Tinjauan Blog - Bukan Islam bertakbir dan Chin Peng
Isu seorang wakil rakyat bukan Islam dari parti pembangkang menyertai majlis takbir Hari Raya telah mengundang maklum balas daripada beberapa penulis, selain isu Chin Peng yang masih diperkatakan.
Zainol Abideen dalam Mahaguru (mahaguru58.blogspot.com) menulis, jika wakil rakyat tersebut menyertai takbir itu kerana benar-benar menghayati Islam, ia masih boleh diterima tetapi jika niatnya hanya untuk mengambil hati orang Islam untuk menyokong beliau, ia adalah tindakan tidak wajar.
Tulisnya, beliau hairan bagaimana tuan rumah membenarkan seorang yang belum Islam turut bertakbir membesarkan nama Allah sedangkan beliau masih lagi belum memeluk Islam.
"Saya alu-alukan Chan Ming Kai supaya belajar tentang agama Islam dan mengucap dua kalimah syahadah dan menjadi seorang Muslim dalam erti kata sebenarnya!
"Jika YB olok-olok sahaja, bertakbir bersama umat Islam, maka sedarlah bahawa bermuka-muka itu adalah satu perkara terkutuk dan perbuatan sebegitu adalah tanda-tanda hipokrit!" katanya.
Beliau meminta Ming Chai menerangkan kepada umum maksud perbuatan itu manakala mereka yang menghadiri majlis itu juga perlu tampil memberikan penjelasan.
Berhubung isu yang sama, Mohd. Khairul Hairi Yunus dalam Suara Generasi Muda Malaysia (www.suaragenerasimuda.com) menulis, memang tidak salah Ming Chai bertakbir memuji Allah tetapi ia dianggap menghina jika berbuat demikian sedangkan beliau masih belum memeluk Islam.
Bagaimanapun, tulis beliau, ia bergantung kepada niat wakil rakyat terbabit. Jika ia sekadar ingin memperluaskan pengaruh politik, maka perbuatan beliau itu adalah memperalatkan Islam untuk kepentingan politik dan ia seumpama mempersendakan kesucian Islam.
"Mungkin kita tidak boleh mempersalahkan wakil rakyat itu 100 peratus kerana mungkin dia sudah terbiasa untuk memperalatkan agama demi kepentingan politiknya.
"Ia sama seperti yang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin dan penceramah Pas (beragama Islam)," tulis beliau.
Sementara itu, Maharaja Blogger (maharajablogger.blogspot.com) menulis, menteri berkaitan gagal mencium pihak yang berada di belakang usaha menghidupkan isu untuk membenarkan bekas ketua pengganas komunis, Chin Peng kembali ke Malaysia.
Tulis beliau, amat jelas media yang didukung oleh parti komponen Barisan Nasional (BN) sendiri yang telah melontarkan isu tersebut selepas Mahkamah Tinggi mengharamkan kepulangan Chin Peng ke tanah air dengan menemu bual pemimpin tersebut bagi meraih simpati rakyat.
"Siapakah yang menjadi anasir subversif yang mengapi-apikan isu ini sebagai isu perkauman sehingga menimbulkan perpecahan antara rakyat?" soalnya.
Tulisnya lagi, apa yang dilakukan oleh media tersebut adalah memetakan jalan strategi untuk secara bijak melemahkan BN. Dalam pada itu Hamidah Osman (hamidahosman.blogspot.com) pula menulis tentang sikap DAP yang bersikap biadap apabila mencampuri urusan hal ehwal Islam yang merupakan agama rasmi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
"Apakah hak parti politik ekstremis ini campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam?
"Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?" tulis beliau.
Beliau menulis, kebongkakan pemimpin DAP telah sampai ke tahap di mana mereka tidak boleh menerima perbezaan pendapat sama sekali iaitu yang tidak senada dengan mereka akan dimusuhi dan diserang dengan tuduhan liar.
"DAP juga harus difahamkan akan maksud agama dan kepercayaan budaya, dua perkara ini merupakan intiti yang berbeza.
"Agama merupakan pengangan umat Islam dan hanya diamalkan oleh penganut beragama Islam. Budaya merupakan amalan kaum-kaum tertentu dan boleh dipraktikal oleh kaum lain," tulis beliau.