Top Ad 728x90

,

Demi Islam, orang Kelantan rela undi calon luar

Oleh SUBKY ABDUL LATIF

Dalam pilihan raya umum yang pertama pada 1959, sama seperti pilihan raya umum sebelumnya pada 1955, pilihan raya peringkat Parlimen tidak dijalankan serentak dengan pilihan raya di negeri-negeri.

Malah pilihan raya negeri-negeri pula tidak serentak. Ia dimulakan di Perlis, kemudian di Kedah dan dari satu negeri ke satu negeri hinggalah yang terakhirnya di Kelantan. Selepas semuanya selesai, barulah diadakan pilihan raya Parlimen.

Hasil daripada pilihan raya-pilihan raya negeri itu, PAS kalah di semua negeri kecuali Terengganu dan Kelantan.

Keputusan itu menyebabkan PAS membuat strategi meletakkan sebahagian daripada barisan pemimpin nasionalnya bertanding di Kelantan dan Terengganu supaya pemimpin-pemimpin pentingnya dapat dihantar ke Parlimen.

Jika tidak dibuat demikian, sukar untuk menempatkan pemimpin-pemimpin penting itu ke Parlimen dan institusi penting itu mempunyai anggota-anggota berkaliber.

Maka keputusan itu dirundingkan dengan PAS di negeri-negeri berkenaan; Kelantan dan Terengganu bersetuju untuk menerima calon dari luar. PAS menghantar empat tokoh bertanding di Kelantan dan tiga di Terengganu.

Mereka yang bertanding di Kelantan termasuklah profesor Zulkifli Mohamad, Datuk Raja Hanifah, Othman Abdullah dan Haji Ahmad Perai. Di Terengganu pula, Dr Burhanuddin al-Hilmi, Hasan Adli dan Khadijah Sidik.

Bukan PAS saja yang membuat strategi demikian. Parti Negara kalah di semua negeri kecuali beberapa orang berjaya di DUN Terengganu telah mengadakan perundingan dengan PAS, maka PAS memberi laluan kepada Datuk Onn Jaafar bertanding di Terengganu.

Onn, sebagai yang dipertua agung Parti Negara, kalah di Batu Pahat dalam pilihan raya umum tahun 1955 dan beliau juga kalah dalam satu pilihan raya kecil di Johor selepas itu.

Dengan beberapa kerusi DUN yang dimenangi oleh Parti Negara belum memungkinkan Onn menang kerana kawasan yang dimenangi partinya itu tidak dalam satu kawasan parlimen.

Oleh sebab kawasan-kawasan sekitarnya dimenangi oleh calon-calon PAS, maka dengan laluan yang diberi oleh PAS itu memungkinkan Onn diterima oleh pengundi di Terengganu.

Onn seorang wira dan putera handal dari Johor tetapi rakyat negeri asalnya tidak menilai ketokohannya; yang menilainya pengundi-pengundi Terengganu. Beliau menang di kerusi Kuala Terengganu.

Semua calon luar yang dikemukakan oleh PAS di Kelantan dan di Terengganu dalam pilihan raya umum 1959 berjaya memasuki Dewan Rakyat.

Penggal pertama persidangan selepas merdeka mencatat sejarah mengumpulkan lapan orang pemimpin PAS sebagai anggota Dewan Rakyat. Tujuh daripadanya calon luar dan seorang lagi pemimpin nasional dari Kelantan sendiri, Datuk Asri Muda.

Selepas itu, belum pernah tercatat rekod seramai itu pemimpin utama PAS menjadi anggota Parlimen pada satu-satu penggal.

Dalam pilihan raya umum 1964, hanya Zulkifli Mohamad saja yang kekal bertanding di Kelantan, sementara kerusi-kerusi lain ditandingi oleh calon anak tempatan sendiri.

Haji Ahmad Perai menemui kemalangan jalan raya dan meninggal dunia. Pilihan raya kecil bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut digantikan oleh calon tempatan, tidak lagi dari luar Kelantan iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Ustaz Othman Abdullah menyertai Umno menjelang pilihan raya umum 1964; jadi tidak berbangkit lagi baginya untuk bertanding di Kelantan. Sebaliknya beliau menjadi calon Perikatan di Hilir Perak. Manakala Datuk Raja Haniafah tidak dapat menumpukan masa di Kelantan, maka beliau tidak lagi menjadi calon di negeri itu.

Manakala di Terengganu, Dr Burhanuddin al-Hilmi menghadapi kes mahkamah dan beliau hilang kelayakan bertanding. Hasan Adli dan Kadijah Sidik juga tidak lagi bertanding di Terengganu.

Zulkifli Mohamad satu-satunya calon dari luar bertanding di Pantai Timur pada 1964 dalam gelora isu konfrontasi Indonesia-Malaysia. Beliau berjaya mendapat peratusan undi dan majoriti yang tinggi. PAS dalam pilihan raya tu agak terpukul kerana menentang pembentukan Malaysia. Pendirian PAS itu sama pula dengan sikap Indonesia.

Zulkifli Mohamad pula, kemudian, menemui kecelakaan jalan raya sehari selepas memenangi pilihan raya umum 1964. Dalam pilihan raya kecil bagi mengisi kerusi yang dikosongkannya, PAS terus meletakkan calon dari luar iaitu Abu Bakar Hamzah. Pengundi tempatan terus memberi sokongan kepadanya untuk beberapa penggal.

