Top Ad 728x90

Abdul Rahman - Janjikan yang terbaik



Hasrat hatinya mahu berehat setelah lapan tahun berkecimpung dalam dunia korporat tempatan. Apatah lagi surat peletakan jawatan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd. telah diserahkan.
Namun panggilan ‘khidmat negara’ yang diterima menyebabkan Datuk Abdul Rahman Ahmad sukar untuk menolaknya, biarpun beliau sebenarnya mempunyai ‘misi’ lain yang mahu disempurnakan dalam hidupnya.

Menyedari dirinya adalah hasil produk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Abdul Rahman menyambut baik pelantikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) yang ditubuhkan untuk meningkatkan lagi penguasaan bumiputera dalam kek ekonomi negara menggunakan pendekatan lain.

‘‘Sebenarnya, tanpa biasiswa kerajaan yang disediakan di bawah DEB, saya tidak mungkin mampu melanjutkan pengajian ke luar negara kerana keluarga saya sememangnya tidak mampu’’ kata Abdul Rahman.

‘‘Pelantikan ini diterima sebagai membalas jasa dan peluang yang diberikan kerajaan,’’ kata beliau dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di sini. Sambil mengakui cabaran dan tanggungjawab besar yang perlu digalas, Abdul Rahman berkongsi tentang perkembangan semasa dan rancangan masa depan Ekuinas dengan wartawan Utusan Malaysia, AINUL ASNIERA AHSAN di Kuala Lumpur.

UTUSAN: Ekuinas ketika dibentuk tahun lalu disasarkan untuk melabur dalam syarikat bumiputera tetapi kenapa perkara sebaliknya berlaku?

ABDUL RAHMAN: Saya akui ketika pengumuman penubuhan Ekuinas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan Ekuinas ditubuhkan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dalam ekonomi dan pelaburan di buat dalam syarikat bumiputera. Tetapi, ia sebenarnya tidak terhad di situ sahaja. Ini kerana, pada masa itu konsep Ekuinas masih belum dibentuk. Selepas meneliti dan mendalami objektif penubuhan Ekuinas, kami melihat cara terbaik untuk meningkatkan ekonomi menerusi tiga cara pelaburan iaitu pelaburan dalam syarikat bumiputera, bukan bumiputera dan syarikat-syarikat milik Malaysia.

Perlukah pendekatan sedemikian?

Kita tidak melupakan objektif asas penubuhan Ekuinas untuk melabur dalam syarikat bumiputera yang bagus, mantap dan memerlukan modal serta kepakaran untuk berdaya maju pada masa depan. Tetapi, pada masa sama kita turut merumus dan melihat kejayaan agensi-agensi terdahulu. Sebelum ini, kerajaan telah mewujudkan pelbagai institusi seperti Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan Perbadanan Nasional Bhd. (PNS). Kami juga melihat kejayaan kerajaan dalam ekonomi pada tahun 1980 dengan pengwujudan Pernas dan PNB, yang membuat pelaburan, bukan sahaja terhad kepada syarikat-syarikat tempatan tetapi juga syarikat-syarikat pelabur asing. Ketika itu, pegangan ekuiti bumiputera adalah antara empat hingga tujuh peratus sahaja. Melalui institusi pelaburan terbabit, kerajaan membeli dan melabur dalam syarikat-syarikat berkenaan sehingga kita berjaya menguasai syarikat-syarikat seperti Sime Darby Bhd. dan Guthrie. Dengan itu, kami berpendapat sekiranya kita hanya melabur dalam syarikat-syarikat bumiputera, kesannya terhad, jadi kita perlu meningkatkan pegangan dan membeli syarikat-syarikat di Malaysia, barulah boleh meningkatkan pegangan dalam institusi bumiputera dalam negara ini. Dan, kalau Ekuinas cuma membeli daripada pemegang bumiputera, kita sebenarnya tidak meningkatkan penglibatan kaum itu.

Jadi tumpuan Ekuinas dalam pelaburan?

