Keunikan Kelantan warnai babak politik
Bukit Marak masih tinggalan mitos, walaupun Puteri Saadong dan Cik Siti Wan Kembang sudah menjadi mantera sejarah. Kota Bharu dan Tanah Serendah Sekebun Bunga masih setia menerima tengkujuh, persis isyarat perubahan kalendar menjelang tahun baru.
Pagi Jumaat 4 Disember lalu, Tanah Jembal di Kota Bharu jadi tumpuan ramai. Ada sepanduk yang berkibaran, ada lilit kepala yang menyatakan hasrat 'Kami tetap sokong pimpinan Tok Guru.' Ribuan rakyat berkumpul selepas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyampaikan kuliah Subuh. Ada masyarakat Cina, India dan Siam turut bersuara secara terbuka.
Walaupun tindakan mereka tidak mewakili 1,313,014 penduduk Kelantan yang 95 peratusnya berbangsa Melayu, setidak-tidaknya ia memberi isyarat suasana siasah negeri di pesisir Laut China Selatan itu.
Kelantangan mereka sebagai membalas tindakan beberapa pemuda yang sebelumnya menunjuk perasaan mendesak Menteri Besar yang sudah 19 tahun mentadbir Kelantan, berundur. Apakah semudah itu menjatuhkan pimpinan Pas sejak Pilihan Raya Umum 1990? Pas juga pernah memerintah Kelantan selama 18 tahun dan kecundang pada pilihan raya khas 1978, selepas Mageran (Majlis Gerakan Negara) diisytiharkan pada 1977 ekoran rusuhan terhadap kumpulan 20 pimpinan Tan Sri Asri Muda.
Benarkah penyokong Pas terlalu fanatik dengan pimpinan mereka, atau tokoh Umno Kelantan kurang membaca hasrat rakyat di negeri seluas 14,922 kilometer persegi itu? Persoalan ini terus berlanjutan walaupun Umno dilihat hampir bangkit pada pilihan raya kecil di Manek Urai apabila hanya tewas 65 undi.
Sentimen penduduk Kelantan kepada Kerajaan Pusat masih tidak jauh berubah. Isu royalti minyak menjadi hangat apabila beberapa sarjana masih mengandaikan peranan media 'kurang sampai' kepada sasaran.
Isu keluarga Nik Aziz menjawat peranan penting di beberapa agensi negeri hanya heboh di media, tetapi kurang menyengat di hati rakyat. Isu menantu Nik Aziz letak jawatan sebagai ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kurang dominan di Kelantan.
Ada yang mendakwa jentera Umno amat lemah, sementara Pas Kelantan pula dianggap mempunyai pasukan terkuat di Semenanjung, malah mengatasi jentera yang dimiliki Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu, mahupun jentera penerangan Pas pusat.
Kelantan sebuah negeri yang unik dan keunikan itu memberi impak kepada mana-mana pihak yang menerobos jiwa rakyatnya. Kelantan satu-satunya negeri yang pernah menobatkan seorang wanita sebagai Raja. Wanitanya juga terkenal sebagai peniaga gigih yang menguasai Pasar Besar Siti Khadijah, Pasar Besar MPKB dan Bazar Buluh Kubu. Mereka peniaga yang tekun dan licik serta tahu menilai corak batik dan tenunan songket.
Kelantan juga negeri pertama dijajah Jepun, sekali gus mencorak pemikiran tokohnya mengenai kelemahan golongan sekular yang diasuh oleh penjajah British. Tradisi pondok juga amat kukuh di Kelantan.
Dalam sejarah pendidikan Islam di Malaysia, Kelantan terkenal dengan perkembangan pendidikan yang melahirkan ulama berwibawa. Pendidikan Islam bermula pada akhir abad ke-18 dan Syeikh Abdul Halim muncul ulama terpenting. Muridnya terdiri daripada penduduk tempatan dan ada dari luar Kelantan termasuk Thailand dan Kemboja. Masyarakat Islam Nusantara banyak berhijrah ke Kelantan untuk mendalami ilmu agama hingga menimbulkan istilah serambi Makkah.
