Pelempar kasut Bush dibaling kasut


PARIS - Wartawan penyiaran Iraq, Muntazer al-Zaidi yang dihukum penjara kerana membaling kasut ke arah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush, menjadi mangsa serangan serupa apabila dia pula yang dibaling kasut di sini.

Kejadian berlaku ketika dia berucap pada satu sidang akhbar kelmarin untuk mempromosikan kempen bagi membantu mangsa-mangsa perang di Iraq sebelum seorang lelaki yang mendakwa dirinya wartawan melempar kasut ke arah Muntazer.

Namun, rakaman televisyen menunjukkan kasut yang dibaling itu mengenai dinding berdekatan dengan kepala Muntazer dan sejurus kemudian kelihatan berlaku satu pergelutan.

"Dia mencuri teknik saya," ulas Muntazer.

Media Perancis berkata, pembaling kasut itu ialah seorang wartawan Iraq yang berada dalam buangan.

Kejadian berlaku apabila wartawan itu mendakwa Muntazer menyokong diktator Saddam Hussein.

Muntazer, 30, mula menjadi popular kerana pada 14 Disember 2008, dia menjerit ke arah Bush dengan menggelarnya sebagai anjing sebelum melemparkan kasut ke arahnya di Baghdad.

Dia melakukan perbuatan itu kerana tidak puas hati dengan serangan AS terhadap Iraq.

Dia dibebaskan pada September lalu selepas dihukum penjara selama setahun kerana didapati bersalah menyerang seorang pemimpin asing.

- Agensi
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url