JPJ susun semula ujian memandu 5,000 calon

BESUT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terpaksa menyusun semula jadual ujian memandu di beberapa negeri berikutan masalah kekurangan pegawai penguji jabatan itu yang menyebabkan kira-kira 5,000 calon ujian memandu terkandas di peringkat ujian litar dan jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata calon berkenaan sudah lulus ujian berkomputer yang dikendalikan institut latihan memandu, tetapi tidak dapat menjalani ujian peringkat kedua dan ketiga mengikut jadual kerana masalah yang timbul itu.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya mengarahkan JPJ di peringkat negeri menyusun semula jadual ujian unuk memastikan semua calon terbabit dapat menjalani ujian berkenaan dan mendapat lesen sebelum cuti persekolahan Jun ini.

“Tindakan drastik terpaksa dilakukan dan saya mengarahkan JPJ negeri antaranya Terengganu, Sabah, Sarawak dan Pulau Pinang supaya menyusun semula kekerapan ujian memandu, walaupun kita terpaksa menghadapi kekangan pegawai dan anggota penguji.

“Kita juga arahkan pegawai dan anggota JPJ di bahagian operasi mengambil alih tugas penguji untuk menyelesaikan segera masalah ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Tenang, Hulu Besut, di sini, semalam.

Solah berkata, JPJ seluruh negara menerima lebih sejuta permohonan setahun untuk mendapatkan pelbagai lesen memandu dengan purata 450,000 pemohon berusia 16 tahun.
Dalam perkembangan lain, Solah berkata, pegawai dan anggota penguat kuasa JPJ dilarang mengadakan sekatan jalan raya di kawasan selekoh, kerana ia boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya selain mengelakkan berlakunya kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Katanya, setiap operasi sekatan jalan raya yang akan diadakan perlu mendapat kelulusan pengarah, selain ketua unit dikehendaki sentiasa berada di kawasan operasi bagi memantau operasi yang dijalankan selain menyelesaikan masalah yang timbul.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url