Kerajaan pandang serius ciplak di IPT
Timbalan menteri berkenaan Dr Hou Kok Chung berkata kementerian itu juga berpendapat bahawa satu kes plagiat yang melibatkan dua anggota akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini sewajarnya dikenakan hukuman lebih berat.
"Namun sesuai dengan dasar autonomi yang diberikan kepada IPT berhubung pengurusannya, maka kementerian tiada pilihan tetapi menghormati kebijaksanaan jawatankuasa pengurusan UPM yang telah menimbang dan membuat keputusan terhadap kes itu.
"Jawatankuasa itu telah memutuskan supaya kedua-dua ahli akademik terbabit diberi peringatan pentadbiran dan mengarahkan agar diberhentikan jualan buku-buku yang telah diterbitkan, naskhahnya ditarik balik serta-merta serta dimusnahkan.
"Bayaran royalti kepada mereka berdua juga dipulangkan kepada pihak universiti," katanya menjawab soalan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dzulkefly ingin tahu mengapa tindakan tegas tidak diambil terhadap dua anggota akademik UPM yang terlibat dalam kesalahan menciplak penerbitan buku panduan untuk universiti itu.
- BERNAMA