Selepas PAS menyertai kerajaan campuran PAS-Perikatan pada 1973 dan setahun kemudian ikut membentuk Barisan Nasional bersama Perikatan, maka tidak lagi timbul orang luar bertandingi di Kelantan.

Cuma dalam tahun 1986, ketika parti itu dalam keadaan kalah di Kelantan, PAS Kelantan menerima Khalid Samad bertanding di Kuala Krai. Pilihan raya umum itu antara sejarah hitam bagi PAS, bukan sekadar penyertaan Khalid tidak membawa kejayaan.

Bukan sekadar calon dari luar tidak dibawa ke Kelantan, calon dari Kelantan sendiri kalah, hanya satu kerusi parlimen saja dimenangi oleh PAS di seluruh negara iaitu di Pengkalan Chepa dengan calonnya Nik Abdullah Arshad.

Kalau Kelantan, sebagai kubu PAS, parti itu hanya memenangi satu kerusi, maka tidak berbangkit isu pengundi luar ditolak oleh pengundi Kelantan.

Tetapi dalam kebangkitan semula PAS pada pilihan raya umum 1990, PAS Kelantan membawa dua calon dari luar iaitu Dr Daeng Sanusi Mariok dan Mohamad Sabu. Kedua-duanya telah diterima oleh pengundi masing-masing di Rantau Panjang dan Nilam Puri.

Dalam pilihan raya itu, PAS mengadakan muafakat Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Parti Melayu Semangat 46. Ia bukan sekadar memberikan kemenangan semula kepada PAS di Kelantan, malah APU memenangi semua kerusi Parlimen dan DUN. Kedua-dua parti itu mengulangi kemenangan dalam pilihan raya Umum 1995.

Dalam dua pilihan raya umum selepas itu, iaitu 1999, tiada calon luar bertanding sebagai calon PAS di Kelantan.

Tiadanya calon luar itu bukan disebabkan oleh kebimbangan ia tidak disokong oleh para pengundi tetapi disebabkan keputusan PAS sendiri dan perkembangan menggalakkan PAS secara menyeluruh di seluruh negara.

Bagaimanapun pada pilihan raya umum 2004, PAS membuka semula laluan kepada calon-calon luar. Salahuddin Ayub, kini naib presiden PAS, dari Johor tentunya sukar untuk memenangai pilihan raya di negeri asalnya. Sebagai ketua Pemuda PAS waktu itu, beliau sendiri mempunyai wibawa untuk diketengahkan.

Maka PAS Kelantan bersetuju memberi laluan kepadanya untuk bertanding di Kubang Kerian, kerusi yang pernah diwakili oleh Muhamad Sabu dan selepas itu disandang oleh Datu Husam Musa.

Ternyata pengundi Kelantan terus memberi sokongan kepada calon luar untuk berhadapan dengan calon BN yang terdiri daripada orang Kelantan sendiri dan antaranya orang tempatan.

Tetapi dalam pilihan raya umum ke-12, PAS Kelantan menambah calon dari luar daripada jumlah seorang kepada tiga orang.

Selain Salahuddin yang mempertahankan kerusinya, PAS membawa masuk Nasharuddin Mat Isa, timbalan presidennya bagi menentang calon menteri besar BN, Dr Awang Adek Hussein bertanding di Bachok. Seorang lagi, bendahari PAS Dr Hatta Ramli di Kuala Krai.

Pada pilihan raya umum 2004, Bachok dan Kuala Krai jatuh ke tangan BN. Bachok kubu kuat PAS yang tidak pernah dapat dirampas oleh Umno kecuali dalam 1986 apabila bekas wakil rakyat PAS beberapa penggal sebelum itu Zain Abdullah menjadi calon BN menewaskan calon PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Selepas itu Bachok jatuh semula ke tangan PAS. Tetapi pada 2004, calon PAS ditewaskan oleh BN yang meletakkan Dr Awang Adek.

Dr Awang Adek dilihat sebagai tokoh baru menggantikan Datuk Annuar Musa dan Datuk Mustapa Mohamad, maka dia dicalonkan bagi menjadi menteri besar.

Pada ketika yang sama, dia juga bertanding untuk kerusi parlimen. Nasharuddin dibawa untuk mencabar calon MB dan orang tempatan pula.

Kuala Krai yang dikuasai oleh PAS sejak 1990 jatuh ke tangan BN pada 2004. Kawasan ini diserahkan kepada Dr Hatta untuk merampas semula kawasan itu daripada BN.

Semua calon PAS dari luar telah membuktikan bahawa mereka diterima oleh pengundi Kelantan walaupun mereka berdepan dengan calon BN yang terdiri dari orang tempatan.

Bukan isu calon dari luar Kelantan itu tidak dibangkit oleh BN daalam kempen pilihan raya itu tetapi pengundi Kelantan telah berjaya melepasi kefahaman daerah dan kenegerian.

Orang Kelantan terkenal tebal perasaan kekelantanannya. Di mana mereka berada, mereka berkumpul sebagai satu komuniti sesama mereka.

Tetapi dalam kefahaman politik Islam, pengundi Kelantan mengutamakan perjuangan Islam, menerima calon luar dan menolak calon lawan walaupun mereka orang tempatan dan di kalangan keluarga terdekat.

Subky Abdul Latif, seorang wartawan veteran yang dikenali ramai dan juga pemimpin PAS, menulis analisis ini di blognya Setapak ke Selangkah (26 Mac 2008). Artikel ini diterbitkan sepenuhnya, selepas suntingan, dengan keizinan penulisnya.

- MALAYSIAKINI

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90