Empat gempa di Kuala Pilah, terbaru 2.30 petang 30 Nov 2009
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini, gempa bumi itu berpusat di 22km timur Seremban dan merupakan kejadian terbaru daripada tiga kejadian gempa bumi yang berlaku di lokasi sama sejak semalam.
Kejadian gempa bumi pertama berlaku pada pukul 2.30 petang semalam dan hari ini sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini, menurut kenyataan itu.
Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah.
Menurut kenyataan itu, kejadian gempa bumi lemah adalah kesan daripada gempa bumi kuat yang berlaku di Indonesia baru-baru ini.
Penduduk tertanya-tanya gempa di Kuala Pilah
Penduduk tempatan Kuala Pilah, Negeri Sembilan masih tertanya-tanya sama ada gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di daerah itu benar-benar terjadi.
Seorang penduduk Abd Karim Manan berkata, beliau tidak merasai apa-apa gegaran kesan daripada kejadian tersebut.
"Saya pada masa itu pun belum tidur lagi," katanya kepada Malaysiakini ketika diminta menceritakan laporan gempa berukuran 3.3 pada skala Richter yang dilaporkan di daerah tersebut awal pagi ini.
Laporan Bernama, yang memetik kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia itu menyebut, gempa bumi berkenaan berlaku pada jam 12.15 pagi, berpusat di 22km timur Seremban.
Abd Karim, yang berada di Kuala Pilah malam tadi, menjelaskan beliau juga tidak mendengar apa-apa laporan berita berkaitan kejadian itu.
Seorang pemimpin parti politik tempatan juga tidak dapat mengesahkan kejadian tersebut, malah tidak mengetahui langsung kejadian tersebut hinggalah dihubungi wartawan petang ini.
"Kalau ada, inilah kejadian pertama yang berlaku di Kuala Pilah, tapi kita tidak boleh pastikan ada atau tidak ada," katanya.
Beliau, yang enggan namanya disebut, bagaimanapun mengakui kejadian gempa bumi itu diperkatakan oleh masyarakat apabila beliau melakukan tinjauan rambang.
"Saya sudah tanya ramai ketua kampung dari Seremban sampai Kuala Pilah, tapi semuanya kata tidak ada (berlaku)," katanya.
"Tapi ada yang kata (berlaku) di Senawang, kita pun tidak boleh pastikan perkara sebenar. Ini semua khabar-khabar angin sahaja."
Gegaran akibat gempa bumi itu dapat dirasai oleh penduduk di kawasan berkenaan, bagaimanapun, orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana gegaran itu adalah lemah, menurut kenyataan terbaru Jabatan Meteorologi Malaysia.
Empat gempa bumi itu berlaku di lokasi sama sejak kejadian pertama 2.30 petang semalam.
Hari ini, sebanyak tiga kejadian gempa bumi direkodkan oleh Jabatan Meteorologi yang berlaku pada pukul 12.15 tengah malam tadi, 9.10 pagi dan 2.30 petang ini.
Sejak penghujung 2007, Malaysia mencatatkan 40 gempa bumi lemah, tetapi yang ketara 37 daripadanya berlaku di sekitar garisan gempa bumi di Bentong di Pahang.
Tiga lagi gempa bumi itu di Manjung (Perak) dan Jerantut (Pahang).
Pengarah jabatan itu Dr Rosaidi Che Abas dilaporkan berkata sejak November 2007 sehingga Mei tahun lepas, sebanyak 29 gempa bumi dicatatkan di kawasan Bentong.
Kes terbaru pada 8 Okt lepas bagaimanapun mencatat gempa bumi paling kerap, sebanyak lapan kali dari pukul 4.45 pagi hingga 12.05 tengah hari, bermagnitud antara 1.1 hingga 2.8 skala Richter.
Kesemua gempa bumi itu dikesan di sekitar Bukit Tinggi dan Janda Baik yang mempunyai garis sesar berukuran 15 kilometer lebar dan 70 kilometer panjang.
- MALAYSIAKINI