Kelantan dipercayai di antara negeri yang mula mewujudkan sistem pondok. Pondok pertama didirikan pada 1820 oleh Abdul Samad Abdullah (Tok Pulai Chondong), diikuti Pondok Tok Bachok (1900), Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu Kota Bharu (1900), Pondok Sungai Budor, Pondok Kampung Banggol, Pondok Tuan Padang dan Pondok Tok Semian yang diasaskan oleh Wan Abdul Samad Mohd Salleh atau lebih dikenali Tuan Tabal.
Antara pondok yang mendapat sambutan dan mempunyai murid ramai selepas 1930 ialah Pondok Terusan Pasir Tumbuh yang ditubuhkan pada 1954, Pondok Bunut Payung, Pondok Lubuk Tapah, Pondok Sungai Durian dan Pondok Kubang Bemban. Sekolah Pondok Terusan di Pasir Tumbuh Kota Bharu melahirkan Tok Guru Kenali, ilmuwan Islam yang terkenal di dunia Melayu.
Tradisi pondok juga berjaya melahirkan kader Pas yang sehingga kini amat sukar dirempuh oleh jentera Umno. Lokasi pondok yang bertebaran di Kelantan memudahkan gerakan massa mempengaruhi pemikiran rakyat.
Walaupun ada beberapa institusi agama yang pro Kerajaan Pusat di Kelantan, kewibawaan dan pengaruhnya tidak mampu mengatasi pondok agama yang dibina sejak ratusan tahun lampau. Guru agama dari pondok inilah yang akan melata di seluruh negeri untuk menyebarkan ajaran Islam di samping 'mentarbiah' masyarakat.
Mereka jugalah yang memenuhi majlis bersunat, khatam al-Quran, kenduri kahwin, hatta sembahyang jenazah dan membawa mayat ke liang lahad. Perbuatan mereka sudah menjadi tradisi di Kelantan, malah kelunakan suara uztaz pondok boleh menitiskan air mata apabila mendengar mereka membaca talkin dengan lunak merdu dan tepat tajwidnya.
Tradisi ini kurang dipupuk di kalangan segelintir ahli Umno. Jika keadaan tidak berubah, harapan perubahan dalam dimensi siasah Melayu sukar dicapai, apatah lagi Kelantan sudah dua kali ditadbir oleh Pas pada jarak masa yang panjang dan menjadi akar umbi pembangkang ke negeri lain.
Suasana politik di Kelantan amat meriah dengan sepak terajang, bukan saja dari pihak lawan malah juga dari dalam parti sendiri. Ia kaya dengan drama dan intrignya. Sejak era Tengku Razaleigh Hamzah menerajui Umno Kelantan hingga kini, pelbagai kerenah dalaman kerap kedengaran. Cah keting, politik wang, gaya hidup mewah di kalangan pemimpin setempat sentiasa jadi bualan ramai.
Rakyat sentiasa memerhati perkembangan ini. Citra peribadi yang songsang bakal menyukarkan Umno Kelantan mengotakan mimpi mereka. Jangan terpedaya dengan laporan menyatakan Pas semakin lemah. Yang perlu, Umno harus diperkuatkan di hati rakyat. Jadikan keunikan budaya dan susila Kelantan sebagai iltizam untuk Umno perkukuh perjuangan.
Keunikan Kelantan, ancaman tengkujuh akhir tahun dan kenyataan luar biasa Nik Aziz adalah sebahagian daripada babak politik. Kita sepatutnya tidak taksub dengan sejarah, tetapi menjadikan lembaran pengalaman untuk memajukan sebuah negeri yang didakwa masih ketinggalan. Perjuangan mesti diteruskan.
- BERITA HARIAN