Top Ad 728x90

Bangunkan teknologi GIS

GIS atau Sistem Maklumat Geografi merupakan suatu teknologi terpenting bagi sesebuah negara terutamanya bagi negara membangun seperti Malaysia.

Jika dahulu, teknologi ini hanya digunakan oleh pasukan tentera bagi mengkaji kedudukan serta merancang strategi menghapuskan musuh berdasarkan keadaan muka bumi.

Namun, teknologi tersebut kini sudah boleh diakses oleh orang awam demi kepentingan pembangunan sesebuah negara.

GIS merupakan teknologi yang bergantung kepada kecanggihan satelit untuk mengambil mana-mana imej bumi daripada angkasa untuk keperluan tertentu sesebuah negara.

Kemudian imej tersebut akan dikaji dan diteliti bagi mendapatkan maklumat tertentu seperti keluasan 'kawasan, bilangan pokok bagi kawasan hutan dan pertanian, keadaan jalan dan kawasan berisiko di landa bencana alam.

Bidang pengimejan serta teknologi GIS ini sebenarnya sangat luas dan mempunyai pelbagai kegunaan.

Menurut Pengarah Pusat Infrastruktur Data Geospatial Negara (MacGDI), Fuziah Abu Hanifah, data geospatial dan teknologi GIS merupakan alatan yang begitu banyak kegunaan sama ada kepada kerajaan dan pihak swasta.

''Boleh dikatakan hampir seluruh jabatan kerajaan boleh menggunakan teknologi ini untuk kegunaan mereka.

"Contohnya seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), Jabatan Perhutanan dan pelbagai lagi yang berkaitan pengurusan berasaskan keluasan tanah, " katanya.

Malah, salah satu teknologi GIS seperti remote sensing boleh digunakan bagi menganggar keluasan tanah serta mengesan kawasan bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Seterusnya untuk kegunaan arkeologi, penilaian kesan alam sekitar, perancangan bandar, jenayah, sejarah geografi, pemasaran, logistik, pertanian ketenteraan dan pelbagai bidang lagi untuk menjana kehidupan yang lebih baik.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan, Dr. Alias Mohd. Sood menjelaskan teknologi ini juga boleh digunakan dalam operasi menyelamat nahas pesawat.

"Melalui teknologi GIS kita mampu mengesan kawasan ia terhempas, jejak mahupun komponen pesawat yang telah jatuh melalui teknik pengimejan daripada satelit.

"Selain itu, teknologi GIS juga banyak digunakan bagi menentukan anggaran jenis spesies pokok dan jumlahnya di dalam sesuatu kawasan hutan secara terperinci," katanya.

Justeru, bagi mendedahkan bertapa pentingnya teknologi ini kepada masyarakat negara ini Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah Fakulti

Kejuruteraan telah menganjurkan sambutan Hari GIS baru-baru ini.

Dianjurkan bersama Malaysia Remote Sensing & GIS Society Student Chapter (MRSGISSC), UPM dan Persatuan Remote Sensing Malaysia (MRSS) ia merupakan acara tahunan bertujuan memberi pendedahan kepada orang ramai, agensi kerajaan dan swasta perihal kelebihan serta kemudahan yang ditawarkan oleh teknologi GIS.

Ia lebih kepada memberi kesedaran terhadap aplikasi GIS sebagai kaedah yang dapat membantu dalam membuat keputusan dan arah tuju bidang penyelidikan GIS untuk kepentingan pada masa depan.

Tema pada tahun ini adalah 'GIS Untuk Kehidupan Yang Lebih Baik' dengan harapan agar teknologi GIS dapat dibangunkan oleh seluruh masyarakat dunia dalam penyelidikan saintifik, pengurusan sumber dan pengurusan aset.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90