Golongan tidak bijak mengurus masa dalam kehidupan akan rugi
Wang, masa, ilmu dan amal adalah keperluan yang sangat diinginkan setiap manusia. Ada kala bila tercicir wang walau nilainya tidak seberapa, kita sanggup mencarinya. Tetapi kalau tercicir masa walau sesaat, tiada siapa boleh mencarinya kembali.
Demikian apabila tercicir ilmu, kita ketinggalan dan tercicir amal, kita kerugian. Sebenarnya orang yang rugi itu bukan kehilangan wang tetapi yang membuang masa serta kesempatan untuk beriman dan beramal. Allah berfirman maksudnya: “Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali bagi mereka yang beriman dan beramal soleh serta orang-orang yang sentiasa menasihati saudaranya dengan kebenaran dan kesabaran.” (Surah al-Ashr: 1-3)
Hilang wang boleh dicari, tetapi sekali masa terbuang ia tidak dapat ditebus kembali. Justeru, dalam meneruskan baki hidup ini, masa yang dianugerahkan tidak harus dipersiakan. Ia harus dimanfaatkan bagi mendapat kedudukan yang tinggi dan terpuji. Rasulullah bersabda bermaksud: “Rebutlah peluang lima perkara sebelum tiba lima perkara. Masa muda sebelum tiba masa tua. Masa sihat sebelum tiba masa sakit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa kaya sebelum tiba masa papa dan masa hidup sebelum tiba masa ajal.”
Apabila ajal datang, segala peluang tidak datang lagi. Justeru, masa yang dilalui mesti dimanfaatkan. Hidup ini singkat kerana ia adalah kembara menuju penyudah dan mati itu adalah noktah hidup walau ia dianggap sebagai sesuatu yang mengerikan.
Masa berlalu begitu cepat. Hari, minggu, bulan dan tahun dilalui tanpa disedari usia terus meningkat. Namun masih belum terlambat untuk mulakan amal soleh. Peluang hidup mesti dipergunakan sebelum ajal datang mengejut.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Segeralah beramal kebaikan sebelum datang tujuh perkara: Apakah kamu nantikan selain kemiskinan yang membuatkan lupa atau kekayaan yang menimbulkan kesombongan dan melewati batas atau penyakit yang merosakkan atau ketuaan yang membuatkan lemah dan kehabisan tenaga atau kematian yang menghabisi usia atau dajal sejahat-jahat yang dinantikan atau hari kiamat yang lebih berat dan sukar.”
Manusia selalu berusaha mengelak diri daripada bahaya serta berikhtiar mengubati segala macam penyakit namun kematian itu sesuatu yang pasti datang walau secanggih mana usaha dilakukan untuk mengelaknya. Allah berfirman bermaksud: “Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh.” (Surah an-Nisa: 78)
Hidup dan mati dua keadaan yang berbeza, suasana yang berlainan rasa. Hidup dengan kehidupannya masing-masing mengisi keperluan hidupnya yang pelbagai.
Keinginan tumbuh berkembang dan hidup seolah-olah hidup ini tanpa mati. Usia yang singkat tidak terasa, hari terbatas bagaikan tidak bersisa. Keinginan untuk terus hidup bagaikan teruja, manusia bagaikan lupa hidup ini hanya sementara dan setiap sandiwara akan dihitung.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Hai sekalian manusia, ingatlah kepada Allah telah tiba yang menggetarkan hati. Telah datang kematian dengan segala risikonya.”
Mati adalah kenyataan setiap yang hidup. Manusia pasti menempuhnya seperti orang terdahulu melaluinya. Ia juga tidak terkecuali sesiapa, sama ada yang berpangkat, miskin atau kaya. Mulia, hina, gagah atau lemah. Sama ada yang berilmu atau pun tidak, walau dalam keadaan penyatuan atau perpecahan sekalipun saatnya akan datang juga tidak kira seseorang itu mengharap atau menolaknya.
Allah berfirman bermaksud: “Katakanlah bahawa sesungguhnya kematian yang kamu semua melarikan diri daripadanya itu pasti akan menemui kamu, kemudian kamu semua akan dikembalikan ke Dzat yang Maha mengetahui segala yang ghaib serta yang nyata selanjutnya Dia akan memberitahukan padamu semua apa yang kamu lakukan.”
Justeru, kita perlu membelanjakan masa dengan bijak dan berhemah untuk membeli kebahagiaan abadi dari Allah. Gunakan peluang hidup yang sekelumit ini sebelum ajal menggamit tiba. Apalagi kehidupan sentiasa terdedah pelbagai malapetaka, penyakit dan gejala. Bila masa saja kita boleh terperangkap oleh pelukan ajal.
Mengingati betapa hidup yang sementara ini seharusnya mendorong manusia mempersiapkan bekal menghadapi kehidupan yang kekal di akhirat nanti.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Allah telah memberi kesempatan yang cukup (untuk beramal kebaikan) kepada orang yang dilanjutkan usianya hingga mencapai enam puluh tahun.”
Suatu ketika Rasulullah pernah ditanya siapakah orang yang paling cerdik dan teguh hati, baginda menjawab dengan sabdanya bermaksud: “Mereka yang paling ingat kepada kematian dan paling mantap persiapannya menghadapi kematian. Orang yang demikian itu cerdik dan bijaksana, beroleh kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat.”
Namun mengingati ajal itu bukan melemahkan semangat bekerja malah akan lebih bersemangat untuk bekerja dan beramal sama ada untuk diri, keluarga dan masyarakat terutama dalam mengatasi segala permasalahan yang melanda umat iaitu perpecahan yang tiada kesudahan.
- BERITA HARIAN