Celcom kembali nombor satu?

KUALA LUMPUR 4 Dis. 2009 – Celcom (M) Bhd.kini semakin hampir untuk menguasai semula kedudukan nombor satu dalam pasaran telekomunikasi di negara ini apabila berjaya meraih pertumbuhan yang agresif sejak kebelakangan ini.

Pada masa ini, Maxis menguasai tempat teratas dalam pasaran dengan diikuti DiGi yang tidak juga kurang agresifnya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shazalli Ramly menyifatkan kejayaan semasa adalah hasil promosi dan kempen agresif yang dijadikan strategi dalam pelan pemulihan sejak lebih tiga tahun lalu

‘‘Daripada kedudukan nombor tiga, Celcom kini semakin hampir untuk berada di tempat pertama dalam industri,’’ katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman prestasi suku ketiga 2009 di sini hari ini.

Beliau berkata, Celcom kini berjaya mencapai jumlah pelanggan seramai 10 juta, meningkat lima peratus bagi prestasi suku tahun dan sebanyak 23 peratus berdasarkan perbandingan tahun ke tahun.

Celcom juga mencatatkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) tertinggi berjumlah RM404 juta suku ketiga berakhir 30 September lalu, merupakan pertumbuhan sebanyak dua digit iaitu 10 peratus dalam perbanding suku-ke -suku.

Pendapatannya pula merekodkan pertumbuhan kukuh sebanyak empat peratus dan hasil pendapatan ke atas faedah, cukai pelunasan dan susut nilai (EBITDA) meningkat lima peratus.

Shazalli yang berterima kasih dengan sokongan para pelanggannya berkata, meskipun 2009 merupakan tahun agak mencabar, tetapi Celcom berjaya mencatatkan prestasi dengan penuh bergaya apabila rakyat Malaysia masih memberi keutamaan kepada rangkaian komunikasi dalam perbelanjaan mereka.

‘‘Selepas ini, kita akan fokus kepada pelan transformasi dengan sasaran untuk memperkukuhkan kualiti perkhidmatan bagi tiga tahun akan datang,’’ kata beliau.

Menurut Shazalli, Celcom kini merupakan peneraju dalam segmen jalur lebar dengan jumlah asas pelanggan hampir 500,000 menjelang suku keempat tahun kewangan semasa berbanding sasaran awal 250,000.

Beliau berkata, syarikat itu kini memberi tumpuan penuh untuk mempromosi perkhidmatan jalur lebarnya untuk mencapai sasaran pelanggan sebanyak satu juta pada 2010.

‘‘Celcom mahu memainkan peranan dalam meluaskan perkhidmatan ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan perkhidmatan itu mampu menembusi 15 peratus penduduk Malaysia pada tahun depan,’’ ujarnya.

Shazalli mengumpamakan perkhidmatan itu seperti ‘menjual air di padang pasir’ berikutan permintaan yang begitu tinggi.

Untuk itu, katanya, Celcom kini giat mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan jalur lebar di kawasan Felda, Sabah dan Sarawak untuk memastikan lokasi berkenaan turut mendapat akses.

Mengulas strategi masa depan Celcom, Shazalli berkata, keutamaan diberikan kepada semua perkhidmatannya meskipun perkhidmatan suara terus menyumbang 70 peratus manakala perkhidmatan bukan suara 30 peratus.

Beliau menambah, dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatannya, Celcom menambah sebanyak 199 menara telekomunikasi terutama di kawasan Lembah Klang.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url