Bagi Ekuinas, kita perlu untuk membuat pelaburan dalam syarikat bumiputera dan bukan bumiputera serta dalam syarikat di Malaysia di mana-mana sahaja. Paling ditekankan oleh Perdana Menteri, Ekuinas perlu mengadakan kerjasama tulen. Ini penting kerana jika kita tiada pemilikan dalam syarikat-syarikat tersebut, bagaimana kerjasama boleh dilaksanakan? Kami juga mahu membeli anak syarikat bukan teras yang dipunyai oleh syarikat awam (PLC), syarikat milik kerajaan (GLC) atau syarikat multinasional (MNC). Kalau syarikat-syarikat ini hendak dijual oleh PLC, GLC dan MNC, Ekuinas boleh membantu mereka dan membuat pembelian pengurusan. Kalau hendak tunggu mereka (pengurusan) mencari duit, mungkin sukar. Kalau dulu, mereka mungkin terpaksa meminjam duit tetapi syarikat begini kerap kali mengalami masalah terutama ketika berlaku kemelesetan ekonomi. Oleh itu, Ekuinas akan membeli bersama pengurusan dan sekiranya berjaya menguruskan syarikat, pengurusan akan diberikan ekuiti secara percuma. Dengan ini, Ekuinas bukan sahaja terhad untuk para usahawan tetapi profesional yang berjaya dan mempunyai peluang untuk membeli syarikat bukan teras, seterusnya meningkatkan pegangan dalam ekuiti. Itulah rasional tiga cara pengurusan pelaburan Ekuinas dan bukan satu.

Adakah Ekuinas menetapkan sebarang nisbah pegangan pelaburan yang akan dibuat?

Kita tidak menetapkan nisbah yang spesifik tetapi sekiranya boleh mahu pelaburan yang dibuat itu setara iaitu satu pertiga bagi setiap satu pelaburan. Cuma mungkin nilai pelaburannya adalah berbeza. Komitmen kami pada tahun pertama adalah melabur dalam setiap kategori. Pada tahun ini, kami menyasarkan untuk membuat tiga pelaburan dan setiap pelaburan itu mewakili tiga jenis pelaburan tersebut.

Setelah hampir tujuh bulan beroperasi, apakah maklum balas yang diterima?

Maklum balasnya sangat bagus. Sejumlah 50 peratus daripada kertas cadangan yang diterima Ekuinas datangnya dari syarikat-syarikat bumiputera. Kita juga melakukan kerja-kerja pemasaran secara sendirian dengan mencari syarikat-syarikat berpotensi. Berdasarkan pengalaman dilalui setakat ini, saya sebenarnya amat berbangga kerana ada syarikat bumiputera yang baik dan mempunyai masa depan cukup cerah apabila ditawarkan pelaburan oleh Ekuinas, menolak bantuan kami. Banyak syarikat bumiputera menyatakan mereka tidak memerlukan bantuan kerana memiliki modal yang cukup. Kebanyakan syarikat ini adalah milik keluarga. Saya berbangga dengan kejayaan syarikat-syarikat bumiputera ini, cuma saya mengharapkan kejayaan yang dicapai ini tidak terhenti setakat itu. Kalau kita tengok syarikat-syarikat begini di luar negara, mereka begitu ghairah untuk membesar dan terus membesar.

Kenapa selepas enam bulan beroperasi hanya satu pelaburan sahaja dicatatkan?

Ini satu pencapaian membanggakan. Tidak banyak syarikat ekuiti persendirian mampu membuat keputusan pelaburan dalam tempoh sesingkat itu kerana kebiasaannya, ia mengambil masa 12 hingga 15 bulan.

Banyak pihak yang bertanya kenapa Alliance Cosmetics Group (Alliance Cosmetics) diumum sebagai pilihan pelaburan Ekuinas?

