Top Ad 728x90

,

Epal mujarab kekang barah

EPAL, buah kedua paling digemari warga Amerika Syarikat (AS) selepas pisang, bakal dimanfaatkan untuk rawatan barah dalam jangka panjang.

Ini terbukti menerusi kajian hampir sedekad oleh saintis makanan di Universiti Cornell, New York, Dr Rui Hai Liu dengan kerjasama Institut Penyelidikan Barah Amerika Syarikat bagi mengenal pasti cara buah itu bertindak untuk kebaikan kesihatan penggemarnya.

Kajian ke atas penduduk negara itu mendapati pengambilan epal yang banyak boleh memberi manfaat kepada kesihatan seseorang termasuk mengurangkan risiko barah dan penyakit berkaitan jantung.

Walaupun epal secara tradisinya dianggap sejenis buah berkhasiat, hanya sejak kebelakangan ini ia menarik minat penyelidik untuk membuat kajian makmal.

Hasilnya, epal terbukti kaya dengan fenolik, sejenis phytokimia yang dianalisis bagi tujuan kesihatan.

Kemasyhuran epal mendorong Dr Rui memulakan kajian terhadap epal untuk manfaat kesihatan kira-kira 10 tahun lalu dan hasil kajiannya mendapati, 22 peratus bahan fenolik buah-buahan yang dimakan rakyat negara itu diperoleh daripada epal.

"Saya berminat terhadap sumbangan kesihatan oleh buah-buahan dan sayur-sayuran. Didapati epal lebih kaya dengan bahan felonik dan ciri antipembiakan sel barah yang mujarab," kata Dr Rui.

Dalam satu kajian, beliau dan rakannya mengenal pasti 13 bahan yang dikategorikan sebagai triterpenoid dalam hirisan epal yang berfungsi sama ada untuk mengawal atau menghalang sel barah dalam hati, payudara dan sel barah usus.

Triterpenoid ialah bahan yang banyak terkandung dalam tumbuhan yang menunjukkan ciri antiradang dan antikarsinogenik.

Beberapa kajian makmal dijalankan bagi melihat cara epal segar dan ekstrak epal bertindak terhadap bengkak yang disebabkan penyakit atau tumor pada payudara.

Keputusan kajian yang disiarkan Jurnal Pertanian dan Kimia Makanan keluaran terbaru itu menunjukkan bahawa haiwan yang diberi makanan yang mengandungi ekstrak epal yang tinggi mempunyai tumor di dada yang agak rendah.

Beberapa jenis bahan yang berkaitan dengan perkembangan barah juga berkurangan apabila berlaku pertambahan ekstrak epal.

Bagi barah usus, kajian makmal Dr Rui menemui bukti epal berkemungkinan membantu menghalang peringkat awal perkembangan barah.

Berbanding dengan sel yang tidak dirawat, sel barah usus yang dirawat menggunakan ekstrak epal menunjukkan penurunan kerosakan DNA dan berpotensi untuk merencatkan saiz dalam sel yang dirawat.

Kajian lain pula membuktikan esktrak epal dapat menghalang tindakan satu kumpulan protein yang dikenali sebagai nuclear factor-kappa B (NF-KB), yang boleh menyebabkan sel barah mampu bertahan terhadap ubatan kemoterapi.

Dalam kajian terkininya, beliau mengukur kesan ekstrak epal ke atas NF-KB dalam sel barah payudara manusia dan didapati ekstrak epal dan isi yang mengandungi phytokimia dengan jelas menghalang NF-KB dalam sel berkenaan.

Siri kajian pakar itu membuktikan hakikat bahawa keseluruhan epal sebenarnya menyediakan ramuan tersendiri sebagai bahan antibarah.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90