Kayu tempatan di persada antarabangsa

Awal kurun ke-18, pokok jenis kayu keras (hardwood) seperti cengal, merbau dan resak merupakan bahan-bahan binaan yang boleh dikatakan popular di kalangan komuniti pembalak British.

Bahkan, United Kingdom (UK) yang baru sahaja menceburi industri perhutanan Malaya (ketika itu) telah mengiktiraf ciri-ciri komersial pada hasil hutan Semenanjung negara menerusi jurnal Commercial Woods of The Malay Peninsula - Malayan Forest Records, No. 1” cetakan tahun 1921.

Bagaimana pada tahun 1960-an, apabila berlakunya penukaran tanah berskala besar bagi tujuan pertanian, maka pembangunan pemuliharaan kayu balak barulah dilihat sebagai industri serius di Malaysia.

Hasilnya, kayu balak tempatan daripada spesies kayu keras sederhana dan ringan mendapat pengiktirafan yang luar biasa di pasaran dunia.

Spesies Dipterocarp seperti meranti, keruing dan kapur turut mendapat populariti mendadak dan sejak itu mendominasi sektor balak negara.

Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun berkata, ironinya, kejayaan spesies-spesies terbabit menjadi halangan kepada banyak lagi spesies baru yang berpotensi.

“Meskipun spesies baru ini tidak dapat menandingi jumlah Meranti tetapi jumlah kuantitinya cukup besar untuk dipergunakan dengan konsep kumpulan akhir-guna (end-use),” jelasnya baru-baru ini.

Bagi memacu hala tuju industri kayu negara secara mapan dan terus bersaing di peringkat global yang semakin mencabar, Dasar Perindustrian Kayu Negara (Natip) diwujudkan.

Objektifnya adalah merangka strategi pembangunan industri kayu, memastikan perkembangan dinamik sektor huluan dan hiliran serta mempertingkatkan daya saing industri tempatan bagi menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.

MTIB pula bertanggungjawab sebagai pendaftar perniagaan import dan eksport balak, mengeluarkan lesen import dan eksport, pemeriksaan fizikal konsainan balak, latihan teknikal dan perindustrian.

Di samping itu, ia juga menawarkan perkhidmatan dalam talian seperti perkhidmatan pertukaran maklumat balak (TIES), eMall@MTIB, MTIB Web Opac, sistem teras MTIB (MCS), e-Response, Rubberwood-E, Perkhidmatan Verifikasi Balak (TVS), e-perpustakaan, Primos dan TMIN.

MTIB turut mengendalikan aktiviti penanaman hutan, khidmat nasihat teknikal, bumiputra, promosi dan maklumat pemasaran antarabangsa, promosi domestik, pembangunan standard dan menyimpan senarai pembekal dan perawat balak berkelayakan (CST), pelaburan insentif serts pemeriksaan gred kayu.

Sumber ekonomi

Sehingga hari ini, industri balak kekal sebagai penyumbang ekonomi utama khasnya kepada Sabah dan Sarawak meskipun industri tersebut masih didominasi pengeluaran produk papan lapis (plywood).

Tahun lalu, plywood merangkumi 47 peratus jumlah eksport balak Sabah atau RM1.43 bilion dan 55 peratus atau RM4.45 bilion bagi Sarawak.

Setiap tahun di seluruh negara, industri kayu-kayan mencatatkan pencapaian memberangsangkan.

Secara keseluruhan, lebih RM20 bilion dijana menerusi industri ini sejak hampir lima tahun lalu termasuk pada 2008 apabila ia mencatat jumlah eksport bernilai RM22.79 bilion.

Ini hasil peningkatan minimum berbanding RM22.76 bilion tahun sebelumnya ekoran kelembapan ekonomi global dunia.

Manakala sebanyak 48 peratus daripada 117,688 tan balak dan produk pembalakan di Semenanjung Malaysia dihantar melalui Pelabuhan Klang diikuti Pulau Pinang (32 peratus) dan Tanjung Pelepas (12 peratus ).

Eksport

Di samping itu, perabot kekal sebagai penyumbang utama iaitu 30 peratus daripada keseluruhan eksport kayu-kayan tempatan diikuti papan lapis 28 peratus. Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun adalah pengimport utama perabot tempatan.

Manakala pasaran utama sektor papan lapis pula terdiri dari Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Kesinambungan krisis ekonomi global awal tahun ini bagaimanapun mengakibatkan penurunan pada jumlah eksport perabot rotan dan kayu. Pada Januari lalu sebanyak 14 peratus penurunan atau RM508 juta berbanding RM588.1 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. Eksport perabot kayu ke AS turut berkurangan 12 peratus atau RM136.2 juta.

Permintaan dari UK dan Australia terus mencatat penurunan sebanyak 32 peratus dan 33 peratus iaitu RM37.9 juta dan RM30.3 juta.

Trend sama dilihat pada penghantaran ke Singapura dan Canada yang masing-masing berkurangan sebanyak 21 peratus dan 16 peratus menjadikannya RM19.6 juta dan RM19.9 juta

Pun begitu, eksport ke Jepun menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus iaitu RM78.5 bilion diikuti Belanda ( 55 peratus , RM9.1 juta) dan Jerman (20 peratus, RM11.1 juta).

Biokomposit

Sementara itu, sebagai segmen alternatif, produk biokomposit yang dihasilkan daripada sumber serat tumbuhan mempunyai potensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Malah, di kebanyakan negara maju seperti Eropah, bahan serat semula jadi dijadikan alternatif berpotensi kepada industri tempatan bagi mengeluarkan produk biokomposit tambah nilai.

Pada masa ini, terdapat jumlah sisa kayu dan serat semula jadi lain yang cukup tinggi daripada sektor pertanian seperti batang pokok kelapa sawit (OPT), pelepah kelapa sawit (OPF) dan gugusan buah-buahan kosong (EFB), kenaf, serat batang pokok kelapa serta hampas padi.

Adalah penting bagi membangunkan industri produk biokomposit negara sebagai strategi jangka panjang untuk pertumbuhan kekayaan dan kemewahan serat tumbuh-tumbuhan yang masih belum digunakan sepenuhnya.

Serat semula jadi mempunyai kandungan fizikal dan mekanikal yang tinggi dan boleh digunakan dalam penghasilan produk komposit untuk pelbagai tujuan.

Usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang dilaksanakan untuk mengeluarkan produk biokomposit yang diperbuat daripada serat semula jadi ke arah penggunaan yang lebih meluas.

Sejajar dengan itu, Pusat Pembangunan Serat dan Biokomposit (FIDEC) di Banting, Selangor telah ditubuhkan untuk mengendalikan R&D dan pengkomersialan serat dan industri biokomposit.

Selain itu, FIDEC juga menubuhkan hubungan dan rangkaian perkongsian bijak dengan universiti, institut penyelidikan dan industri, merangsang penggunaan bahan serat dan biokomposit serta menyelia pembangunan industri itu secara keseluruhannya.

FIDEC dilengkapi pejabat, kawasan pemprosesan, makmal ujian, bilik pameran luaran dan dalaman, pusat sumber dan rumah balak serta biokomposit.

Untuk maklumat lanjut mengenai industri pembalakan negara dan MTIB, kunjungi laman web www.mtib.gov.my atau hubungi 03-92822235.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url