Jiwa P. Ramlee dalam masyarakat
P. RAMLEE meninggalkan kita sudah 37 tahun lamanya. Beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973. Namun namanya tetap gah sehingga kini. Betapa kerap sekalipun filem-filemnya ditayangkan di televisyen tempatan, orang tetap menonton. Penontonnya ramai sekali, daripada kanak-kanak, orang muda hinggalah orang tua. Banyak filemnya yang cukup menarik, walaupun ada juga filemnya yang cukup menjemukan.
Begitulah P. Ramlee dengan filem dan dunia seni nyanyian, gubahan muzik, pengarahan dan sebagainya berjaya mengharumkan namanya sebagai seniman legenda.
Dalam sejarah perfileman Melayu baik filem klasik dan filem moden, belum ada pelakon, pengarah dan penyanyi yang begitu banyak dikaji, diperkatakan dan popular seperti P. Ramlee.
Dengan menyebut kehebatan P. Ramlee dalam berbagai-bagai aspek seni dan kesenimanan, hal ini bukanlah bererti kita menafikan populariti seniman lain terutama yang seangkatan dengannya ataupun yang mendahului beliau.
Tidak siapa pun yang akan menafikan kehebatan Jins Shamsuddin, Aziz Sattar, Ahmad Mahmud, S. Shamsuddin, Salleh Kamel, Mustafa Maarof, Aziz Jaafar dan ramai lagi seniman lain. Mereka cukup hebat dan cukup menonjol sewaktu menampilkan karakter dalam filem. Mereka ada kelebihan masing-masing. Dalam erti kata kehebatan berlakon, seniman-seniman ini ada kelebihan masing-masing. Oleh itu, tidaklah menjadi hasrat penulis untuk membandingkan kelebihan mereka dengan P. Ramlee.
Dalam pada itu, P. Ramlee ada nama dan integriti tersendiri yang membezakan dirinya dengan seniman lain.
Kelebihan ini disebabkan P. Ramlee mempunyai berbagai-bagai keterampilan yang membolehkan beliau dilihat lebih daripada orang lain daripada berbagai segi. Dalam istilah psikologi dan komunikasi, istilah kelebihan ini disebut sebagai high visibility (kebolehan menonjol pada peringkat tinggi).
Istilah ini mengingatkan penulis terhadap kata-kata ahli falsafah Barat bahawa jika kita ingin menjadi popular atau dilihat menonjol (highly visible), kita haruslah berdiri di atas bahu gergasi. Nah! P. Ramlee memang berhasil berdiri di atas bahu gergasi filem yang menyebabkan beliau menjadi cukup menonjol.
Dalam kerjaya, secara tidak langsung beliau banyak membina berbagai-bagai jaringan dengan majikannya Shaw Brothers, dengan rakan sekerja dan dengan rakan rapatnya yang secara tidak langsung ikut menonjolkan nama beliau pada persada perfileman Melayu.
Begitulah pergantungannya pada majikan ditambah dengan bakat seninya yang cemerlang tambah mempopularkan namanya dalam dunia perfileman Melayu.
Sahabat-sahabatnya dalam filem dan di luar filem, sekadar menyebut beberapa nama seperti Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin dan M. Zain menjadi rakan selakonan yang cukup secocok. Lihatlah lakonan mereka dalam Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu dan Labi serta Nasib Si Labu Labi yang cukup menyenangkan dan cukup melucukan.
Malah di Kuala Lumpur, P. Ramlee memanfaatkan penglibatan seniman handalan yang lain seperti A.R. Tompel dan Ibrahim Din melalui lakonan mereka dalam Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi terbitan Studio Merdeka. Lakonan mereka cukup bersahaja, mantap, lucu dan cukup menghiburkan.
Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin, M. Zain, A.R. Tompel dan Ibrahim Din merupakan beberapa rakan selakonan daripada sekian banyak rakannya yang banyak menaikkan, malah menonjolkan P. Ramlee dalam filem-filemnya. Tanpa lakonan dan kerjasama mereka juga rakan yang lain, tentulah P. Ramlee tidak menjadi bintang legenda.
Jika kita memperkatakan kejayaan P. Ramlee sebagai seniman, kita sebenarnya memperkatakan kredibiliti P. Ramlee sebagai individu dan bintang, kerjasama dan kesepakatan rakan-rakan lain yang ikut mendukung peranan beliau dalam filem.
