Dengkuran mengganggu tidur
Setiap hari Sarah ke pejabat dengan wajah yang letih, mata sembap dan kuyu, muka yang masam mencuka dan sering menguap walaupun baru pukul 9 pagi.
Bila ditanya teman sepejabat, katanya, setiap malam dia tidak dapat tidur nyenyak kerana suaminya berdengkur. Baru hendak melelapkan mata, anak kecilnya pula menangis kerana hendak menyusu. Sudahnya sampai ke pagi dia tidak dapat tidur. Fikirnya dalam hati, bilalah agaknya dia dapat tidur nyenyak.
Sarah tidak tahu apa yang harus dilakukan bagi menghentikan dengkuran suaminya. Takkanlah hendak tidur dalam bilik berasingan pula. Lambat-laun mungkin akan menjejaskan rumahtangganya pula.
Sudah berulang kali dia memberitahu suaminya supaya jangan berdengkur namun sebaik sahaja suaminya meletakkan kepala ke bantal maka akan bermulalah 'lagu' dengkurnya. Sakit hatinya melihat suaminya tidur dengan nyenyak seakan tiada apa-apa masalah dalam hidupnya.
Hakikatnya, berdengkur bukanlah tanda seseorang itu tidur nyenyak. Bunyi yang dihasilkan semasa dengkuran hanya menunjukkan terdapat penyumbatan separa di dalam salur pernafasan, iaitu di kawasan hidung dan belakang tekak.
Demikian menurut Konsultan Telinga, Hidung dan Tekak Hospital Pusrawi, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan yang ditemui baru-baru ini.
Tambah Dr. Amir, sebaliknya jika dengkuran sudah ke peringkat yang teruk, pesakit sebenarnya tidak dapat tidur dengan nyenyak. Tidur menjadi terganggu sepanjang malam kerana paras oksigen yang tidak cukup untuk sampai ke otak.
Ini menyebabkan otak merangsang pesakit supaya bangun dengan segera bagi mengelakkan berlakunya kematian.
Pesakit akan terus berjaga-jaga untuk mengambil nafas dan ini mengganggu tidur yang lena.
''Selalunya pesakit akan terjaga dalam keadaan separa sedar atau mereka tidak ingat langsung keesokan harinya yang mereka terjaga di dalam tidur.
''Mereka juga akan berasa mengantuk, keletihan dan hilang konsentrasi sepanjang hari. Pada peringkat teruk, ada yang tertidur semasa memandu dan mengakibatkan kemalangan,'' ujarnya.
Beliau berkata, jika pasangan suami atau isteri adalah jenis orang yang mudah terganggu tidurnya (light sleeper), dengkuran setiap malam akan menyebabkan kurangnya tidur kedua-dua suami isteri ini. Ini akan menyebabkan keletihan dan mood yang sentiasa tidak baik yang boleh membawa kepada pergaduhan.
Tambah Dr. Amir lagi, di antara punca-punca lain yang menyebabkan dengkuran adalah masalah tonsil, masalah adenoid, masalah hidung seperti alahan, tulang bengkok, resdung, kanser hidung dan tekak serta masalah tulang muka kecil.
''Terdapat juga faktor-faktor lain yang menambahkan masalah dengkuran pada orang yang sememangnya berdengkur, iaitu kegemukan dan mempunyai leher yang besar, pengambilan alkohol, mengambil ubat tidur, usia yang melebihi 45 tahun, mempunyai dagu kecil atau mempunyai lidah yang besar.
''Biasanya lelaki lebih ramai mengalami masalah dengkur daripada wanita dengan nisbah lebih kurang 2:1.
''Satu kajian menunjukkan sebanyak 44 peratus lelaki dan 28 peratus wanita yang berumur di antara 30 hingga 60 tahun berdengkur.
''Selain lelaki dan wanita dewasa yang menghadapi masalah dengkur, kanak-kanak turut tidak terkecuali. Ia berpunca daripada masalah tonsil dan adenoid yang besar,'' katanya.
Tonsil merupakan dua ketulan tisu yang berada di belakang tekak. Jangkitan tonsil yang berulang-ulang boleh menyebabkan kebengkakan dan terdapat kes di mana kedua-dua tonsil kiri dan kanan bertemu di tengah-tengah tekak dan hampir menyumbat sepenuhnya salur pernafasan sewaktu tidur.
Adenoid pula adalah ketulan tisu yang terletak di belakang hidung. Jika adenoid bengkak (biasanya bengkak bersama-sama dengan tonsil), ia akan menyumbat salur pernafasan dan menyebabkan dengkuran.
Dr. Amir menjelaskan, masalah dengkuran yang tidak dirawat boleh menimbulkan pelbagai kesan buruk atau penyakit-penyakit kronik lain. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa dengkuran yang teruk boleh menyebabkan masalah darah tinggi, lemah jantung, degupan jantung tidak normal (arrhythmia) yang kadangkala boleh menyebabkan kematian semasa tidur dan angin ahmar.
''Dalam dengkuran yang teruk, paras oksigen di dalam badan menjadi berkurangan. Jika ini berpanjangan, ia akan menyebabkan badan melepaskan bahan-bahan kimia yang akan meningkatkan tekanan darah. Tekanan darah ini akan menyebabkan jantung bekerja lebih keras dan dalam jangka masa panjang menyebabkan masalah jantung pula.
''Oksigen yang tidak mencukupi juga menyebabkan sel darah merah menjadi bertambah (polycytaemia) yang boleh meningkatkan risiko strok.
''Mereka yang menghadapi masalah dengkur tidak sepatutnya berputus asa dan membiarkan sahaja masalah ini tanpa dirawat. Dengkur boleh dirawat bergantung kepada puncanya. Pesakit perlu berjumpa dengan pakar telinga, hidung dan tekak. Doktor akan menyiasat dan mencari punca dengkuran.
''Di antara rawatan yang diberikan ialah membuang tonsil atau adenoid jika didapati bermasalah, merawat masalah hidung dan resdung jika ada, rawatan diathermy, laser atau radiofrequency bagi membuang tisu berlebihan di dalam tekak. Pesakit yang berkemampuan boleh membeli dan menggunakan mesin CPAP (continous positif airway pressure) dan menggunakannya setiap malam semasa tidur,'' jelasnya.
Beliau berkata, terdapat beberapa cara yang dapat membantu mengurangkan masalah dengkur, iaitu segera berjumpa doktor jika terdapat masalah hidung dan tonsil, mengurangkan berat badan, elakkan daripada mengambil alkohol terutama di waktu malam, jangan diamalkan mengambil ubat tidur kecuali terpaksa dan tidur mengiring walaupun cara ini biasanya kurang efektif.
- UTUSAN