Penggunaan gula berlebihan; antara subsidi dan kesihatan
Sebaik saja pekerja restoran itu selesai menghantar pesanan, tiba-tiba salah seorang daripada kumpulan itu berkata, "Abang... ini teh tarik tidak cukup gula... tambah sikit gula lagi... baru sedap minum," katanya.
Melihat kepada senario itu, adakah benar rakyat Malaysia gemar mengambil gula secara berlebihan dalam kehidupan seharian mereka.
Kemungkinan ramai tidak bersetuju dengan perkara itu tetapi melihat kepada laporan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), ia mendakwa penduduk Malaysia adalah pengguna gula 'tegar' di Asia Tenggara dengan mengambil 26 sudu teh gula sehari, seorang.
Menurut CAP, pada 1970-an, setiap penduduk negara ini mengambil 17 sudu teh gula sehari tetapi . 10 tahun kemudian, angka itu melonjak kepada penggunaan 21 sudu teh gula sehari. Berdasarkan kepada perkara itu, penggunaan gula di kalangan rakyat Malaysia amat merisaukan kerana gula bukan saja memudaratkan kesihatan malah lebih 60 penyakit boleh dikait dengannya.
Menurut Presiden CAP, SM Mohamed Idris, hampir 1.2 juta penduduk negara ini menghidap diabetes dan Malaysia juga dilaporkan mempunyai jumlah pesakit diabetes ke-4 tertinggi di rantau Asia.
Pencapaian itu bukan sesuatu yang harus dibanggakan sebaliknya rakyat perlu risaukan kesihatan mereka kerana menurut CAP, enam kes baru strok berlaku setiap enam jam di negara ini dan empat daripada lima pesakit diabetes akan mati akibat penyakit jantung.
Mohamed Idris berkata, CAP sudah lebih 30 tahun aktif memperjuangkan isu gula dengan memberi nasihat kepada rakyat Malaysia dari semasa ke semasa untuk mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan harian mereka.
Persoalannya, adakah rakyat kita benar-benar memberi perhatian serius kepada tahap kesihatan mereka atau segala kempen kesihatan yang dijalankan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan dipandang remeh.
Dalam satu majlis 'Kempen Kurangkan Pengambilan Gula' anjuran CAP di ibu negara baru-baru ini, kesatuan itu mendesak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan supaya hentikan segera subsidi gula dalam usaha melahirkan masyarakat sihat.
Mohamed Idris berkata, kerajaan membelanjakan sekitar RM720 juta setahun untuk tujuan subsidi dengan harga gula di Malaysia, antara terendah di rantau ini iaitu pada kadar RM1.40 hingga RM1.55 sekilogram.
Harga gula di Singapura ialah RM3.13, Filipina (RM2.85), Thailand RM2.31 dan Indonesia di antara RM2.62 hingga RM2.79 di samping melihat subsidi bahan itu boleh memudaratkan kesihatan penduduk.
Persoalannya, adakah penggunaan gula di kalangan rakyat akan berkurangan sekiranya kerajaan bersetuju untuk menghapuskan segera subsidi gula.
Sebaliknya, pelbagai masalah akan timbul jika keputusan itu dibuat, antaranya harga gula akan melonjak tinggi sehingga memberi kesan kepada golongan peniaga terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar.
Memang tidak dinafikan apabila harga gula meningkat secara tidak langsung apa juga produk atau barangan berkaitannya akan turut naik, sekali gus pengguna akan mula mengurangkannya.
Tetapi bagaimana pula dengan segelintir orang terutama mereka di kawasan luar bandar yang terbabit dengan perniagaan secara kecil-kecilan seperti berniaga kuih pada waktu pagi atau petang untuk menambah pendapatan keluarga.
Bukankah penghapusan subsidi gula akan memberi kesan kepada pendapatan mereka apabila harga gula melonjak tinggi. Berdasarkan hakikat ini, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi menjamin harga barangan keperluan berada pada tahap tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebagai contoh di bawah pakej rangsangan ekonomi kedua, kerajaan membelanjakan sebanyak RM674 juta setahun untuk subsidi gula (RM375 juta), tepung (RM210 juta ) dan roti (RM89 juta).
Katanya, subsidi gula yang besar adalah bagi mengekalkan harga gula bertapis pada paras RM1.45 sekilogram dan menegaskan tanpa subsidi, harga bahan makanan itu akan mencecah RM2.45 sekilogram pada 2010.
Ada pihak melihat penghapusan subsidi gula bukan cadangan yang bijak sebaliknya pengguna perlu tahu mengenai baik buruknya sesuatu perkara. Tiada gunanya kita menuding jari mencari kesalahan pihak lain sebaliknya setiap insan harus tahu mengenai soal kesihatan masing-masing serta mengamalkan diet pemakanan seimbang.
Bak kata pepatah Melayu, 'sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'. Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) dalam satu risalah turut menyebut penyakit diabetes tidak dapat disembuhkan tetapi boleh dikawal dan dirawat.
- BERITA HARIAN