Berpecah kerana orkestra politik

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

"Tidak salah berselisih faham kerana masing-masing mempunyai naluri untuk berfikir tetapi jangan sampai berpecah.

''Sekarang ini seolah-olah seperti sebuah orkestra yang dimainkan yang mahukan kita (orang Melayu) bergaduh.''

Pesanan ini bukanlah dilafazkan oleh mana-mana pemimpin politik Melayu tetapi ia adalah peringatan tulus ikhlas daripada Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) Elias Zakaria, kelmarin.

Persoalannya sejauh manakah orang Melayu memahami akan permainan orkestra politik tersebut? Atau demi kepentingan politik, masing-masing lebih rela mengorbankan kepentingan bangsa dan agama?

Apa yang menarik Elias memberikan peringatan itu ketika menyampaikan ceramah di Pulau Pinang dalam forum bertajuk ''Nilai Sebenar Pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.''

Selepas pilihan raya umum lalu nama Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi sebutan di Pulau Pinang apabila Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan hasrat untuk mencontohi kepimpinan khalifah agung berkenaan.

Tetapi seperti mana kata Elias dalam ceramahnya, ''Jangan sebut (mencontohi kepimpinan Khalifah Abdul Aziz) sebab retorik politik, tapi fahami dan hayati sepenuhnya apa yang dia telah lakukan.''

Namun bagi orang Melayu yang taksub dengan pegangan politik sempit dan demi menjaga kepentingan politik bersama dalam pakatan, mereka bergembira dengan apa yang diucapkan oleh Guan Eng.

Begitu ramai sekali pemimpin pembangkang hatta dalam Pas sendiri yang memperjuangkan Islam begitu teruja dengan permainan lidah Setiausaha Agung DAP itu.

Justeru tidak hairanlah apabila kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan perarakan Maulidur Rasul, ramai pemimpin utama Pas membela Guan Eng.

Pelbagai andaian dan hujah dikeluarkan, malah ada yang sanggup membelek kitab bagi mempertahankan pembatalan berkenaan.

Demikianlah juga apabila ada pemimpin pembangkang bukan Islam memperalatkan ayat suci al-Quran dalam kempen politik mereka, orang Melayu termasuklah pemimpin politik Islam yang menjadi sekutu mereka memuji.

Lebih mendukacitakan lagi, ada ketikanya akibat terlalu taksub dengan politik, sesetengah pengikut parti sanggup melaungkan takbir 'Allahuakhbar'' apabila seseorang pemimpin bukan Islam berhujah.

Apabila ada pemimpin politik lain menentang perkara berkenaan, pemimpin atau parti itu akan dianggap perkauman atau tidak pandai soal Islam.

Begitulah keadaan orang Melayu sekarang, kita berpecah-belah, tidak mahu sepakat dan sekata semata-mata kerana perbezaan politik.

Perbezaan itulah yang menutup mata dan hati sesetengah daripada pemimpin Melayu untuk melihat kebenaran dan kadang-kala 'tersesat' dalam membezakan antara kepentingan politik dan kepentingan umat.

Inilah bahana orkestra yang mungkin dimaksudkan oleh Elias. Sesetengah kita mengikut alunan orkestra politik tersebut sehingga kita leka dan lalai. Kesudahannya kita berpecah-belah walaupun kita sebangsa dan seagama serta mengadap kiblat yang sama.

Kecelaruan akibat orkestra politik inilah yang membuka laluan kepada pihak-pihak lain untuk begitu berani dari semasa ke semasa terus mempersenda dan memperlekehkan apa sahaja yang berkaitan dengan orang Melayu dan Islam.

Mereka sudah tidak ada rasa takut atau bimbang lagi kerana mereka tahu akan ada pemimpin politik Melayu yang akan sentiasa 'senada' dan 'seirama' dengan mereka.

Kepentingan politik mengatasi segala-galanya, apa sahaja hujah yang berkaitan bagi mewujudkan perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam akan dianggap rasis.

Atas sebab itulah Elias menegaskan, bahawa kita boleh berbeza cara hidup termasuk fahaman politik tetapi tidak sepatutnya berpecah.

Ia kerana perpecahan tidak akan menguntungkan mana-mana pun kelompok Melayu dan umat Islam. Sebab itulah di dalam al-Quran dan hadis, soal perpaduan ummah amat ditekankan.

Sejarah Islam sudah membuktikan perpecahan di kalangan umat Islam akan melemahkan mereka dan akhirnya mereka akan bercerai-berai sehingga tumbangnya empayar keagungan Islam.

Seperti mana kata Elias kunci kejayaan untuk menjadi umat yang hebat serta disegani sebenarnya bermula dengan kekuatan perpaduan dan bukannya kekuatan ekonomi.

Tetapi berapa ramaikah pemimpin Melayu yang menyedari perkara ini? Oleh kerana mementingkan perebutan kuasa politik, mereka meminggirkan semua peringatan itu.

Bagi mereka, kerjasama politik di dalam satu pakatan biarpun berbeza ideologi adalah lebih mustahak berbanding daripada mempertahankan hujah atau kritikan benar yang disampaikan oleh lawan politik mereka biarpun ia berkaitan dengan kepentingan agama dan bangsa.

Malahan ada pula yang tanpa mahu berfikir panjang - sudah pasti kerana kepentingan politik - sanggup bersetuju jika ada pihak luar mencampuri urusan dalaman negara kita.

Bagi mereka itu berlaku kononnya kerana di negara ini yang pemimpin utamanya adalah orang Islam terlalu banyak kepincangan termasuklah dalam bidang kehakiman.

Justeru hujah mereka, campur tangan asing hanyalah lambang keprihatinan kelompok berkenaan. Tetapi mereka sengaja melupakan orang asing yang bersikap demikian pastinya mempunyai 'udang di sebalik batu'.

Lebih malang lagi, pendirian yang boleh dianggap songsang ini disokong pula oleh penulis-penulis blog politik yang tidak sebulu dengan pemimpin parti Melayu di pihak kerajaan.

Ini belum lagi termasuk lidah rasmi parti masing-masing yang ada antaranya seratus-peratus hanya memaparkan fitnah dan memburukkan sesama Islam.

Mereka menulis mengikut emosi, mempertahankan pembatalan perarakan Maulidur Rasul, bergembira dengan penggunaan ayat al-Quran oleh bukan Islam dan menuduh pemimpin yang mempertahankan hak Melayu dan Islam sebagai rasis.

Inilah senario akibat leka dan lalai dengan orkestra politik yang dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak mahu orang Melayu dan Islam bersatu.

Bagi puak yang memainkan orkestra politik dengan tujuan untuk terus memecah-belah orang Melayu, mereka terus akan berbuat demikian kerana mereka tahu kelemahan orang kita ialah mudah terpengaruh dengan retorik politik. Ini termasuklah kata-kata ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Hakikatnya, seperti mana dibimbangi oleh Elias, orang Melayu terus berpecah-belah. Perbezaan fahaman politik tidak lagi diiringi dengan usaha untuk merapatkan jurang dalam soal-soal berkaitan orang Melayu dan Islam.

Ada antara pemimpin Melayu terlalu teruja untuk meraih kekuasaan dan kedudukan, kelompok seperti ini sudah tidak mempedulikan apa-apa lagi selain mencari kedudukan politik semata-mata.

Justeru ketika kita masih berada dalam semangat sambutan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, maka cubalah berfikir sejenak wajarkah kita terus menari mengikut rentak orkestra alunan orang lain sehingga suatu hari kelak mampu memudaratkan masa depan orang Melayu dan umat Islam.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url