13 jam seminggu gunakan internet di Amerika
Tinjauan Harris mendapati, 80 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat melayari internet sama ada di rumah, tempat kerja atau lokasi lain.
Orang yang melayari internet umumnya menghabiskan masa selama 13 jam seminggu untuk tujuan itu, tetapi dengan perbezaan tertentu.
Sebanyak 20 peratus daripada mereka ‘online’ selama dua jam atau kurang seminggu manakala 14 peratus menggunakannya 24 jam atau lebih.
Selain itu, penggunaan internet meningkat sejak beberapa tahun lalu iaitu tujuh jam pada 1999 hingga 2002; lapan hingga sembilan jam pada 2003 hingga 2006 dan 11 jam pada 2007.
Tempoh penggunaan internet mencapai kemuncak 14 jam pada Oktober 2008 ketika dunia dilanda kegawatan ekonomi dan sebelum pilihan raya Presiden Amerika berlangsung.
Masa penggunaan internet meningkat disebabkan beberapa faktor termasuk keselesaan melayari web selain membeli belah atau menonton televisyen ‘online’, kata Harris.
Selain itu, faktor pertambahan laman web dalam dunia siber dan kemudahan ‘online’ selain kemelesetan ekonomi memaksa pengguna tidak keluar rumah untuk melayari web bagi mengelak berbelanja.
Pengguna berusia 30 hingga 39 tahun didapati paling ramai dan menghabiskan waktu paling lama untuk melayari internet iaitu 18 jam seminggu.
Bilangan pengguna internet di kalangan orang dewasa di Amerika dianggarkan berjumlah 184 juta orang dan ia mewakili kira-kira 80 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara itu, lapor Digital Media.
Angka itu adalah hampir sama dengan rekod 2008 tetapi menunjukkan peningkatan paling ketara daripada 1999 iaitu 56 peratus manakala pada 1995 hanya mencatatkan sembilan peratus.
- Agensi