Penduduk Switzerland sokong larang bina menara masjid


GENEVA: Penduduk Switzerland menyokong cadangan larangan pembinaan menara masjid dalam satu pungutan suara semalam, keputusan awal menunjukkan.

Keputusan awal ketika pengundian ditutup pada tengah hari menunjukkan penduduk Lucerne yang kebanyakannya bertutur bahasa Jerman menyokong cadangan itu, manakala penduduk Geneva dan Vaud yang bertutur bahasa Perancis menolaknya.

Stesen televisyen yang menyiarkan keputusan awal itu menganggap ia sebagai 'memeranjatkan.'

Pungutan suara itu dibuat berikutan Parti Rakyat Swiss yang berkempen sejak beberapa tahun lalu menentang pendatang asing, mengutip tanda tangan 100,000 pengundi layak dalam 18 bulan mendesak undian diadakan.

Keputusan yang memihak kepada larangan dibimbangi mencetuskan pemulauan barangan keluaran Switzerland dan tindak balas ganas dari negara Islam.

Tujuh ahli Kabinet diketuai kerajaan Swiss menyuarakan bantahan terhadap usaha terbabit.

Penduduk Islam setakat ini sekadar berdiam diri. Malah Masjid Geneva Khamis lalu menerima ancaman apabila seseorang melontarkan setin cat merah jambu pada pintu masuknya.

Awal bulan ini, sebuah kenderaan dengan pembesar suara dipandu masuk ketika azan berkumandang dan mereka turut merosakkan jubin dengan melontarkan batu ke arah bangunan berkenaan.

Pemimpin perniagaan berkata larangan terhadap pembinaan menara terbabit akan menjejaskan ekonomi Swiss, kerana ia akan menghalang penduduk Islam kaya yang mempunyai bank di Switzerland membeli barangan mewah negara itu dan melawat kawasan peranginan mereka.

Undian berkenaan meneruskan rasa bimbang terhadap masyarakat Islam di Eropah sejak beberapa tahun lalu membabitkan pemakaian tudung di Perancis hingga kebimbangan pembunuhan seorang penerbit filem oleh seorang fanatik Islam selepas satu dokumentari yang mengkritik agama itu diterbitkan di Belanda.

Menara masjid biasanya dibina bersebelahan masjid sebagai tempat seruan azan tetapi ia jarang digunakan di Switzerland.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url