Hal ini kerana kejayaan P. Ramlee membentuk kerja berpasukan dalam filem dengan baik dan berkesan. Dalam kebanyakan filemnya baik dalam Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Pendekar Bujang Lapok malah dalam Labu dan Labi, Nasib Si Labu Labi, Do Re Mi, Nasib Do Re Mi dan Laksamana Do Re Mi, P. Ramlee memainkan peranan utama. Ertinya P. Ramlee adalah 'ketua' kepada pasukan yang dibentuknya dalam filem. Sebagai 'ketua', beliau membawa karakter yang cukup meyakinkan dalam filem-filem tersebut.
Melalui Pendekar Bujang Lapok, P. Ramlee yang menggunakan nama sendiri menyebut "aku yang tua di antara kita, jadi akulah yang patut bertemu Ros". Hal ini dengan jelas memperlihatkan bahawa beliau berhasil memainkan peranannya sebagai peranan utama, sebagai 'ketua'. Akan tetapi tanpa dokongan daripada seniman-seniman tadi, tentulah P. Ramlee tidak akan berhasil menonjolkan dirinya dalam filem. Begitulah cara P. Ramlee membina kerja berpasukannya dalam filem sehingga beliau dan pasukan seniman yang terdekat dengannya menjadi cukup menonjol.
Begitulah kehebatan P. Ramlee yang banyak memegang peranan utama dalam kebanyakan filem arahannya. Ada pula rakan pengkritik filem yang menganggap bahawa P. Ramlee adalah jurupasar yang berkesan (effective marketer) dan jurujual hebat (great salesman).
Keadaan ini dapat kita lihat daripada kebolehan P. Ramlee mengarahkan filem-filemnya yang memanfaatkan tema serius dan lucu termasuk Hang Tuah, Semerah Padi, Sarjan Hassan, Penarik Beca, Antara Dua Darjat, Anakku Sazali, Tiga Abdul, Madu Tiga dan Ali Baba Bujang Lapok dengan begitu berkesan serta cukup meyakinkan. Sebagai jurujual dan jurupasar yang berkesan, P. Ramlee berhasil menarik penonton menonton filemnya tanpa jemu-jemu.
Malah ada sarjana yang mengatakan bahawa P. Ramlee berjaya mempengaruhi pemikiran dan saraf penonton untuk memasarkan filemnya. Dalam kajian terbaharu dalam bidang pemasaran, ada satu bidang yang disebut sebagai pemasaran neuro atau neuromarketing yang menunjukkan orang boleh menjual produknya dengan cara mempengaruhi pemikiran pembelinya.
Jika neuromarketing dikaitkan dengan P. Ramlee, ia secara jelas memperlihatkan bagaimana P. Ramlee menjual produknya (filemnya) dengan begitu berkesan kepada pembelinya (penontonnya) dengan cara mempengaruhi pemikiran penontonnya. 'Jualan' dan 'pemasaran' ini dilakukan secara bersahaja dan tanpa dipaksa dengan mempengaruhi otak kanan penonton yang banyak berfungsi meladeni keseronokan dan hiburan dalam kalangan mereka.
Hal ini dilakukan dengan kemahiran komunikasi yang cukup berkesan dengan mengeksploitasi perasaan penonton mengikut kehendak beliau sebagai pengarah dan pelakon utama. Eksploitasi secara berkesan ini beliau lakukan dalam filem yang bertema serius seperti Anakku Sazali, Penarik Beca, Hang Tuah dan sebagainya termasuk filem berunsur komedi dalam siri Bujang Lapok, Labu dan Labi, Do Re Mi dan Madu Tiga.
Dalam filem-filem ini, P. Ramlee memainkan perasaan penonton dengan begitu berkesan. P. Ramlee memanfaatkan perasaan marah, benci, dendam, rindu (yang menjadi perasaan beliau) dan perasaan lain seperti gembira, lucu, kelakar dan sebagainya untuk menyatukan perasaan beliau dengan perasaan penonton dalam filem.
Jadi, apabila kita marah sewaktu melihat karakter tertentu beraksi dalam filem, itu adalah kemarahan P. Ramlee dan penonton. Misalnya apabila kita melihat Haji Bakhil begitu kedekut (dalam Labu dan Labi), itu adalah kemarahan P. Ramlee dan penonton.
P. Ramlee berjaya menyatukan perasaannya dengan penonton. Keadaan ini membuatkan penonton menjadi terdorong dan tidak berupaya menolak logiknya perasaan yang dilakonkan oleh P. Ramlee dan pelakon-pelakon lainnya.
Dalam istilah pemikiran, perasaan yang digunakan oleh P. Ramlee dalam filem-filemnya diistilahkan sebagai logik emosi (logic of emotion atau logical emotion).
