Liberalisasikan minda Melayu

Oleh AHMAD HUSNI HANADZLAH
Menteri Kewangan Kedua

Adalah tepat apabila persidangan Dunia Melayu Dunia Islam setiap tahun membentangkan hal-ehwal ekonomi, pendidikan, dakwah, belia, pelancongan, wanita, sosiobudaya, sains, teknologi dan inovasi. Semuanya adalah perkara yang amat penting untuk kita bergerak maju bagi melonjakkan lagi taraf tamadun dunia Melayu dan Islam.

Persidangan ini juga penting dalam menjana buah fikiran dan pertukaran pendapat serta secara langsung mengeratkan silaturahim.

Tamadun Melayu Islam mula bertapak di bumi Semenanjung Melayu secara formal apabila Parameswara menganut agama Islam pada 1414. Parameswara yang sebelumnya beragama Hindu kemudiannya memakai gelaran Sultan Iskandar Shah dan melangsungkan perkahwinan dengan puteri Sultan Pasai. Di situlah bermulanya perikatan rasmi dunia Melayu di Malaysia dan taliannya dengan kesultanan Melayu sekarang di negara Indonesia moden.

Namun begitu, sejarah intelektual Melayu yang tinggi telah wujud jauh sebelum itu. Telah terdapat tradisi penulisan hikayat Melayu sebelum tertubuhnya kerajaan Melaka, seperti Hikayat Bayan Budiman. Ia dikatakan yang tertua dalam korpus hikayat-hikayat klasik kita. Hikayat ini sekarang diterima sebagai satu daripada teks penting dalam sejarah kesasterawanan Melayu.

Kesemua 70 cerita dalam hikayat itu ditulis dalam bahasa Sanskrit. Versi itu kemudiannya diterjemah ke bahasa Parsi sebelum dialih bahasa kepada bahasa Melayu pada 1371. Oleh kerana teks hikayat ini tidak mengandungi sebarang istilah berkaitan bahasa istana, boleh disimpulkan ia adalah hasil persekitaran perdagangan dan bukannya bangsawan. Ini adalah unik.

Kita boleh mengambil iktibar dari sejarah Hikayat Bayan Budiman. Dari hasil usaha perdagangan, penterjemah hikayat ini, Kadi Hassan, mengambil ilmu bahasa dari dua alam, alam Melayu dan alam Parsi. Kadi Hassan menghasilkan hikayat yang sekarang ini disanjung dengan menimba ilmu dari budaya tamadun yang asing daripada dirinya.

Sejak jatuhnya pemerintahan Empayar Melaka dan merosot pula pengaruh kesultanan-kesultanan Melayu lama di Nusantara ini, kita dibelenggu oleh penjajah. Tamadun Melayu tidak berganjak selama 400 tahun. Selama itu jugalah bangsa Melayu tidak mendirikan sebarang pusat pengajian tinggi mahupun perdagangan utama. Sesungguhnya, tiada perubahan ketara di dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu mengikut arus perubahan zaman sepanjang waktu itu.

Sesungguhnya, kemajuan dan pembangunan tamadun Melayu hanya dapat dibangunkan kembali apabila Malaysia dan Indonesia, secara utamanya, merdeka setelah tamat Perang Dunia Kedua.

Dari situlah bermulanya titik perjuangan nasionalisme kita dalam mengorak langkah untuk menghidupkan kemajuan bangsa. Bukan sahaja daripada segi ekonomi tetapi di dalam semua aspek kehidupan, dunia dan akhirat.

Seperti juga Tuan Kadi Hassan 700 dahulu, kita sekarang sedaya boleh menimba ilmu dari mana sudut dan segi, maupun dari bangsa asing dan juga sesama kita, berganding bahu untuk mengukuhkan kedudukan kita secara menyeluruh.

Orang Melayu telah melalui dua ombak revolusi minda di dalam 1,000 tahun ini. Pertama, semasa orang Melayu secara keseluruhannya memeluk agama Islam dan kedua, apabila kita mengalami proses peralihan zaman dari masyarakat berasaskan ekonomi pertanian ke yang berekonomi industri moden.