Syarikat ini sebenarnya memenuhi semua kriteria Ekuinas. Kami tiada agenda lain sebaliknya. Malah, Ekuinas menerima maklum balas positif selepas membuat pengumuman itu. Kami sebenarnya menetapkan beberapa kriteria penting apabila melabur dalam sesebuah syarikat iaitu pelaburan dibuat dalam syarikat yang mantap sekurang-kurangnya beroperasi satu hingga tiga tahun dan memerlukan pelaburan sekurang-kurangnya RM30 juta. Syarikat yang dilabur juga boleh menerima Ekuinas sebagai pemegang saham aktif serta berpotensi yang sangat besar.

Sesetengah pihak mengharapkan sebuah syarikat besar yang terkenal dan bukannya syarikat kosmetik?

Alliance Cosmetics mempunyai potensi besar untuk ke luar negara. Ia merupakan antara syarikat kosmetik utama di Malaysia dan harapan kami adalah membawa syarikat ini ke pasaran ASEAN. Alliance Cosmetics memenuhi kriteria pelaburan Ekuinas, trek rekod baik, keuntungan yang positif dan mampu berkembang, jadi kami memilihnya. Tiada isu-isu khusus.

Sebenarnya untuk mendapatkan pelaburan yang memenuhi kriteria, pemegang sahamnya pula bersedia menjual dan bekerjasama selepas Ekuinas membuat suntikan, ia bukanlah satu kerja yang mudah. Selepas ini, kami akan membuat pelaburan dalam syarikat bumiputera dan syarikat bukan teras GLC. Ia akan diumumkan pada separuh pertama dan suku ketiga tahun ini.

Tadi, Datuk ada menyatakan bahawa Ekuinas menerima banyak permohonan pelaburan, adakah ia memenuhi kriteria yang ditetapkan?

Tidak, tetapi kami melihatnya sebagai perkara biasa. Bagaimanapun, pada masa yang sama, kami cuba memahami apa sebenarnya keperluan syarikat-syarikat itu. Ada syarikat yang mendatangi kami hanya mahu memohon bantuan sebanyak RM1.5 juta sahaja. Jadi, kami membantu dengan memperkenalkan mereka kepada agensi-agensi kerajaan yang lain seperti PNS dan PUNB. Kami mempunyai unit yang khusus membantu pemohon untuk memahami apa sebenarnya yang diperlukan mereka.

Berapa banyak dana yang diberi kerajaan kepada Ekuinas?

Untuk tahun ini, kami mendapat RM500 juta dan menaruh harapan di bawah Rancangan Malaysia ke-10, Ekuinas diberi RM4.5 bilion bagi menjadikan jumlahnya RM5 bilion untuk tempoh lima tahun ke hadapan.

Apakah tumpuan Ekuinas dalam jangka sederhana dan panjang?

Saya lebih selesa bercakap untuk jangka sederhana kerana tempoh pelaburan Ekuinas adalah untuk jangka masa tiga hingga lima tahun. Kalau kita lihat firma ekuiti persendirian ini kebanyakannya menetapkan tempoh pelaburan sehingga tujuh, lapan tahun. Tetapi, untuk Ekuinas kami cuba pendekkan tempoh dengan harapan supaya berupaya membuat pelaburan lain. Pada masa sama, kami juga memenuhi kriteria pulangan minimum yang ditetapkan iaitu 12 peratus hingga 20 peratus setahun. Dan, kami juga ingin memastikan objektif usaha mempertingkatkan ekonomi bumiputera tercapai melalui empat cara iaitu penambahan ekuiti bumiputera oleh syarikat bumiputera dan Ekuinas sendiri, meningkatkan, pengurusan bumiputera, pekerja dan rantaian bekalan bumiputera. Masalah sesetengah bumiputera dalam industri adalah kekurangan rantaian bekalan. Saya juga menemui banyak agensi sosial antarabangsa yang turut mengendalikan agensi seperti Ekuinas. Penekanan dan nasihat mereka adalah memilih syarikat yang berpotensi besar dan memastikan kejayaan syarikat pelaburan tersebut. Sekiranya dua perkara ini mampu dilakukan, empat objektif sosial tadi pasti berjaya atau sebaliknya. Nasihat itu sebenarnya dibuat berdasarkan pengalaman kerana mereka telah melabur di merata tempat termasuk Afrika, kerana objektif agensi global ini bukan sekadar pulangan tetapi meningkatkan taraf hidup negara yang dilabur itu.

