Sihir mainan jin, syaitan pesongkan akidah ummah

Oleh Rushdi Ramli

Baru-baru ini, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid mencadangkan diwujud undang-undang mengekang penggunaan ilmu hitam, termasuk bagi menundukkan suami atau isteri serta dalam aktiviti jenayah yang dilihat semakin ketara sejak kebelakangan ini.

Saranan itu dikemukakan beliau pada Muzakarah Pakar: Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis anjuran Jabatan Mufti Selangor di Shah Alam pada 17 Disember lalu, antara lain menyebut undang-undang itu boleh dimasukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah bagi kesalahan yang dilakukan orang Islam dan bagi bukan Islam pula perlu diwujudkan akta baru.

Beliau akui pengamal dan pihak yang mengarahkan sihir terlepas hukuman kerana tiada undang-undang berkaitan, selain sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera. Tulisan ini bukan mahu menyentuh soal undang-undang tetapi lebih kepada pemahaman mengenai sihir dari sudut agama dan kesannya kepada masyarakat.

Sihir antara 'ujian Allah' yang berlaku dengan keizinan, kehendak dan kuasa Allah yang diwujudkan dalam kehidupan manusia bagi tujuan menguji manusia dari segi kesabaran dan keimanan mereka.

Sihir ialah ajaran iblis dan syaitan bertujuan menjerumuskan manusia ke dalam penderitaan. Hakikat sihir dinyatakan secara jelas dalam firman Allah SWAT bermaksud: "...dan tidaklah Nabi Sulaiman menjadi kufur (kerana mengamalkan sihir), tetapi puak syaitan itulah yang kufur (dengan amalan sihir yang dilakukan) kerana merekalah yang mengajar manusia ilmu sihir..." (al-Baqarah ayat 102).

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Tidak masuk syurga penagih arak dan tidak juga mereka yang terbabit dengan amalan sihir dan tidak juga mereka yang memutuskan silaturahim." (hadis riwayat Ibn Hibban)

Bagi manusia yang lemah imannya, mereka mudah terdorong menggunakan khidmat ahli sihir atau bomoh sihir bagi menyakiti atau memusnahkan sesiapa yang mereka benci dan musuhi. Bagi yang terkena bahana sihir, mereka terpaksa menanggung pelbagai sakit dan penderitaan, fizikal, mental atau rohani yang secara umumnya tidak dapat dikesan oleh perubatan moden yang canggih.

Sihir membabitkan peranan langsung makhluk halus iaitu iblis, syaitan dan jin yang berperanan menyakitkan manusia apabila makhluk ini dipuja, disembah dan didaulat bagaikan 'Tuhan yang disembah' sehingga orang yang mengamalkan sihir dan yang memberi imbuhan kepada pengamal sihir, terjatuh ke lembah dosa besar syirik dan kufur kepada Allah.

Inilah visi dan misi terbesar iblis apabila dilaknat Allah iaitu janjinya untuk menyesatkan seramai mungkin anak Adam sehingga mereka menjadi penghuni neraka bersamanya di akhirat.

Ulama berpendapat sihir adalah fenomena yang benar-benar berlaku di alam realiti dengan izin Allah dan bukan khayalan atau cabang silap mata. Sihir memberi penderitaan kepada mangsa sama ada fizikal atau jiwa atau gangguan lain yang kebiasaannya tidak dapat difikirkan logiknya bagaimana kejadian itu boleh berlaku.

Realiti 'penderitaan fizikal dan rohani' dapat dicetuskan gangguan dan sentuhan syaitan dinyatakan dalam al-Quran melalui kisah Nabi Ayub yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika hamba kami Ayub berdoa kepada Tuhannya: (Oh Tuhan), sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan (ditimpakan) kepayahan dan penderitaan." (Sad, ayat 41).

Menurut ulama, perkataan sihir dari segi bahasa bermakna sesuatu yang amat halus dan tersembunyi sebabnya (tidak dapat dikesan panca indera). Oleh itu, pelbagai gejala atau penderitaan dicetuskan sihir. Secara umumnya, ia sukar dikesan peralatan moden kerana punca penyakit amat terselindung. Misalnya, seseorang menderita sakit fizikal, namun menurut diagnosis doktor tidak ada kerosakan saraf atau sebagainya pada diri pesakit. Begitu juga mungkin isteri tiba-tiba benci kepada suaminya tanpa sebarang perkelahian atau perselisihan pendapat antara mereka.

