Al Rajhi Bank sasar setengah juta pelanggan

Walaupun baru tiga tahun beroperasi di Malaysia, Al Rajhi Banking &Investment Corporation (M) Bhd. (Al Rajhi Bank) berkeyakinan mampu mempunyai setengah juta pemegang akaun menjelang 2012.

Sehingga kini, Al Rajhi Bank yang berpusat di Arab Saudi menawarkan produk perbankan runcit yang merekodkan bilangan pemegang akaun simpanan lebih 100,000 orang di negara ini.

Pengarah Perbankan Runcit bank itu, Sabry Ghouse berkata, keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap perbankan Islam yang ditawarkan di Al Rajhi Bank amat memberangsangkan termasuk daripada pelanggan bukan Islam.

Berikutan keyakinan itu, katanya, jumlah aset keseluruhan Al Rajhi Bank dijangka mencapai sebanyak RM7 bilion pada tahun ini manakala tahun depan dijangka mencapai sebanyak RM9 bilion.

''Akaun simpanan dan akaun semasa merupakan penyumbang sepenuhnya kepada pertumbuhan perniagaan syarikat.

''Manakala pembiayaan perumahan dan automobil dilihat tumbuh dengan pantas. Kami di Al Rajhi Bank mengambil pendekatan yang lebih teliti dalam menawarkan pembiayaan sama ada perumahan, kenderaan mahupun peribadi bagi memastikan daya tahan bank terus meningkat di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada para pemenang cabutan bertuah pakej haji di bawah akaun i-Zamzam anjuran Al Rajhi Bank di sini hari ini.

Seramai 10 pemegang akaun i-Zamzam memenangi cabutan bertuah berkenaan hari ini dan mereka dijangka berangkat menunaikan haji selama 35 hari pada 18 atau 19 November ini.

Cabutan bertuah itu dijalankan sebanyak sekali setahun untuk pakej haji dengan 10 pemenang manakala pakej umrah sebanyak dua kali cabutan setahun untuk 10 pemenang.

Akaun simpanan 1-Zamzam dibuka kepada orang ramai pada pertengahan Julai lalu dan kempen pakej mengerjakan umrah dan haji tersebut dijalankan setiap tahun bermula tahun ini.

Uniknya dalam cabutan bertuah anjuran Al Rajhi Bank ini, setiap pemenang boleh memindahkan hadiah berkenaan kepada orang lain.

Bagi memenangi hadiah cabutan bertuah itu, para pemegang akaun perlu menyimpan sekurang-kurangnya RM1,000 dalam akaun simpanan 1-Zamzam untuk satu kali penyertaan.

Sabry menambah, pihaknya merupakan satu-satunya bank menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa pakej mengerjakan haji dan umrah di negara ini.

Katanya, ia merupakan salah satu strategi syarikat untuk menarik perhatian pelanggan untuk terus melakukan simpanan dan pelaburan di dalam bank tersebut.

Ketika ditanya mengenai pencapaian akaun i-Zamzam dalam tempoh tiga bulan pembukaannya, beliau berkata, pihaknya menyasarkan pertumbuhan perniagaan sebanyak tiga digit pada akhir tahun ini.

Menurutnya, Al Rajhi Bank berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan berkenaan walaupun baru tiga bulan melancarkan akaun simpanan tersebut.

Mengenai perkembangan cawangan bank itu, beliau berkata, kira-kira tiga atau empat cawangan lagi akan dibuka di luar Lembah Klang termasuk sebuah di Kota Kinabalu, Sabah.

Sehingga kini, Al Rajhi Bank mempunyai 19 cawangan, 14 bank terletak di sekitar Lembah Klang manakala empat lagi di Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kuching di Sarawak dan Kota Bahru di Kelantan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url