Begitulah dalam Antara Dua Darjat, kita melihat logik Ghazali (lakonan P. Ramlee) dipertemukan dengan logik Tengku Zaleha (lakonan Saadiah). Ertinya, P. Ramlee mempertemukan logik orang kebanyakan dengan logik keturunan bangsawan dalam drama berat yang memenangkan logik orang kebanyakan iaitu dengan kejayaan Ghazali yang bakal memperisteri Tengku Zaleha.
Demikian juga logik orang miskin, Amran (lakonan P. Ramlee) dalam Penarik Beca dengan logik orang kaya, Marzuki (lakonan Udo Umar), dipertentangkan dengan begitu tajam yang akhirnya memenangkan Amran. Hal ini bererti kemenangan kejujuran ke atas kebatilan.
Logik perasaan seorang ayah (lakonan P. Ramlee) dan logik perasaan anak (Sazali lakonan P. Ramlee) dalam Anakku Sazali dimainkan oleh P. Ramlee dengan cukup berkesan sehingga kita bersimpati dengan si ayah dan cukup membenci Sazali.
Logik perasaan permainan P. Ramlee tidak dibuat-buat tetapi dilakonkan secara bersungguh-sungguh melalui peranan ayah dan anak. Kedua-dua karakter ini sungguh berat dari segi mempermainkan perasaan simpati-benci penonton. Akan tetapi dengan kebolehannya, P. Ramlee melakonkannya dengan begitu berkesan.
Hal ini menyebabkan Anakku Sazali sering menjadi bahan untuk orang mendidik anak supaya jangan menderhaka sekali gus menghormati kedua-dua orang tua mereka.
Begitulah keadaannya apabila P. Ramlee membawakan watak lucu dalam filem-filemnya sehingga membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak. Runtunan logik kelucuan itulah yang menyebabkan perasaan lucu penonton sentiasa terusik sewaktu menonton filem P. Ramlee.
Begitulah jika kita memperdalam kajian dalam bidang kebijakan emosi (emotional intelligence) dan mengaitkannya dengan logik emosi P. Ramlee dalam filem-filemnya, maka kita lebih menyedari betapa hebatnya dan kuatnya pengaruh P. Ramlee ke atas jiwa dan perasaan penonton.
Demikianlah penulis ikut merasakan kehebatan logik emosi P. Ramlee melalui karakter yang dilakonkannya dikongsi bersama dengan karakter lain yang dilakonkan oleh rakan sefilem dengannya.
Pada penulis, P. Ramlee ada kelebihan lain yang dapat dikaitkan dengan kejayaan filem-filemnya. Penulis yang banyak membaca buku tentang hukum tarikan (law of attraction) melihat dengan jelas bagaimana P. Ramlee membina hukum tarikan melalui filem.
Ada dua hal (daripada sekian banyak hal) yang boleh mengaitkan P. Ramlee dengan hukum tarikan. Pertama, P. Ramlee adalah individu yang mempunyai daya penarik. Kedua, filem-filem P. Ramlee mempunyai daya dan hukum tarikan. Dalam hukum tarikan yang mengaitkan P. Ramlee sebagai individu yang ada daya penarik, dapat dikatakan P. Ramlee ada aura dan tenaga yang boleh menarik orang menonton. P. Ramlee ada personaliti yang magnetik. P. Ramlee juga dikatakan berfungsi sebagai besi berani yang boleh menarik apa sahaja tidak kira jauh atau dekat untuk melekat padanya.
Sebagai analogi Dianne Ab'quist menyatakan dalam bukunya The Law of Attraction, Complete Idiot's Guide, jika anda magnet, anda akan harus berhasil menarik klip kertas. Demikianlah jika P. Ramlee dianggap sebagai magnet, dia akan menarik segala sesuatu supaya dekat, melekat dan bersatu dengannya.
Justeru, mengikut hukum tarikan, P. Ramlee dengan segala macam kemahiran dan kehebatannya berhasil menarik penonton daripada berbagai-bagai peringkat supaya menghayati perasaan, kepercayaan, misi dan ideologinya yang terserlah dalam filemnya.
Barangkali hal inilah yang menjadi jawapan kepada pertanyaan tentang kejayaan filem P. Ramlee menarik penonton pelbagai peringkat menghayati filem-filemnya untuk sekian lama. Begitulah kisah seniman yang dilahirkan pada 22 Mac 1929 ini. Al-Fatihah.
- UTUSAN