Menoleh keruntuhan komunisme Eropah Timur

9 November 2009 genap 20 tahun runtuhnya Tembok Berlin yang mempunyai signifikan runtuhnya negara-negara blok komunis selepas Perang Dunia Kedua. Keruntuhan Tembok Berlin pada 9 November 1989 yang memisahkan Jerman Barat yang mengamalkan sistem kapitalis dan Jerman Timur dengan sistem komunis adalah keruntuhan komunisme yang menjadi sistem politik berpengaruh semasa Perang Dunia Kedua.

Maka tembok ini bukan diingati hanya kerana memisahkan Jerman Barat dan Jerman Timur dengan kisah-kisah kemanusiaan yang menyayat hati. Tembok ini menjadi ikon untuk dikenang bagaimana sistem komunis akhirnya runtuh apabila diasak oleh generasi baru yang lebih berfikiran liberal dan realistik.

Tembok yang mula dibina pada 1961 selepas 15 tahun Jerman Timur ditubuhkan sebenarnya bukan saja memisahkan Jerman kepada dua ideologi politik. Sebaliknya signifikan yang lebih besar adalah keruntuhan negara-negara blok komunis di Eropah Timur. Tembok Berlin melampaui fizikal sebagai sebuah tembok yang membelah sebuah negara menjadi dua.

Keruntuhan Tembok Berlin dilihat sebagai kemuncak keruntuhan komunis yang menguasai Eropah Timur. Ini adalah satu peristiwa politik dunia yang sangat besar selepas hampir setengah abad berakhir Perang Dunia Kedua. Keruntuhan negara-negara blok komunis ini juga membawa kepada kejatuhan Kesatuan Soviet yang kini hanya tinggal Rusia.

Beberapa negara Eropah yang berada bawah Kesatuan Soviet seperti Latvia, Lithuania, Estonia, Ukraine dan Belarus diberi kemerdekaan selepas dibebaskan dari belenggu komunis.

kapitalis

Pada pasca Perang Dunia Kedua, Eropah terbahagi kepada dua, pertamanya blok barat yang mengamalkan sistem kapitalis dan blok timur mengamalkan sistem komunis. Semasa Perang Dingin, Eropah telah terbahagi dan dipisahkan oleh Tirai Besi. Blok komunis yang tertutup dan blok barat mengamalkan sistem kapitalis lebih terbuka kepada perubahan politik dunia.

Jerman terbahagi kepada timur dan Barat kerana perbezaan sistem kapitalis dan komunis. Tetapi asakan revolusi yang menolak komunisme terlalu kuat apabila negara-negara di Eropah Timur lain memulakannya, akhirnya membawa kepada keruntuhan Tembok Berlin yang memisahkan kapitalis dan komunis.

Esok 9 November di Berlin akan diadakan Festival of Freedom sebagai merayakan ulang tahun ke-20 runtuhnya Tembok Berlin. Sementara di Amerika Syarikat (AS), Kedutaan Jerman menganjurkan kempen Freedon Without Wall. Ini menandakan keruntuhan komunisme di Eropah Timur satu peristiwa politik dan kemanusiaan yang besar pada abad lalu. Dari segi ekonomi, peristiwa ini menandakan perubahan daripada komunisme kepada kapitalisme yang bukan saja kepada Jerman Timur malah bekas negara-negara blok komunis yang lain.

Selepas satu demi satu negara komunis runtuh termasuk Kesatuan Soviet, akhir sekali percantuman kembali Jerman Barat dan Jerman Timur menandakan berakhirnya legasi komunisme yang menjadi satu sistem politik besar semasa Perang Dunia Kedua. Negara-negara yang dijajah oleh pihak Bersekutu termasuk Malaysia dan Indonesia menjadi rebutan untuk dijadikan negara komunis. Akhirnya beberapa negara Asia Tenggara seperti Vietnam, Kemboja, Laos jatuh ke tangan komunis.

Jerman Timur atau dulunya dikenali sebagai Republik Demokratik Jerman antara negara di Eropah Timur yang jatuh ke tangan Kesatuan Soviet. Perang Dingin antara Kesatuan Soviet dan kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis berlarutan hingga runtuhnya Tembok Berlin yang menjadi penanda berakhirnya komunisme oleh Kesatuan Soviet.

dipengaruhi

Keruntuhan komunisme di Eropah Timur seterusnya melenyapkan kuasa besar seperti Kesatuan Soviet dipengaruhi oleh banyak faktor selain asakan daripada sistem kapitalis AS dan Britain. Kita tidak dapat menolak bahawa gerakan liberalisasi yang kuat pada dekad 80-an menjadi penyumbang terbesar runtuhnya negara-negara blok komunis. Sistem komunis dilihat bukan saja lapuk malah tidak relevan dengan perubahan zaman di mana negara-negara yang mengamalkan sistem lebih terbuka memberi peluang kepada rakyatnya mengecapi kehidupan jauh lebih baik.

Tirai Besi atau Iron Curtain menjadi simbol bagaimana komunisme satu fahaman politik yang terkepung dan terkurung. Komunisme memencilkan diri dengan keangkuhan bahawa mereka sudah cukup berpengaruh. Tetapi krisis ekonomi yang buruk pada tahun 1987 misalnya menjadi salah satu faktor lagi yang menggerakkan rakyat menumbangkan sistem tertutup komunisme. Krisis ekonomi membuatkan negara-negara blok komunis menjadi bertambah tertekan dengan propaganda menerusi pelbagai cabang oleh kuasa besar terutama AS.

Media AS melancarkan propaganda secara psikologi untuk mempengaruhi dunia memberi tekanan kepada negara-negara blok komunis. Perang Dingin adalah perang psikologi antara AS dan Kesatuan Soviet dan keburukan komunisme semakin ketara apabila tidak berupaya menangani krisis ekonomi 1987. Kerana itu bekas Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev dalam satu kenyataan mengakui beliau menjadi perancang yang membawa kepada keruntuhan komunisme di Eropah Timur dan seterusnya keruntuhan Kesatuan Soviet.

Bagi Gorbachev, pengakuan itu bukanlah suatu yang memalukan kerana tidak ada jalan lain yang boleh diambil untuk menamatkan sengketa yang panjang dalam mendepani realiti kehidupan pada zaman yang semakin mencabar.

Maka hari ini sekiranya Tembok Berlin masih lagi kekal berdiri secara fizikalnya tetapi ia sudah tidak berupaya lagi untuk menahan keruntuhan komunisme kepada kapitalisme. Tembok Berlin sudah tidak boleh menahan Kesatuan Soviet daripada runtuh dan memberi kemerdekaan kepada negara-negara yang dinaunginya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url