Kemampuan forensik Malaysia diiktiraf dunia


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my

Perkataan DNA memang biasa didengar tetapi tidak keterlaluan dikatakan ia semakin popular sejak siri penyiasatan suka ramai, CSI, ditayangkan di Malaysia.

Melihat kecekapan pelakon yang menjayakan watak penyiasat forensik dalam CSI: Crime Scene Investigation, CSI:Miami dan CSI:NY menganalisis DNA, ramai yang tertanya-tanya bagaimana tugas pegawai forensik di luar layar perak.

Berbeza dengan dipaparkan dalam siri CSI, pegawai yang ditugaskan meneliti DNA bukan anggota polis, sebaliknya pakar kimia yang bekerjasama erat dengan pasukan keselamatan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan dan penjenayah dibawa ke muka pengadilan.

Di Seksyen Serologi/DNA, Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia, 16 pegawai ditugaskan untuk menganalisis DNA yang diterima dengan pembahagian tugas diberikan mengikut kekananan pegawai.

Ahli Kimia (Forensik DNA), Nor Aidora Saedon, berkata kemampuan Bahagian Forensik Jabatan Kimia menjalankan tugas yang diamanahkan tidak boleh dipertikaikan kerana Malaysia menjadi negara ketiga di Asia selepas Singapura dan Hong Kong yang memperoleh akreditasi Persatuan Pengarah Makmal Jenayah Amerika Syarikat (ASCLD) pada 2005.

“ASCLD cuma memberi pengiktirafan kepada makmal yang memenuhi kriteria dan jelas Bahagian Forensik memenuhi syarat itu. Wakil ASCLD akan datang setiap dua tahun untuk menjalankan pemeriksaan.

“Seksyen Serologi/DNA sendiri mampu berbangga dengan kemampuan kami menarik pelanggan sejauh dari Singapura dan Denmark menggunakan khidmat seksyen ini dalam kes berkaitan DNA.

“Malah seorang pelanggan saya sanggup datang dari Singapura, menyerahkan sampel dan kembali semula ke republik itu kerana percaya dengan ketelitian pegawai serta bayaran yang jauh lebih murah,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Mungkin tidak ramai menyedarinya, tetapi Jabatan Kimia Malaysia menyambut ulang tahun ke 100 penubuhannya ketika ini dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran. Ia juga memainkan peranan penting dalam mencapai indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerajaan bagi membanteras jenayah.

Menjelaskan lagi prosedur yang dijalankan, Nor Aidora, berkata sebaik sampel seperti air mani atau darah diperoleh, kerja mengambil ekstrak DNA akan dimulakan yang lazimnya mengambil masa sehari.

Pengekstrakan bertujuan mengasingkan bahan lain yang terkandung dalam sampel. Kemudian proses pengenalan dimulakan, diikuti proses mendokumenkan DNA. Setiap sampel DNA di tempat kejadian jenayah akan dibandingkan dengan sampel rujukan.

“Laporan akan disediakan dan diserahkan berserta barang kes yang sudah dianalisis kepada pihak berkenaan, dan jika perlu kami akan hadir memberi keterangan di mahkamah sebagai saksi pakar,” katanya.

Nor Aidora berkata, seksyen itu melayan semua kes sama rata tetapi mengaku keutamaan diberikan kepada kejadian yang mendapat perhatian masyarakat seperti kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

“Keutamaan kes sebenarnya ditentukan polis, orang awam atau mahkamah. Dalam kes Nurin Jazlin sebagai contoh, kami dahulukan memproses sampel DNA kerana ia membabitkan kepentingan awam,” katanya.

Menariknya, seksyen itu bukan hanya terbuka kepada jabatan kerajaan, sebaliknya turut memberi khidmat kepada orang perseorangan, selalunya dalam kes menentukan ibu atau bapa kandung dan mengesan kecurangan pasangan.

Dengan bayaran RM1,500 bagi dua sampel dan RM200 bagi satu sampel berikutnya, kadar bayaran itu jauh lebih murah berbanding Singapura.

Istimewanya tugas berkenaan, kata Nor Aidora, ialah laporannya tidak dicabar di mahkamah.

“Laporan DNA tidak boleh dicabar. Kalau ada pun selalunya peguam bela akan mempertikaikan kredibiliti ahli kimia dan mengatakan kemungkinan sampel tertukar,” katanya.

Selain Seksyen Serologi/DNA, Bahagian Forensik turut mengandungi Seksyen Narkotik, Seksyen Kriminalistik , Seksyen Pemeriksaan Dokumen dan Seksyen Toksikologi yang berperanan menganalisis kejadian jenayah.

Seksyen Narkotik bertanggungjawab menentukan jenis dan berat dadah bagi menentukan bentuk hukuman mengikut undang-undang sama ada hukuman mati atau penjara. Sementara menguji senjata dan peluru yang digunakan dalam kejadian jenayah menjadi sebahagian tugas Seksyen Kriminalistik, selain menguji bahan letupan, mengesan dan menentukan punca kebakaran.

Seksyen Pemeriksaan Dokumen lebih kepada menganalisis tulisan, tandatangan dakwat dan jenis kertas manakala tugas Seksyen Toksikologi menumpukan kepada kuantiti racun atau dadah lebih kecil yang ada dalam air kencing , darah atau sampel biologi lain pada manusia.

- BERITA MINGGU

Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Jumaat, 15 Mac 2013 pada 2:43:00 PTG SGT

    Hye, boleh tak saya dapat no telefon pegawai DNA tersebut di atas ?

    Name : Anor
    No telefon : 014 365 9648

Add Comment
comment url