Britain - Bukan sekadar istana lama

BRITAIN sememangnya sebuah negara yang indah. Dengan deretan istana-istana lama serta kawasan bersejarah pastinya ia mampu menggamit memori indah untuk dijadikan kenangan. Sebenarnya Britain bukan sekadar mempunyai istana lama dan kawasan bersejarah untuk dijadikan tumpuan pelancongan malah pelbagai lagi tempat menarik yang boleh dikunjungi. Anda semua pasti akan berasa teruja dengan kepelbagaian kawasan menarik yang boleh dikunjungi.

Oleh itu usaha yang dilakukan oleh sebuah syarikat yang mempromosikan Britain, Visit Britain dilihat mampu memberikan peluang kepada bakal pelancong tentang kepelbagaian produk pelancongan yang terdapat di negara itu.

VisitBritain juga bekerjasama badan pelancongan Scotland, Wales dan Ireland Utara untuk menonjolkan produk pelancongan menarik di sana. Anda semua boleh melayari laman sesawang www.visitbritain.com.my.

Dalam usaha untuk mempromosikan keindahan yang terdapat di negara tersebut sebenarnya terdapat banyak tempat dan kawasan menarik yang tidak diketahui kebanyakan kita. Selama ini kita sering didedahkan dengan kawasan pelancongan yang sudah sinonim dengan Britain seperti Istana Buckingham, London Bridge dan sebagainya. Oleh itu bagi membolehkan kita lebih mengenali Britain dengan lebih mendalam di bawah ini diterangkan tentang beberapa kawasan menarik yang boleh dilawati untuk menjadikan pelancongan ke Britain lebih santai dan bermakna.

1. Di sini anda sebenarnya boleh belayar sambil menikmati pemandangan yang mengasyikkan di beberapa tempat menarik seperti di tasik terbesar di England, tasik Windermere. Anda juga boleh belayar di tasik Loch Katrine dengan menggunakan kapal stim, SS Sir Walter Scott sambil menjelajah ke daerah Rob Roy. Selain itu anda juga boleh melayari sungai Thames ke daerah terkenal seperti Oxford dan Windsor.

2. Sebenarnya terdapat pelbagai galeri yang boleh dikunjungi. Antaranya Tate Modern, Galeri Whitechapel, Galeri Pallant House dan beberapa lagi. Kesemua galeri ini menempatkan pelbagai pameran seni dari yang berkelas dunia hinggalah produk seni hasil kreativiti anak tempatan.

3. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak mungkin anda boleh mencuba aktiviti berjalan kaki ke beberapa kawasan hutan yang mempunyai pelbagai pemandangan menarik. Anda boleh cuba 15 Taman Negara antaranya Cotswold Way. Semua ini mempunyai keluasan 130,000 batu dari Britain hingga ke Ireland.

4. Menikmati percutian idaman sambil menyusuri laluan air merupakan sesuatu yang amat mengasyikkan di sini. Ini kerana dengan memandu sendiri bot yang disediakan anda mampu menjelajah terusan yang berusia lebih 200 tahun dalam suasana yang santai. Malah untuk pengetahuan jarak terusan di Birmingham sebenarnya lebih jauh berbanding Venice.

5. Mungkin ramai yang tidak mengetahui sukan tenis berasal dari negara ini dan mula dimainkan sejak kurun ke 19. Kejohanan tenis Wimbledon yang juga antara kejohanan tenis utama dunia turut mempunyai sebuah muzium menarik yang mempunyai pelbagai koleksi tentang sukan ini. Terdapat juga artifak tentang tenis yang bertarikh tahun 1555. Malah gelanggang tenis tertua yang masih wujud masih lagi digunakan sehingga kini iaitu gelanggang Hampton.

6. Untuk pengetahuan anda terdapat 90 pulau yang diduduki di sekitar perairan Scotland. Oleh itu menjelajah semua pulau-pulau ini dengan menaiki feri yang sentiasa menanti dan menyediakan khidmat yang terbaik pastinya akan membuat diri anda berasa dihargai. Dari pulau Arran di selatan hingga ke pulau Lewis di utara anda boleh melihat sendiri keindahan dan keunikan pulau-pulau yang terdapat di sini.

