Jemaah haji perlu elak terdedah cuaca kering
Sehingga semalam, Hospital Syisya menerima 11 pesakit, manakala 11 orang lagi dimasukkan ke wad di Hospital Aziziah.
Selain kedua-dua hospital itu, ramai jemaah haji berurusan dengan klinik-klinik kesihatan yang disediakan di maktab penginapan mereka kerana pelbagai penyakit.
Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan), Dr. Ahmad Faudzi Yusoff berkata, sebahagian besar pesakit yang dimasukkan ke wad melibatkan jemaah warga emas berusia lebih 60 tahun.
Beliau menasihati jemaah haji warga emas jangan terlalu terdedah kepada perubahan cuaca panas dan kering di Mekah sekarang dan perlu banyak meminum air.
''Elak terlalu banyak terdedah kepada cuaca panas dan banyaklah minum air,'' katanya kepada pasukan media Tabung Haji di sini, hari ini.
Selain cuaca yang semakin panas mencecah 37 darjah celsius pada waktu siang, kehadiran lebih satu juta jemaah memudahkan jemaah mendapat batuk akibat terhidu debu.
Dr. Ahmad Faudzi turut menasihatkan jemaah lelaki supaya memakai penutup kepala apabila melakukan aktiviti di luar penginapan mereka.
Ketika mengulas pemeriksaan pasukan pemeriksaan Kementerian Kesihatan Arab Saudi ke atas hospital dan klinik Tabung Haji semalam, beliau berkata, pada keseluruhannya kementerian tersebut berpuas hati dengan operasi dan kemudahan yang disediakan.
Malah, jelas beliau, ketua pasukan pemeriksa, Dr. Mohammad Salim Al-Khayyat memuji operasi dan kemudahan yang disediakan di Hospital Syisya dan Hospital Aziziah.
''Seperti pada musim-musim haji sebelum ini, pihak Kementerian Kesihatan negara ini berpuas hati dengan kemudahan yang kita sediakan. Malah, sistem data maklumat yang kita gunakan adalah perkara baru bagi mereka,'' jelas Dr. Ahmad Faudzi.
Sementara itu, seorang jurucakap Tabung Haji memberitahu sehingga hari ini kira-kira 12,000 jemaah haji dari Malaysia telah memasuki tanah suci Mekah dan sebahagian besarnya melalui Madinah.
Bagaimanapun mulai 4 November lalu, jemaah haji Malaysia memasuki tanah suci ini melalui Jeddah.
- UTUSAN