Pada hemat saya, proses revolusi minda yang kedua ini kita masih di tiga suku perjalanan, belum lagi selesai. Masih terdapat orang kita yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman.

Memandangkan keadaan sebegini, bagaimanakah bangsa Melayu harus meredah cabaran dunia di abad 21 sedangkan bangsabangsa maju telah melalui revolusi industrinya sejak 150 tahun lalu?

Belum sempat minda kita menyelami sepenuhnya arus gelombang revolusi zaman industri moden, didatangi pula arus zaman ekonomi pasca-industri moden berteraskan pengetahuan dan informasi. Apa yang pasti, peralihan zaman tidak menunggu kita.

Kita harus bertanya bagaimanakah Kadi Hassan, yang hidup 700 tahun lalu boleh memecahkan minda dari apa yang norma dari komunitinya, dari persekitaran perdagangan dan bukan golongan bangsawan, dari kalangan yang saya kira masih ramai buta huruf dan tiada berpelajaran, dapat akalnya fasih dan menulis di dalam bahasa yang asing.

Bagaimana mindanya boleh berkembang sebegitu, menghasilkan karya agung dari zaman yang serba kekurangan itu?

Sejauh mana tahap ketinggian sesuatu tamadun itu diukur secara amnya dengan karya seni dan ciptaan sains dan teknologi yang dihasilkan.

Ini adalah kerana input paling utama untuk sebarang rekaan datangnya tidak lain dari kebijaksanaan minda karyawan itu juga.

Karya kesenian yang dinobatkan sebagai karya agung pula adalah kerana hasil ciptaan itu membuktikan keunggulan minda karyawan tersebut. Karya yang dihasilkan adalah groundbreaking, tiada contoh sebelum itu.

Seharusnya seseorang karyawan agung datang dari suatu keluarga ataupun masyarakat yang tidak "kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang".

Kesimpulan ini membawa saya terfikir, dari pengalaman Malaysia, betapa ironiknya sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru, mengapa tiada karya hasil kesenian sastera yang boleh sekurang-kurangnya dianggap setanding dengan hasil kalam penulis-penulis pra-Dasar Ekonomi Baru seperti Za'aba, Hamka, Shahnon Ahmad dan Usman Awang? Boleh dikatakan juga tiada filem yang setanding berdiri setinggi karya filem sebelum 1970.

Apakah orang Melayu leka dengan kemewahan dan kesenangan hingga tumpul minda untuk menghasilkan karya tinggi budayanya? Apakah yang boleh kita tunjuk kepada dunia puncak tanda mercu pencapaian minda Melayu setelah 40 tahun terlancarnya DEB?

Usaha perluasan minda Melayu harus dipertingkatkan. Tiada guna jika kita mencurahkan kekayaan jika tidak dipergunakan secara produktif.

Dengan hanya ilmu, peningkatan tamadun sesuatu masyarakat itu diperolehi. Kekayaan itu pula tidak dibazirkan begitu sahaja.

Mungkin setahun dua atau tiga kali kita terbaca di surat khabar kisah seseorang di negara ini kehilangan wang kerana terpedaya dengan umpanan duit disimpan di dalam sebuah "peti ajaib" akan "bercambah".

Janganlah kerana berkehendakkan kekayaan cepat, kita menjadi rakus. Masa depan yang gemilang hanya dapat digenggam dengan penguasaan ilmu dalam ribuan bidang dan bahasa. Ilmu hanya akan bersemayam di dalam minda yang terbuka luas. Marilah kita runtuhkan pagar minda yang bertembokkan kesangsian dan kerisauan, mahu dinding beralaskan bantal empuk keselesaan. Liberalisasikanlah minda dari segala kemelut. Bukalah ruang, isikan dengan ilmu yang membawa kepada tamadun baru.

Sebenarnya kita tiada pilihan lain. Tidak munasabah untuk kita berundur ke zaman ekonomi pertanian, tidak semudah kita balik ke kampung di hari lebaran untuk menikmati nostalgia sehari dua gaya hidup yang bebas dari hiruk-pikuk bandar raya yang deras lagi laju. Kita tiada pilihan selain dari terus mara. Maka, liberalisasikanlah minda kita.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url