7. Mungkin sebelum ini anda membayangkan menginap di istana lama untuk menyelami sendiri kehidupan pemimpin dan rakyat Britain di zaman silam. Sebenarnya perkara ini boleh dinikmati dan lebih menyeronokkan ia tidak melibatkan kos yang mahal. Anda boleh mencuba menginap di sebuah istana yang dikelilingi parit yang dibina pada abad ke 16. Atau pun menikmati kehidupan di ladang-ladang yang dilengkapi kincir air pada harga bermula 12 paun (RM67.70) semalam. Banyak yang telah ditambah baik bagi membuat kawasan-kawasan ini lebih menarik antaranya tumbuhan bunga ros yang dibiarkan tumbuh meliar dan hiasan dalaman yang dibuat menyamai zaman pertengahan.

8. Bagi mereka yang mahukan kelainan anda boleh mencuba melawat beberapa kawasan yang dikatakan berhantu yang terletak bertaburan di seluruh negara itu seperti di Bath, Lincoln, York dan Edinburgh. Walaupun ada sesetengah rumah tersebut yang telah dihias untuk kelihatan lebih menyeramkan sekadar untuk menambahkan keseraman namun pastinya ia masih mampu menaikkan bulu roma anda dan mungkin hingga terbawa-bawa dalam tidur.

9. Bagi mereka yang meminati kesusasteraan Inggeris, Britain merupakan antara negara yang harus anda lawati. Sebut sahaja sasterawan unggul dari Jane Austen, Thomas Hardy, William Shakespeare dan Beatrix Potter pastinya nama-nama besar ini sudah cukup untuk membuat anda teruja apatah lagi jika berpeluang melawat rumah mereka. Oleh itu peluang untuk melawat rumah kelahiran Shakespeare dan taman Peter Rabbit pastinya satu peluang yang tidak boleh dielakkan kerana anda boleh melihat dan melihat sendiri bagaimana mereka membesar sehingga boleh menjadi sasterawan unggul.

10. Terdapat sebanyak 4,000 festival yang berlangsung di seluruh England setiap tahun. Antaranya Straw Bear Festival, Kissing Friday, Coronation Day, Edinburgh International Festival, Notting Hill Carnival dan pelbagai lagi. Setiap festival ini berlangsung sama ada dalam bentuk tarian, kebudayaan mahupun keagamaan. Oleh itu pastinya anda tidak mahu ketinggalan dalam setiap pesta yang pastinya meriah ketika berada di sini.

11. Satu perkara yang sangat menarik dan telah meninggalkan pengaruh kepada kebanyakan orang di seluruh dunia ialah tentang kebolehan mereka dalam berkebun. Sememangnya England terkenal dengan taman-taman yang dipenuhi terutama di sekitar istana. Taman botanik pertama telah dibuka di Oxford pada 1621 dan pada kurun ke 17 kebanyakan orang kaya di sana harus menghiasi rumah atau istana mereka dengan pelbagai jenis bunga di halaman rumah mereka. Semangat berkebun pada masa sekarang masih lagi menebal di kalangan mereka malah ia semakin berkembang dengan tertubuhnya "Projek Eden" di Cornwall dan Taman Botanik Kebangsaan Wales di Carmarthen.

Selain itu jika anda mahu menyaksikan taman-taman bunga yang sudah sinonim di kalangan penduduknya anda boleh melawat rumah-rumah penduduknya yang mesra untuk melihat sendiri hasil kerja mereka. Di sini anda hanya dikenakan bayaran yang agak murah yang mana ia akan diberikan kepada pertubuhan amal.

12. Satu lagi perkara menarik yang anda boleh lakukan ialah melawat kawasan perkuburan yang menempatkan mereka yang terkenal di dunia. Terdapat lebih 800 plak mereka yang ternama di tampal di dinding antaranya penyair, ahli politik dan pelbagai lagi. Mungkin jika anda bernasib baik anda boleh melihat sendiri kubur Jimi Hendrix ataupun pengasas Singapura Sir Stamford Raffles.

13. Yang terakhir mungkin anda adalah peminat sejarah yang mahu melawat kawasan bersejarah. Oleh itu anda layak mendapatkan pas yang membolehkan anda melawat ratusan rumah bangsawan, istana mahupun taman bunga yang indah yang hanya diberikan kepada pelancong asing. Pas "The Great British Heritage" melayakkan anda melawat 580 diseluruh Britain. Dengan ini anda tidak perlu beratur untuk melawat Istana Alnwick yang dijadikan sebagai kolej Hogwarth dalam filem Harry Potter.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url