Kurikulum baru BI diperkenal 2011

Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan kurikulum baru Bahasa Inggeris dalam usaha memantap dan memperkasakan pembelajaran dan pengajaran bahasa itu di semua sekolah seluruh negara mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya telah menyiapkan kurikulum baru itu dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk dari segi penggunaan Bahasa Inggeris British bagi memastikan impian menjadi suatu realiti.

Katanya, langkah itu sejajar dengan dasar Kementerian Pelajaran yang mahu memastikan semua pelajar di negara ini mampu menguasai sekurang-kurangnya dua bahasa selain Bahasa Melayu.

'' Kurikulum baru itu amat menarik dan memenuhi cita rasa pelajar apabila diperkenalkan bagi membolehkan mereka mampu berkomunikasi dan menggunakan bahasa antarabangsa itu secara meluas.

''Ia akan diguna pakai tahun depan untuk murid tahun satu dengan konsep yang digunakan lebih kepada pembelajaran secara interaktif (fun learning) seperti penggunaan seni bahasa (Language Arts), tata bahasa, penggunaan sebutan dan pertuturan secara betul," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menyatakan demikian selepas merasmikan Program Juara Rakyat Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong,Jerteh dekat Besut, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Ahmad Said, Pengerusi Mara Datuk Seri Idris Jusoh, wakil rakyat dan pemimpin pelbagai peringkat.

Dalam majlis itu Muhyiddin meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Sekolah Menengah Imtiaz dan Sekolah Kebangsaan Tengku Mahmud bagi membolehkan sekolah itu menjadi peneraju dalam mencipta kejayaan dalam pelajaran.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, sejajar dengan usaha itu, Kementerian Pelajaran juga akan mengambil 365 guru pakar Bahasa Inggeris dari luar negara bagi membolehkan mereka mengajar dan mendidik guru Bahasa Inggeris sedia ada di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu adalah ke arah memastikan proses pengajaran bahasa antarabangsa tersebut berjalan lancar.

Katanya, penempatan mereka dibuat secara kontrak bagi membolehkan usaha secara terancang dapat dilakukan.

''Selain penempatan guru pakar, guru sedia ada di negara ini juga akan dilatih dengan pelbagai insentif dan galakan. Melalui tindakan demikian ia bakal menjadi suatu rangsangan untuk melakukan sesuatu ke arah yang lebih baik," katanya.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url