatan perolehan RM148.57 juta berbanding dengan RM112.91 juta bagi suku yang sama tahun sebelum ini, yang merupakan kenaikan kira-kira 32 peratus.

"Malah kami mempunyai prospek yang baik bagi tahun depan, kami telah menambah produk seperti produk penjagaan kesihatan dan akan terus mengembangkan perniagaan kami," kata Osman pada sambutan Forbes Asia 200 Best Under A Billion List ketiga di Singapura Rabu.

Osman juga menyatakan bahawa dengan pembukaan perniagaan jualan langsungnya di Indonesia pada suku pertama tahun depan, ia akan dapat meningkatkan lagi sumbangan keputusan yang menarik kepada kumpulan Hai-O.

Syarikat itu diiktiraf sebagai salah satu daripada hanya lapan perbadanan dari Malaysia yang memenangi anugerah Forbes.

"Anugerah ini berdasarkan beberapa kriteria, salah satu daripadanya ialah prestasi yang baik, kawal atur korporat yang baik, pulangan yang baik kepada para pemegang saham serta prospek masa depan syarikat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Kai Hee yang ditemui pada majlis anugerah itu turut gembira dan mengakui bahawa kejayaan syarikat itu dicapai hasil kerja keras pasukan pemasarannya yang terdiri daripada bumiputera yang setia.

Katanya, syarikat itu berharap melahirkan lebih ramai usahawan jutawan bumiputera walaupun berhadapan ekonomi yang mencabar.

Kini terdapat lebih 100,000 pengedar yang berdaftar dengan syarikat itu, tetapi hanya kira-kira 10,000 hingga 20,000 yang sangat aktif, katanya.

"Kami bertuah kerana mempunyai kumpulan usahawan bumiputera yang ikhlas, jujur, berkerja keras dan sentiasa memberikan perkhidmatan yang baik serta boleh menarik pelanggan," kata ahli perniagaan berusia 75 tahun itu.

Katanya, kira-kira 10 hingga 15 pengedar bumiputera bakal muncul sebagai jutawan di dalam tempoh setahun melalui kerja keras masing-masing.

Selain kumpulan Hai-O yang mendapat pengiktirafan rasmi hasil usaha keras masing-masing sejak setahun yang lepas, beliau percaya ia merupakan matlamat yang cuba dicapai oleh kesemua perusahaan kecil dan sederhana yang lain di seluruh negara.

"Dari 2007 hingga 2009, syarikat itu telah melalui proses pemilihan ketat Forbes dan mengikut konsep pengurusan mampan pada tempoh jangka masa panjang," kata Kai Hee, sambil menyatakan kejayaan itu adalah hasil kerja keras sehingga disenaraikan oleh Forbes bagi tahun ketiga berturut-turut.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url