Tingkatkan kualiti khidmat jalur lebar untuk pengguna

Rakyat mampu mencapai tanda aras yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam mentransformasikan negara ke arah masyarakat berpengetahuan dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Ia boleh dicapai menerusi usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memperluaskan rangkaian untuk menjamin capaian maklumat dan perkhidmatan yang lebih adil di seluruh negara.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, kerajaan kini sedang menyusun semula spektrum jalur lebar berhubung penggunaan frekuensi. Apabila selesai kelak, ia bukan sahaja dapat memberi faedah kepada pemain besar (big player), malah kepada pemain sederhana dan pemain kecil.

Menurutnya, dalam konteks itu, kerajaan akan melihat semula dana USB agar kemudahan menyeluruh dapat diberi kepada semua lapisan masyarakat sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman.

"Pelbagai aspek akan dilihat semula seperti kos, kelajuan, kualiti dan perkhidmatan yang akan menjadi satu penanda aras sebagai panduan kepada SKMM serta industri komunikasi dan multimedia tempatan dalam memastikan objektif dasar Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dicapai," katanya pada majlis Taklimat Mengenai Inisiatif Jalur Lebar Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Taklimat itu disampaikan oleh pegawai kanan SKMM, Zamani Zakaria.

Dalam taklimat itu, Rais memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan projek Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Jalur Lebar Kelajuan Tinggi pada pukul 8.00 malam, 24 Mac ini (esok) di Dataran Merdeka.

Pada majlis itu, Najib akan mengumumkan beberapa perkara penting berkaitan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan jalur lebar untuk orang awam.

Menurutnya, orang awam yang dimaksudkan itu adalah mereka yang tinggal di bandar- bandar kecil, kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

Beliau berkata, pengumuman itu penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap persediaan dan pelaksanaan projek NBI terutama dalam aspek menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada penduduk di kawasan luar bandar.

"Pada majlis itu kelak, Najib akan mengumumkan persediaan-persediaan khidmat jalur lebar di kawasan luar bandar termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan tidak mahu timbul kritikan bahawa projek jalur lebar hanya disediakan untuk orang bandar sahaja, manakala orang susah di luar bandar terpinggir daripada menikmati kemudahan tersebut," katanya.

Justeru, katanya antara perkara yang akan diumumkan adalah persediaan dan pelaksanaan khidmat jalur lebar di bandar dan luar bandar.

"Ada dua jenis jalur lebar yang akan dilaksanakan iaitu jalur lebar untuk orang awam dan HSBB. Untuk HSBB, tahap kelajuan akan diukur semula agar ia dapat memberi kelapangan kepada sektor swasta sekali gus mampu menarik pelabur luar untuk membuat pelaburan di negara ini.

"Manakala jalur lebar untuk orang awam pula, perkhidmatan yang disediakan kelak lebih menjurus kepada persediaan asas sahaja iaitu menyediakan tahap kelajuan sederhana yang boleh memacu pendidikan dan ekonomi masyarakat," tambahnya.

Mengulas lanjut, Rais berkata, antara lain visi NBI adalah bertindak sebagai pembolehcara dan pelengkap kepada Model Ekonomi Baru (NEM) iaitu menyediakan infrastruktur bertaraf dunia untuk pembangunan aplikasi dan kandungan; akses kepada rangkaian generasi akan datang berasaskan Internet Protocol (IP) untuk Internet berkelajuan tinggi dan perkhidmatan baru serta mencapai 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah pada akhir tahun 2010 sekali gus menyumbang satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan baru.

"NBI akan memacu ekonomi negara dan keperluan itu meliputi seluruh negara termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta kampung-kampung kecil di Semenanjung Malaysia.

Rais turut menjelaskan persoalan tentang jumlah isi rumah yang memiliki komputer, telefon bimbit dan talian tetap di negara ini.

Katanya, statistik 2009 menunjukkan sebanyak enam juta isi rumah di seluruh negara memiliki komputer dan 30.4 juta (106 peratus) melanggan khidmat telefon bimbit.

Menurutnya, pemilikan itu menjelaskan lagi faktor penembusan jalur lebar dalam kalangan seluruh penduduk negara.

Namun, katanya, faktor itu tidak menegaskan pemilikan dan kegunaan alat itu sebagai indikator atau penanda aras dalam menentukan setakat mana jalur lebar boleh digunakan pada masa akan datang.

"Sebab itulah, kementerian dan SKMM sepakat menyatakan bahawa perlu ada satu penanda aras bagi melihat peningkatan penggunaan alat tersebut di negara ini," ujarnya.

Katanya, selain menerusi pemilikan komputer dan telefon bimbit, penembusan jalur lebar juga boleh berkembang menerusi televisyen.

"Satu hari nanti, televisyen boleh digunakan sebagai konsol yang boleh menerima isyarat-isyarat berkaitan jalur lebar," katanya.

Menurutnya, pada masa sekarang sudah ada pihak-pihak tertentu mencadangkan agar televisyen digunakan sebagai monitor kepada jalur lebar sekiranya ada kotak diletakkan di atas televisyen.

"Hal seperti ini merupakan kemungkinan belaka. Jadi, indeks-indeks yang diguna pakai setakat ini harus dikaji semula dalam konteks penembusan yang diperoleh," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya dengan kerjasama SKMM akan meneliti semula kos, kelajuan, kualiti dan perkhidmatan jalur lebar agar satu penanda aras dapat ditetapkan.

Menurutnya, dalam aspek tersebut, kerajaan akan meneliti agar segala kos berkaitan kemajuan perkhidmatan jalur lebar di negara ini dapat diturunkan harganya.

"Saya tahu perkara berkaitan penurunan harga penggunaan jalur lebar ini merupakan satu isu utama di kalangan pengguna memandangkan harganya berbeza dengan negara lain. Jadi, saya harap selepas tarikh 24 Mac ini, segala isu berkaitan perkara tersebut dapat diredakan dan diterima pakai oleh semua pihak.

"Apa yang penting, pelaksanaan tersebut mestilah sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Rais menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab kementerian dan SKMM untuk menurunkan kos yang dipersetujui oleh pemain-pemain besar industri jalur lebar di negara ini.

"Apabila selesai kelak, kita bukan sahaja dapat memberinya kepada pemain besar tetapi juga pemain sederhana dan pemain kecil. Begitu juga, dana USB akan dilihat semula dalam konteks memberi kemudahan menyeluruh kepada semua orang sama ada di bandar atau luar bandar," tambahnya.

Setakat 3 Mac 2010, jumlah langganan jalur lebar di negara ini adalah sebanyak 33.2 peratus daripada keseluruhan isi rumah dan sasaran kementerian pada akhir tahun ini adalah sebanyak 50 peratus penggunaan dapat dicapai.

Optimis dengan pencapaian matlamat tersebut, Rais berkata, SKMM mampu melaksanakannya seperti yang digariskan oleh agensi itu sebelum ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url