Menurut takrifan sebahagian ulama, sihir merujuk kepada azimat, pelbagai jampi mantera dan simpulan tali yang dapat memberikan kesan yang nyata kepada jiwa, akal dan badan seseorang.

Sihir boleh menyebabkan seseorang tidak waras atau mencelarukan fikirannya, boleh menimbulkan rasa cinta berahi atau benci tanpa sebab yang jelas atau, boleh menyebabkan badan sakit. Perkara aneh yang berlaku ini diistilahkan sebagai 'al-khawariq al-syaytaniyyah', pada hakikatnya kesan daripada peranan yang dimainkan makhluk jin dan syaitan.

Menurut ulama, sihir tidak berlaku melainkan melalui seorang kafir lagi jahat atau Muslim fasik, sesat lagi mempersekutukan Allah.

Imam Ibn Qudamah menyatakan: "Sihir adalah perkara yang benar, yang antaranya boleh membunuh seseorang atau menyakitkan fizikal seseorang atau menghalang seorang suami daripada menyetubuhi isterinya sehingga membawa kepada perceraian".

Oleh kerana besarnya bahana sihir, dalam surah al-Falaq ayat 4, Allah secara khusus memerintahkan orang Islam memohon perlindungan kepada Allah daripada bahana sihir iaitu melalui firman-Nya bermaksud: "...dan daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus pada simpulan".

Ulama sepakat tanpa ikhtilaf bahawa mempelajari sihir, mengajarnya kepada orang ramai dan mengamalkannya adalah haram dan termasuk daripada dosa besar.

Menurut Abu Muhammad al-Maqdisi: "...sihir merujuk kepada tangkal, jampi mantera (yang dibaca) dan simpulan tali (dijampikan) yang dapat memberi kesan langsung terhadap jiwa dan badan si mangsa, iaitu menyebabkan si mangsa sakit menderita atau mati atau memisahkan ikatan kasih antara pasangan suami isteri. Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam berlindung daripada kejahatan sihir dan jika sihir tidak mempunyai kesan mudarat sebenar, tentu Allah SWT tidak memerintahkan kita memohon perlindungan daripada bahana sihir".

Menurut Majdi Muhammad al-Shahawi dalam bukunya, al-`Ilaj al-Rabbani, sihir ialah permohonan pertolongan kepada jin dan syaitan yang bertujuan memberi mudarat kepada orang ramai.

Dalam 'hubungan' ini jin dan syaitan menjadi khadam kepada pengamal sihir. Sebagai imbuhannya, ahli sihir melakukan kerja tertentu yang jelas menyalahi hukum termasuk menyembah jin itu (amalan kufur).

Ulama berpendapat gejala dan penderitaan yang dicetuskan amalan sihir adalah pelbagai dan tidak terbatas kepada kepada ilmu pengasih semata-mata.

Sihir dapat menimbulkan rasa berahi secara tiba-tiba (sihr al-mahabbah) antara teruna dan dara atau rasa benci (sihr al-tafriq) yang keterlaluan mungkin antara dua jiwa yang bertunang dan nekad untuk berkahwin.

Sihir juga boleh menyebabkan fikiran dan akal seseorang terganggu secara tiba-tiba (gangguan mental) seperti menjadi murung dan mengelamun yang berpanjangan, pelupa, hilang tumpuan terhadap pengurusan diri sehingga menjadi kusut masai bagaikan orang tidak waras.

Sihir juga boleh menyebabkan seseorang benci untuk bergaul dan suka duduk berseorangan mengelamun. Sihir boleh menyebabkan seseorang mendengar pelbagai bisikan ganjil (tanpa kehadiran sesiapa) sehingga dirinya terganggu.

Begitu juga sihir boleh menyebabkan seseorang menderita sakit di bahagian tertentu badan atau seluruh badan atau menyebabkan anggota tertentu badannya menjadi lumpuh tanpa sebab yang jelas.

Antara sihir yang kerap ditemui dalam masyarakat kita ialah sihir pelalau (mengunci nafsu seseorang sehingga hilang keinginan untuk berkahwin), santau dan pukau.

Bahana yang dicetuskan sihir terlalu besar dan merugikan di akhirat nanti. Kita semua mesti menjauhi ahli sihir, sentiasa bersandar dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah yang Maha Penyayang dalam merungkaikan apa juga masalah yang membelenggu diri.

- BERITA MINGGU

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.