Datuk menyatakan Ekuinas akan melabur dalam tiga lagi syarikat pada tahun ini, adakah ia sudah dimuktamadkan?

Perkara itu belum lagi dimuktamad dan masih dalam pertimbangan kerana bukan mudah untuk membuat satu-satu keputusan pelaburan yang memenuhi kriteria kami.

Boleh Datuk jelaskan, apakah kaedah yang diguna pakai Ekuinas dalam mengenal pasti syarikat-syarikat berpotensi?

Kami mempunyai dua cara iaitu melalui permohonan daripada mereka yang berminat dan keluar sendiri mencari syarikat-syarikat ini di mana kami akan pergi menemui mereka. Ekuinas memberi fokus kepada enam industri iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, barangan pengguna, runcit, perkhidmatan serta minyak dan gas. Saya berpendapat sektor industri minyak dan gas di bawah program vendor Petronas telah berjaya dan boleh dibesarkan. Oleh itu, kami melihat sektor ini sebagai teras dalam industri. Begitupun, kami juga melihat kepada industri yang lain, asalkan bukan hartanah, pembinaan dan industri yang tidak halal.

Masyarakat bumiputera meletakkan harapan yang tinggi terhadap kejayaan Ekuinas. Bagaimana reaksi Datuk?

Saya faham dan sedar. Itupun yang selalu saya katakan kepada kakitangan Ekuinas. Bagaimanapun, saya perlu terus terang bahawa Ekuinas hanya salah satu instrumen dan bukan satu-satunya agensi yang kerajaan tubuhkan. Cuma secara kebetulan, penubuhan Ekuinas ditukarkan dengan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing. Kerajaan mempunyai agensi-agensi lain dan Ekuinas hanya boleh tumpukan kepada peranan dan polisi yang ditentukan. Yang penting, kami tahu komitmen kami dan saya berikrar akan bekerja bertungkus lumus untuk memastikannya seperti mana jangkaan rakyat dan kerajaan. Saya juga memberi jaminan bahawa pelaburan yang dibuat adalah telus meskipun adalah mustahil kesemua pelaburan yang dibuat akan mendatangkan hasil seperti diharapkan. Berdasarkan rekod pencapaian pelaburan ekuiti persendirian terbesar dan terbaik, hanya 65 hingga 70 peratus pelaburan mereka yang berjaya. Maknanya, 30 hingga 40 peratus mungkin tidak berjaya. Insya-Allah, komitmen pelaburan yang kami buat adalah secara telus dan tidak mempunyai sebarang agensi. Berjaya atau tidak, itu kuasa Allah. Kami mencuba yang terbaik.

Bilakah pelaburan Ekuinas boleh dilihat hasilnya?

Kami menetapkan tempoh selama lima tahun. Pada akhir tahun kelima, kami berharap dapat menunjukkan rekod yang baik. Tapi perlu ingat idea penubuhan Ekuinas adalah membuat pelaburan terus, sebarang pulangan yang diterima akan dilabur semula. Saya berpendapat dalam tempoh 10 tahun, kita akan melihat hasil pelaburan cemerlang. Untuk membuat pengiraan ini, kita perlu lihat pulangan kuantitatif minimum sebanyak 12 peratus dan maksimum 20 peratus serta kejayaan objektif sosial, barulah kita boleh mengukur peningkatan penyertaan bumiputera dalam ekonomi, pengurusan, pekerja dan rantaian bekalan.

Bagaimana pula pencapaian daripada segi pulangan?

Kalau kita mengambil kira pulangan minimum 12 peratus dalam pelaburan, kita berharap dapat meraih hasil sebanyak RM3.5 bilion. Dalam aspek sosial objektif, kita perlu lihat kepada keseluruhan syarikat.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90