Standard Guru Malaysia dilancar
TAWAU: Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) sebagai usaha berterusan untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan piawaian global dan melahirkan modal insan berminda kelas pertama.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, berkata berdasarkan dokumen berkenaan semua guru mesti memiliki tiga aspek amalan nilai, iaitu profesionalisme keguruan, pengetahuan serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi.
"Ketiga-tiga aspek ini adalah komponen penting yang mesti dicapai setiap guru," katanya pada sidang media selepas melancarkan SGM dan merasmikan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Tawau di Balung dekat sini.
Mengikut dokumen itu, amalan nilai profesionalisme keguruan meliputi tiga domain utama, iaitu diri, profesion dan sosial.
Domain diri merujuk pegangan nilai diri guru sedia ada seperti amanah, ikhlas, adil, daya saing dan tahan yang tinggi, cekap dan patut dikembangkan agar mereka boleh memberi sumbangan lebih berkesan kepada profesion keguruan.
Profesion pula merujuk pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus, seperti berketerampilan, integriti, kerja sepasukan dan proaktif, manakala domain sosial sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat merangkumi semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Aspek kedua menuntut guru memiliki dan menguasai ilmu yang mantap agar dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta lebih kreatif dan inovatif.
Bidang pengetahuan yang patut dikuasai guru termasuk mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif, menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran serta mengembangkan potensi murid secara menyeluruh.
Aspek ketiga memfokuskan kebolehan guru membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian berhubung pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum yang menuntut pelbagai kemahiran, termasuk mengurus bilik darjah yang membabitkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang berkesan.
Muhyiddin berkata, pematuhan terhadap SGM berupaya memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan warga pendidik berkualiti dan bertaraf dunia.
"Kita mahu guru di negara ini setanding dengan piawaian global dari segi pencapaian dan penyampaian, terutama dalam keadaan masyarakat meletak harapan tinggi terhadap kemampuan kerajaan memperluaskan capaian pendidikan berkualiti.
"Justeru, sistem pendidikan kita perlu mempunyai mekanisme bagi menentukan guru yang dilahirkan benar-benar cekap dan memenuhi piawaian ditetapkan," katanya.
Sambil berharap garis panduan itu akan membolehkan warga pendidikan lebih fokus dari segi keupayaan, Timbalan Perdana Menteri berkata, keberkesanan SGM dapat diukur menerusi pencapaian pelajar dan prestasi sekolah secara keseluruhannya.
Mengenai kekangan seperti kekurangan infrastruktur, terutama di luar bandar dan pedalaman yang boleh menjejaskan pencapaian guru, beliau berkata:
"Peningkatan kemudahan asas di sekolah luar bandar dan pedalaman akan dilakukan secara berterusan, selain menjadi antara keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerajaan mahu merapatkan jurang prestasi dan penyediaan infrastruktur antara sekolah bandar, luar bandar dan pedalaman supaya tidak wujud lagi perbezaan ketara.
"Tidak semestinya mereka berada di luar bandar, maka piawaian mereka rendah dan begitu juga sebaliknya. Justeru kita akan ubah keadaan ini secara berterusan mengikut keperluan," katanya.
Muhyiddin menegaskan, antara aspek yang akan diberi penekanan ialah menaik taraf sekolah di pedalaman dan meningkatkan kebajikan guru dari segi kediaman serta bantuan elaun.
TIGA AMALAN NILAI
# 1. Profesionalisme keguruan
# 2. Pengetahuan serta kemahiran pengajaran
# 3. Pembelajaran yang tinggi.
- BERITA HARIAN