Majlis Fatwa diminta bincang bai'ah talak tiga Pas

Majlis Fatwa Kebangsaan diminta segera bermuzakarah dan membincangkan isu bai'ah talak tiga Pas.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin berkata, Dewan Muslimat Pas juga perlu menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu demi mempertahankan hak wanita Islam.

Zulkifli dalam blognya http://zul4kulim. blogspot.com/ menyenaraikan beberapa persoalan untuk dikupas Majlis Fatwa Kebangsaan iaitu:

- Apakah bai'ah seperti itu dibenarkan syarak?

- Jika ya, apakah sandaran atau nas yang membenarkannya?

- Jika tidak, apakah kesan bai'ah ini berkuatkuasa seperti satu taklik kepada perkahwinan mereka yang berbai'ah itu?

- Bolehkah pembai'ah tersebut terikat dengan bai'ah seperti ini dan perlu mematuhinya?

- Adakah cara untuk membatalkan sumpah bai'ah seperti itu? Jika ada, bagaimanakah caranya?

- Apakah mereka yang membatalkan sumpah bai'ah itu perlu membayar kifarah sumpah?

Khamis lalu, Ahli Parlimen Pas Shah Alam, Khalid Samad mengesahkan wujudnya amalan ba'iah di kalangan calon wakil rakyat Pas bahawa akan jatuh talak tiga kepada isteri masing-masing jika mereka keluar parti.

Sementara itu, Zulkifli yang merupakan Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut berharap Majlis Syura dan Dewan Ulama Pas segera memperjelaskan isu bai'ah berkenaan.

"Saya berharap tidak muncul sindrom 'malaikat bisu' di kalangan mereka dalam menangani kemelut ini.

"Biarlah kita berani menyatakan yang hak walaupun pahit. Lebih baik diperbetulkan segera kemungkaran ini dan berharap mendapat keampunan dan keredaan Allah," katanya.

Beliau turut menyeru Dewan Muslimat Pas menyatakan pendirian mereka dengan jelas dalam isu itu dan akan mengambil langkah yang tegas dan berani untuk mempertahankan hak para isteri dan wanita Islam.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url