Urus kewangan cara Tune
Syarikat perkhidmatan kewangan sehenti dalam talian, Tune Money Sdn. Bhd. milik kumpulan Tune baru-baru ini melancarkan imej barunya yang lebih segar dan bertenaga bagi menarik pasaran belia dan golongan kelas pekerja.
Penjenamaan semula Tune Money antara lain melibatkan pertukaran nama kad prabayar Tune Money Visa kepada Tune-In Card sementara Red Card untuk remaja berusia 15 hingga 17 kini digelar Pulse.
Kedua-duanya yang dijamin oleh Visa, juga didatangkan dalam reka bentuk baru kontemporari dengan ciri-ciri diperbaharui agar lebih menonjol di pasaran.
Menerusi bahagian insurans dan takaful Tune Insurans, syarikat itu turut menawarkan insurans Tune Motor, insurans kemalangan peribadi dan kediaman.
Produk ini ditawarkan secara dalam talian menerusi www.tunemoney.com, portal laman web syarikat yang diberi nafas baru, direka khas untuk memberikan kemudahan ringkas, mesra pelanggan dan boleh dijamin keselamatannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money, Joyce Lai berkata, pihaknya memberi tumpuan kepada dua teras perniagaan iaitu tawaran kad prabayar dan produk insurans.
Dengan penambahbaikan kepada ciri-ciri kad seumpama itu, pemegang kad Tune-In boleh memindahkan wang dengan mudah kepada mana-mana akaun kad Tune-In atau Pulse melalui kemudahan 'Card2Card' di www.tunemoney.com.
"Ia beroperasi berlandaskan konsep bebas faedah. Kad Tune-In dan Pulse ideal untuk menjimatkan wang dan mengawal perbelanjaan dari aspek individu hingga peringkat keluarga.
"Bukan sahaja ia selamat dan mudah malah pemegang kad boleh mengawal sendiri perbelanjaan dan mengelak pembaziran serta hutang yang membebankan," katanya.
Kad Tune-In dan Pulse diterima di lebih 29 juta pelanggan Visa seluruh dunia yang menawarkan diskaun istimewa di cawangan terpilih di samping sistem penebusan mata dengan kriteria kelayakan minimum.
Kad tersebut boleh digunakan di mana-mana lokasi dalam dan luar negara, juga untuk mengeluarkan tunai dari cawangan ATM yang tertera logo Visa Plus.
Selain itu, melalui www.tunemoney.com, pelanggan boleh memanfaatkan kemudahan portal pertukaran kewangan (FXP) untuk menambah nilai kad atau membeli produk insurans.
Tune Money mempunyai usahasama FPX dengan bank CIMB, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Bank Islam.
Menambah nilai kad Tune menerusi perkhidmatan perbankan online CIMB Clicks adalah percuma manakala pengeluaran ATM daripada kad Tune melalui CIMB dikenakan caj rendah berbanding bank lain.
Di samping itu pemegang kad Tune-In dan Pulse layak memperoleh perlindungan kemalangan peribadi percuma bernilai RM10,000 sementara deposit kehilangan perjalanan dilindungi oleh Tune Money sehingga maksimum RM1,000.
Sekiranya berlaku kecurian atau rompakan, kehilangan tunai dalam kad pemilik dilindungi sehingga RM300.
"Membawa tunai yang dimasukkan ke dalam kad prabayar lebih baik daripada membawa wang tunai di dalam poket.
"Ia sudah tentu lebih selamat dan mudah membawa kad Tune-In atau Pulse agar pemilik tidak perlu risau lagi mengenai risiko kehilangan atau kecurian kad kredit," jelasnya.
Tambah Lai lagi, pemegang kad Tune menikmati kos lebih rendah pada masa yang sama mendapat ganjaran menerusi pelbagai skim yang ditawarkan dari masa ke semasa.
Bebas faedah dengan caj pendaftaran RM12, kad Tune-In dan Pulse mewakili pilihan kos efektif kepada kad kredit di mana pemegang kad diberi levi RM50 setiap kad melibatkan cukai perkhidmatan selain yuran tahunan dan faedah sehingga 18 peratus setahun.
Mengenai produk insurans dan takaful pula, Tune Money menawarkan perlindungan maksimum pada premium minimum.
Dengan pelan tersendiri, pelanggan hanya perlu bayar apa yang mereka perlu dan boleh menggabungkan serta menjejaki portfolio masing-masing dengan pengurus online peribadi Tune Money.
"Bekerjasama dengan rakan kongsi insurans terkemuka bermaksud Tune Money menawarkan produk dan perkhidmatan pelanggan berkualiti bagi memenuhi standard tertentu," katanya lagi.
Kira-kira 63 peratus penduduk negara terdiri daripada kumpulan berusia 15 hingga 65 tahun. Namun bilangan yang mempunyai insurans sukarela atau perlindungan takaful masih terlalu rendah.
Sebagai penyedia perkhidmatan kewangan, Tune Money berhasrat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan insurans sebagai perlindungan dan penyimpanan wang.