Top Ad 728x90

831 lokasi dipasang AES

Sebanyak 831 lokasi risiko kemalangan dikenal pasti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan kesalahan lalu lintas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Solah Mat Hassan, dalam fasa pertama pemasangan AES itu, dua kesalahan akan dirakam secara automatik menerusi rakaman video dan foto iaitu memandu melebihi had laju dan melanggar lampu merah.

Bagaimanapun, kata beliau, sekiranya fasa pertama berjaya mengurangkan kadar kemalangan, ia akan diperluaskan kepada pelbagai kesalahan lain seperti memotong garisan berkembar, memotong sebelah kiri, membawa lebih muatan atau memotong barisan.

''Dalam fasa pertama ini, operasi AES dijangka bermula Mei ini di beberapa lokasi tertentu manakala keseluruhan operasi siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan.

''Seramai 1,500 petugas dikhaskan untuk mengendalikan sistem ini di seluruh negara melalui dua pusat kawalan yang ditempatkan di zon utara dan selatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat AES kepada media di sini hari ini.

Solah berkata, melalui sistem AES yang beroperasi 24 jam sehari tanpa mengira apa jua keadaan cuaca, tidak bermusim serta tanpa campur tangan manusia, ia membolehkan saman dikeluarkan dalam tempoh kurang seminggu.

''Sebelum ini, saman hanya akan dikeluarkan dalam masa sebulan kerana perlu melalui proses temu siasat, tetapi melalui sistem ini segala bukti lengkap untuk pesalah trafik dikenakan tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Solah berkata, sistem AES juga mampu mengesan kesalahan di semua lorong jalan raya berbanding sebelum ini yang hanya dapat mengesan di lorong-lorong tertentu.

''Penggunaan AES membolehkan wajah pemandu dan nombor plat kenderaan mereka dirakam terus menerusi radar kamera tersebut," katanya.

''Bagaimanapun, AES diperkenalkan bukan bertujuan mengeluarkan saman semata-mata sebaliknya sebagai mendidik pengguna jalan raya kerana papan tanda amaran akan dipasang sebelum lokasi kamera,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90